Showing posts with label pengalaman. Show all posts
Showing posts with label pengalaman. Show all posts

Tuesday, December 27, 2011

Bonjour Paris !

Assalamu'alaikum kepada semua yang sudi menjenguk blog ni walaupun dah lama tidak dikemaskini. Pada entri kali ini, saya berminat untuk berkongsi cerita pengembaraan kami sekeluarga di bandar Paris, antara bandar yang terkenal di dunia. Di Paris, kami menginap di Hotel Ibis berhampiran dengan Stesen Porte de Clichy (Metro 13, RER C). Apabila sampai di Charles de Gaulle airport, sebelum menuju ke hotel, kami telah ke tourist information desk untuk mengumpul segala maklumat penting seperti peta bandar Paris, pelan keretapi (Metro dan RER) dan lain-lain. Semuanya adalah percuma. Selain itu, kami juga telah meminta nasihat daripada staf di sana tentang tiket yang paling sesuai/murah untuk dibeli untuk travel sekitar Paris memandangkan kami telah bercadang untuk hanya menggunakan public transport.

Pendapat saya mengenai sistem pengangkutan awam di Paris adalah tidak berapa sistematik. Untuk menukar daripada satu line ke line yang lain kadang kala agak menyusahkan kerana perlu naik dan turun tangga yang banyak. Tambahan pula, kami membawa baby stroller. Memang agak memenatkan untuk mengangkat stroller naik dan turun tangga. Jika ada elevator pun kebanyakannya rosak dan tidak boleh digunakan. Cuma agak lega sedikit kerana ada escalator di sesetengah stesyen. Apapun saya ingin puji kebanyakkan pengguna Metro/RER yang sudi membantu kami mengangkat stroller dan beg naik dan turun tangga. Merci ! Selain itu, papan tanda yang berada di sekitar stesyen juga kadangkala mengelirukan. Ada juga stesyen Metro yang tidak dilabelkan dengan jelas. Apa yang baik saya lihat adalah kekerapan dan ketepatan masa sistem keretapi awam di Paris. Paling lama kami pernah tunggu pun mungkin dalam 5 minit. Itu pendapat saya selama lebih kurang 5 hari menggunakan sistem pengangkutan di sana. Mungkin pendapat dan pengalaman orang lain berbeza.


Di Paris, tempat pertama yang kami kunjungi adalah La Defense. Di sini terdapat banyak bangunan-bangunan pencakar langit yang cantik dan kebanyakkannya baru dibina. Di bandar Paris kebanyakannnya adalah merupakan bangunan-bangunan yang lama dan juga tidak begitu tinggi. Kami ke La Defense untuk bertemu dengan rakan lama saya, Kamarul dan keluargannya yang bekerja di sana. Untuk ke sana kami telah menaiki keretapi ke Stesen La Defense (Metro 1, RER A). Di sana juga terdapat sebuah Christmas Market yang menjual pelbagai barang dan juga makanan.

Selain itu kami juga telah ke tempat di mana letaknya satu monumen yang juga agak terkenal di Paris iaitu Arc de Triomphe. Ia terletak berhampiran dengan Stesen Charles de Gaulle Etoile (Metro 1, 2, 6, RER A). Daripada situ, kami telah berjalan di sepanjang jalan yang juga agak terkenal di Paris iaitu Avenue des Champs-Elysees yang mana terdapat banyak kedai-kedai terutamanya barang-barang berjenama seperti Louis Vuitton, Swatch, Hugo Boss dan lain-lain.


Tidak sah rasanya kalau ke Paris tapi tidak singgah ke Eiffel Tower. Untuk ke sana, mula-mula kami menuju ke Stesen Trocadero (Metro 6, 9) di mana terdapat satu bangunan berhampiran (tidak pasti apa nama bangunan tersebut) yang mana kita boleh melihat Eiffel Tower dengan jelas dan juga sesuai untuk bergambar. Di sana juga terdapat banyak orang yang berkulit hitam yang menjual key-chain Eiffel Tower yang kecil. Ada yang jual 3 untuk 1 Euro dan ada juga yang jual 5 untuk 1 Euro. Mengikut tips daripada rakan-rakan saya, biasanya boleh dapat dalam 7 atau 10 untuk 1 Euro bergantung pada skill tawar menawar andalah. Kalau nak beli key-chain Eiffel Tower yang murah, di sinilah tempatnya. Daripada bangunan ini, kami telah berjalan menuju ke Eiffel Tower, ia tidaklah begitu jauh. Kami telah membeli tiket untuk menaiki Eiffel Tower tapi sampai platform 2 sahaja. Kami membeli tiket secara online untuk mengelakkan queue yang panjang giler untuk membeli tiket. Apabila anda telah mempunyai tiket, anda hanya perlu menunggu sebentar sahaja kerana pada tiket anda terdapat masa yang tetap untuk anda naik, jadi tidak perlu berebut walaupun sudah ada tiket. Pada pendapat saya, memang berbaloi kami dapat naik menara ni dan jika anda ke Paris, saya cadangkan supaya anda juga tidak melepaskan peluang. Suasana sekeliling di sekitar menara Eiffel ni memang menarik.


Pada hari ke 3, kami telah berkunjung ke Muzium Louvre berhampiran Stesen Palais Royal Musee du Louvre (Metro 1) , yang merupakan sebuah muzium seni yang menyimpan satu lukisan yang terkenal iaitu lukisan Mona Lisa oleh Leonardo Da Vinci. Antara ratusan bahan pameran, lukisan Mona Lisa ni merupakan bahan yang paling ramai orang datang melihat dan juga dikawal dengan rapi. Kami tak sempat tengok semua bahan pameran di sana kerana terlalu banyak walaupun telah mengambil masa hampir 4 jam. Pada penghujung hari pula, kami telah berkunjung ke Sacre Coeur Basilica (berhampiran Stesen Anvers, Metro 2) sebuah monumen yang terletak di atas bukit Montmarte. Untuk menaiki puncak kami telah menaiki kereta kabel. Di atas puncak, anda boleh melihat keseluruhan bandar Paris. Kami telah membeli kebanyakkan cenderahati di sini kerana di sini merupakan antara barang cenderahati yang termurah yang boleh didapati di bandar Paris. Jadi ini merupakan antara tempat yang berjaya kami kunjungi. Nak pergi banyak tempat tak terlarat pula, apapun boleh dikatakan puas hati juga kerana hajat selama ni nak datang Paris ni dah tercapai.

Sunday, November 14, 2010

Blog Berwajah Baru..

Jika anda perasan, saya telah melakukan transformasi terhadap penampilan blog ini, dengan bantuan daripada isteri saya. Memang sudah lama nak buat, tapi mungkin baru sekarang tergerak dan ada masa nak buat. Tema untuk kali ini adalah berwarna hijau berbanding hitam sebelum ini. Tajuk blog pun dah tukar daripada New Journey of My Life kepada Experience of a Lifetime memandangkan dah setahun lebih kami berada di perantauan. Pada saya, semua pengalaman yang saya lalui di sini mungkin hanya sekali seumur hidup sahaja seperti yang berkaitan dengan pengajian PhD (harapnya, harap semua mendoakan) dan juga kehidupan di perantauan. Semua pengalaman sekali seumur hidup ini yang akan cuba dicoretkan di dalam blog ini, InsyaAllah jika masa mengizinkan.
Di sini saya paparkan beberapa header yang pernah saya gunakan sebelum ini di dalam blog saya. Yang paling atas, merupakan header yang pertama pernah saya pakai menunjukkan gambar di Schiphol Airport, Amsterdam sebelum sampai ke bumi Denmark manakala yang kedua adalah yang digunapakai dalam versi yang kedua menunjukkan gambar-gambar sekitar Copenhagen, Denmark dan juga yang terbaru, berlatarbelakangkan musim luruh. Terima kasih kepada hasil kreatif yang dihasilkan oleh isteri saya.

Musim Luruh Tiba Lagi...

Di Denmark, musim luruh biasanya adalah di antara bulan September hingga November dan ia menandakan perubahan daripada musim panas ke musim sejuk. Jadi sebenarnya di sini sudah hampir memasuki musim sejuk yang dijangka pada bulan Disember. Sekarang kebanyakan pokok-pokok semua telah togel (tiada daun) kerana telah ditiup angin yang kencang. Biasanya apabila tiba sahaja musim luruh ni, ramai yang akan mengambil kesempatan merakamkan gambar-gambar yang menarik memandangkan suasana semasa awal musim ini sungguh cantik terutamanya pokok-pokok dengan ton warna daun-daunnya yang menarik. Kalau bergambar ketika ini, alamatnya bergambar dengan pokok togel lah hehe. Maka saya kira pasti di setiap blog-blog perantau atau FB mereka telah dipamerkan suasana-suasana musim luruh di tempat masing-masing dan saya juga tidak mahu ketinggalan (walaupun agak lambat sedikit).
Selain daripada keadaan daun-daun yang berubah warna daripada hijau ke kuning, merah, coklat dan akhirnya gugur serta pokok-pokok yang yang togel, apabila tiba sahaja musim luruh ini di Denmark, yang pasti suhu persekitarannya semakin lama akan semakin menurun. Di samping itu, hujan juga akan semakin kerap ditambah dengan angin kencang yang sejuknya sehingga ke tulang (jika tidak memakai pakaian yang sesuai) dan juga hari akan semakin cepat gelap. Ini juga bermakna waktu solat seperti Maghrib dan Isyak juga akan semakin cepat. Hari ini waktu Maghrib dan Isyak masing-masing adalah pukul 4.08 PM dan 5.51 PM, yang bermakna matahari terbenam pada pukul 4.08 petang.
Apapun, ini merupakan pengalaman musim luruh kedua buat saya dan isteri manakala buat Eilman, ini pastinya merupakan pengalaman pertamanya dan kami tidak mahu melepaskan peluang merakamkan gambar kami berlatarbelakangkan musim yang menarik suasananya ini. Maka saya sertakan gambar-gambar musim luruh kami tahun ini dengan lokasinya di Sophienholm dan Frederiksdal.

Sunday, September 26, 2010

Silat Cekak Hanafi & Diriku..

Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi mengenai satu seni beladiri yang dikenali sebagai Silat Cekak Hanafi (SCH) dan juga sedikit pengalaman saya mempelajarinya dan juga menyampaikan kepada yang lain. Sejak saya mula mengenali dan mempelajari seni beladiri ini pada tahun 2000, sedikit sebanyak ia banyak mempengaruhi atau memberi kesan yang baik terhadap diri dan kehidupan saya. Rasanya elok jika saya dapat kongsikan dulu mengenai beberapa ciri-ciri seni beladiri ini secara ringkas. Sebelum itu, penting untuk saya nyatakan bahawa SCH yang saya ikuti adalah yang dipimpin oleh Tuan Guru Hj. Md. Radzi Hj. Hanafi.
Kebiasaannya bila bercakap mengenai silat, orang akan mengaitkan ia dengan berkekuda dan juga mempunyai bunga-bunga. Namun berbeza dengan SCH yang mana pendiriannya adalah berdiri lurus (tidak berkekuda) seperti berdiri lurusnya ketika bersolat. Ramai yang berkata bahawa pendirian berkekuda lebih stabil, akan tetapi adakah berdiri lurus tidak stabil ?. Antara kelebihan SCH adalah semua pergerakannya adalah berasaskan kepada pergerakan semulajadi manusia. Maka memang semulajadi manusia berdiri lurus dan tidak berjalan dalam keadaan berkekuda. Keadaan ini (pergerakan semuladi manusia) memberi ruang kepada pengamalnya untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang serangan daripada musuh. Selain itu, antara kelebihan lain berdiri lurus ini adalah musuh tidak dapat membaca pergerakan kita. Jika contohnya berkekuda dengan salah satu kaki di hadapan, mungkin musuh (yang belajar seni beladiri) dapat mengagak apa pergerakan kita seterusnya. Namun ingin saya nyatakan di sini saya tidak mempunyai niat langsung untuk memburukkan apa-apa seni beladiri lain yang mempunyai pendirian berkekuda. Mereka pasti mempunyai alasan mereka yang tersendiri.
Antara ciri lain SCH ialah dikatakan bahawa 99 % buah pergerakannya adalah mempertahankan diri atau menanti serangan dan hanya 1 % yang digunakan untuk menyerang (itupun jika terdesak). Ini menunjukkan bahawa ia mengajar pengamalnya supaya tidak menceroboh orang lain atau memulakan pergaduhan. Sekiranya diserang barulah diaplikasikan SCH ini untuk mempertahankan diri. Ini juga mengajar pengamalnya sifat berani. Buah serang yang dipelajari pula akan digunakan jika terdesak dan benar-benar diperlukan. Antara ciri menarik lain adalah pergerakannya yang mara kehadapan tanpa mengelak ke kiri mahupun ke kanan apabila menghadapi serangan musuh dan penceroboh. Di samping itu juga penggunaan kaki hanya di bawah paras pinggang dan sangat sesuai untuk dipelajari oleh kaum Hawa. Apapun untuk mengetahui lebih lanjut mengenai silat ini, bolehlah berkunjung ke laman web http://www.silatcekakhanafi.org/ dan mempelajari sendiri silat ini.

Mengenai penglibatan saya dalam SCH, ia bermula di UTM Skudai semasa saya di tahun 1. Pada waktu itu memang saya bercadang untuk mempelajari silat dan antara pilihan yang ada adalah Silat Gayung dan juga Silat Cekak. Kebetulan pula, hanya latihan Silat Cekak yang ada dijalankan di kolej tempat saya menginap iaitu Kolej Siswa Desa Skudai (kolej ini di luar kampus). Maka saya terus mendaftar tanpa pernah melihat pun demonstrasi yang dijalankan daripada kolej ke kolej. SCH mempunyai beberapa peringkat pembelajaran daripada peringkat asas ke peringkat jatuh, peringkat potong dan seterusnya peringkat tamat. Kebiasaannya bilangan pelajar akan merosot apabila makin tinggi peringkatnya dengan alasan-alasan yang pelbagai seperti sibuk dengan pelajaran, tidak larat/penat mengikuti latihan dan sebagainya. Alhamdulillah, saya masih berupaya belajar sehingga tamat. Bermula di peringkat potong dan tamat, kelas latihan telah berubah ke dalam kampus di Pusat Latihan, Kolej Rahman Putra. Atas minat yang mendalam, maka saya teruskan belajar juga walaupun terpaksa sama ada menumpang rakan atau menaiki bas ke dalam kampus. Setelah tamat silibus pembelajaran, saya masih teruskan latihan di peringkat umum dan juga kemahiran. Di sini kita dapat pelajari seterusnya bagaimana untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari. Ramai yang menganggap tamat silibus maka tamat belajar. Itu salah. Sebenarnya masih banyak yang boleh dan perlu dipelajari.

Seterusnya saya juga berkesempatan menjadi AJK persatuan yang berperanan untuk membantu mengembangkan, menyebarkan dan mempromosikan SCH ini kepada seluruh warga UTM. Sesungguhnya ia bukanlah satu tugas yang mudah. Namun banyak perkara yang saya pelajari dari aspek perancangan, pengurusan, pengagihan tugas, bagaimana untuk menyakinkan orang untuk mempelajari silat ini, bercakap di khalayak ramai, berurusan dengan orang-orang penting dan banyak lagi. Tambahan pula saya pernah dilantik menjadi presiden persatuan.

Dari segi mempromosikan silat ini kepada pelajar universiti juga ada cabaran tersendiri. Ramai yang menganggap bahawa tidak penting belajar seni beladiri. Namun bagi saya, melihatkan keadaan sekeliling kita yang dipenuhi berita mengenai kes bunuh, rogol, ragut dan sebagainya rasanya satu perkara yang sangat penting mempelajari seni beladiri. Mungkin ramai yang boleh memberi alasan mereka boleh lari atau mereka yakin boleh selamatkan diri mereka sendiri tapi bagaimana jika jenayah tersebut berlaku kepada ahli keluarga mereka sendiri. Adakah kita mampu mempertahankan keluarga kita ?. Ada juga pelajar yang bertanya bagaimana jika penjenayah menggunakan pistol ?. Persoalannya berapa banyakkah di antara penjenayah yang menggunakan pistol untuk membunuh, merogol ataupun meragut mangsanya. Persoalan besarnya adalah apakah usaha yang telah kita lakukan untuk mempertahankan diri kita ?. Adakah cukup dengan hanya berdoa dan bertawakkal ? Tanpa disertai usaha ?.

Setelah itu, saya juga berkesempatan untuk membantu mengajar seni beladiri ini di UTM. Memang satu situasi yang sangat berbeza belajar dan juga mengajar. Apabila mengajar, saya perlu peka dengan teknik-teknik yang diajar disamping perlu memastikan pelajar memahami dan juga membuat gerakan dengan betul. Terdapat pelajar yang cepat memahami dan membuat gerakan dengan baik dan ada yang mengambil masa yang agak lama untuk boleh membuat pergerakan dengan baik. Biasanya ada diantara mereka ini mudah putus asa dan menjadi tugas tenaga pengajar untuk terus memberi semangat dan memberi tumpuan yang lebih kepada mereka. Yelah, mungkin ada yang pernah belajar seni beladiri lain sebelum itu atau ahli sukan dan ada yang tidak pernah langsung belajar seni beladiri.

Pendek kata di setiap peringkat seperti semasa belajar silat, mengikuti program persatuan, menjadi AJK persatuan dan juga mengajar, terdapat pelbagai perkara baru yang saya pelajari yang banyak memberi kesan yang baik terhadap diri saya. Antara perkara yang saya pelajari juga adalah betapa pentingnya guru, ibu dan bapa dalam kehidupan kita. Memang itu perkara yang semua orang tahu, tetapi di dalam silat ini perkara itu banyak/lebih ditekankan. Selain itu, banyak lagi perkara yang saya pelajari yang penting di dalam kehidupan seharian kita. Sehingga kini pun walaupun sedang belajar di Denmark, saya sentiasa mengikuti perkembangan SCH di Malaysia dan akan terus aktif apabila pulang nanti insyaAllah. Hidup Cekak Hanafi !!. Untuk makluman, saya juga bertemu jodoh semasa kami sama-sama belajar silat ini di UTM hehe.

Saturday, August 21, 2010

Ramadhan di Perantauan..

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana masih diberi peluang untuk bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Di kesempatan ini, saya nak ucapakanlah salam Ramadhan dan selamat menunaikan ibadah puasa dan ibadah-ibadah yang lain-lainnya kepada semua keluarga, rakan-rakan dan semua yang membaca blog ni. Semoga prestasi ibadah kita semua lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya dan berterusan di bulan-bulan yang lain juga.

Bagi saya dan isteri, ini merupakan kali kedua kami menghadapi Ramadhan di bumi Denmark ni. Untuk pengetahuan yang membaca, jumlah masa kami berpuasa di sini adalah lebih kurang 17-18 jam (berbanding 14 jam di Malaysia) bergantung kepada jadual mana yang diikuti. Pada ketika ini waktu Subuh adalah pada jam 3.02 pagi manakala waktu berbuka adalah pada jam 8.35 malam. Manakala waktu Isyak adalah jam 11.07 malam (ada jadual lebih kurang 10.30 malam). Pada tahun pertama tu, terutamanya di awal bulan agak terasa jugalah kepenatan berpuasanya. Namun lama-kelamaan tu dah jadi biasala. Macam tahun ni pula, Alhamdulillah setakat ni tiada masalah kerana mungkin dah pernah berpuasa selama ini dan cuaca yang agak sejuk sikit sekarang. Kebetulan bulan Ramadhan ketika ini jatuh semasa musim panas, jika jatuhnya semasa musim sejuk maka masa berpuasanya akan menjadi lebih singkat (dalam 10 jam).
Jika hendak bersolat Tarawih berjemaah pula, surau atau masjid tidaklah banyak seperti di Malaysia. Ada pun, agak jauh sikit la dan mungkin akan pulang agak lewat memandangkan Isyak pun sudah lewat. Jadi kami hanya menunaikannya di rumah sahaja (samada bersendirian atau jemaah suami isteri). Jadi bagi yang berada di Malaysia tu rajin-rajinlah berkunjung ke surau/masjid solat berjemaah (tidak kira untuk solat Tarawih atau solat harian) kerana kemudahan telah banyak tersedia berbanding dengan keadaan di negara asing ni. Di sini, surau yang ada pun di buat di bangunan seperti rumah (yang kadang-kadang tiada label pun). Malah permohonan untuk pembinaan masjid pun sukar diluluskan pihak berkuasa di samping beberapa tentangan daripada penduduk tempatan. Jika diluluskan pun, akan ada syarat-syarat tertentu yang perlu diikuti. Bukan apa, kadang-kadang bila keluar ke bandar atau ke mana-mana dan bila hendak solat, tidak mudah untuk mencari surau seperti di Malaysia, maka biasanya kami solat sahaja di mana-mana tempat yang bersih. Bila lalui situasi sebegini baru tahu betapa beruntungnya umat Islam di Malaysia dengan pelbagai kemudahan yang disediakan untuk memudahkan kita untuk beribadat.

Baiklah sampai di sini sahaja untuk entri ni, saje nak berkongsi sedikit pengalaman di negara orang ni, apa bezanya dengan di Malaysia. Mungkin ramai yang ada pengalaman ke luar negara (melancong sahaja) tapi tak ramai yang ada pengalaman berpuasa di perantauan (kecuali yang belajar dan bekerja di luar negara). Dari segi makanan pun berbeza juga pengalaman di bulan puasa ni. Kalau di Malaysia tu, kalau teringin nak makan apa-apa tu boleh ke pasar Ramadhan je, tapi di sini kena buat sendiri la. Kadang-kadang jadi, kadang-kadang tak jadi hehe (merujuk kepada kuih-muih). Marah orang rumah baca ni hehe. Oklah, dah 11 hari berpuasa ni. Semoga prestasi anda semua terus meningkat. Selamat berpuasa dan beribadat.
Sumber gambar: http://abuamar.deviantart.com

Friday, April 2, 2010

Setahun Di Denmark

Sedar tak sedar dah setahun kami berada di Denmark. Kami tiba di sini pada 21 Mac 2009 yang lepas dan kini dah lebih setahun kami menjalani kehidupan di bumi yang asing ini. Banyak kenangan manis yang kami lalui di sini namun terdapat juga sedikit pengalaman yang kurang manis. Memang adatlah dalam kehidupan kita, yang penting kita ambil yang jernih buang yang keruh. Yang keruh tu kita jadikanlah sebagai contoh untuk kita perbaiki diri yang lemah ini. Sudah semestinya tujuan utama saya ke sini adalah untuk menuntut ilmu dan berusaha untuk membawa pulang ijazah PhD namun entri kali ini adalah lebih kepada kehidupan dan pengalaman kami di sini.

Bagi saya, pengalaman yang sangat menarik yang berlaku sepanjang setahun kami saya berada di sini adalah pertama saya mendapat tahu bahawa isteri saya mengandung Mei lepas dan seterusnya melahirkan anak kami yang pertama Februari lepas setelah 3 tahun lebih mendirikan rumahtangga. Ramai rakan/keluarga yang bergurau mengatakan mungkin sebab di sini sejuk kot sebab tu la senang mengandung hehe. Alhamdulillah rezeki kami di sini.
Selain itu, pengalaman yang menarik bagi saya adalah berpeluang untuk tinggal di sebuah negara yang sudah semestinya berbeza dengan Malaysia dari segi cuaca, bahasa, rupa fizikal orangnya, budaya dan macam-macam lagi. Mungkin berbeza daripada orang yang datang melancong ke luar negara kerana kami dapat merasa pengalaman di sini sepanjang tahun. Dari segi cuaca kami dah dapat merasa 4 musim iaitu musim-musim panas, luruh, sejuk dan bunga. Pelbagai pengalaman seperti sejuknya, siang atau malam yang panjang melebihi biasa, salji dan lain-lain. Berbeza dengan cuaca di Malaysia yang mungkin tidak jauh bezanya sepanjang tahun. Dari segi bahasa juga mungkin ada sedikit kesukaran kerana kebanyakan papan tanda, pengumuman dan surat menyurat adalah dalam bahasa Danish walaupun sebenarnya mereka sangat fasih berbahasa Inggeris. Dari segi budaya pula saya tidak berapa rasa pengalamannnya sebab kami lebih banyak bergaul dengan masyarakat Malaysia di sini berbanding dengan rakyat tempatan. Di samping itu juga kami berpeluang untuk melawat negara Eropah lain seperti Sweden, Belanda, Jerman dan juga England.

Selain itu, kami juga rasa bersyukur kerana sebenarnya boleh tahan jugalah bilangan rakyat Malaysia dan Melayu di sini. Yelah kita akan berasa lebih selesa untuk bergaul dengan masyarakat Malaysia dan Melayu di sini kerana agama dan budaya yang sama. Dengan mereka, kami dapat merasa bagaimana kehidupan komuniti Malaysia di luar negara. Sebelum ini selalu nampak dalam gambar dan laman web sahaja. Tahun pertama kami di sini juga buat pertama kalinya kami menyambut Ramadhan dan Syawal di luar Malaysia. Jika diikutkan memang sedih kerana tak dapat beraya bersama keluarga namun kehadiran masyarakat Melayu yang kami anggap seperti keluarga di sini sekurang-kurangnya mengubatkan kesedihan dan kerinduan itu.
Apapun kami sebenarnya sangat rindukan tanahair di sana. Rindu untuk pulang untuk melihat bumi Malaysia dan juga untuk berjumpa keluarga. Namun apakan daya inilah pengorbanan yang kami lakukan dan harapnya ia memberikan pulangan yang baik.

Saturday, January 23, 2010

Musim Sejuk @ Denmark

Tu dia, bersawang-sawang dah blog ni sebab dah sebulan tak dikemaskini. Bukan tiada perkara yang hendak diceritakan cuma tiada semangat la pula nak menulis. Terima kasih lah kepada yang masih setia membuka blog ni namun minta maaflah kerana tiada cerita baru yang ditulis. Hari ni baru semangat mari. Tambahan pula sekarang kami sedang menumpang di rumah kawan di Hoje Taastrup, agak jauhla daripada apartment yang kami tinggal sebelum ni dan DTU iaitu di Lyngby. Ambil masa lebih kurang sejam setengah jugalah daripada Hoje Taastrup ke Lyngby jika menaiki bas/tren. Jika anda pernah baca post saya ini (sila klik untuk baca) maka anda akan fahamlah situasi saya sekarang ini.

Untuk post ini, saya nak ceritakan mengenai pengalaman pertama kami menghadapi musim sejuk di Denmark. Sebenarnya apa yang saya betul-betul nantikan adalah salji/snow. Selalu saya bertanya, bila la salji nak turun ni hehe. Ye la memang sejak kecil lagi memang teringin nak merasa sendiri salji tu macam mana dan sekarang baru ada rezeki nak rasa kan. Salji pertama yang lebat turun pada pertengahan bulan Disember lepas tanpa henti sehinggga 2-3 hari dan tebal memenuhi seluruh bumi Copenhagen, Denmark. Pada waktu tu perasaan memang seronok betul, kagum melihat salji turun, yang nampaknya macam cebisan (yang dicarik-carik) tisu-tisu jatuh ke bawah. Apabila sajli memenuhi tanah, suasana kelihatan keputihan sahaja. Kalau berjalan di luar pasti saya akan memijak-mijak permukaan yang dilitupi salji tu (walaupun ada permukaan yang dibersihkan untuk laluan pejalan kaki). Saya teringin nak buat Snowman tapi belum berkesempatan lagi hehe.
Sampai ketika post ini ditulis, bumi Denmark masih dilitupi salji. Cuma beberapa hari di penghujung Disember, semua salji cair kerana kenaikan suhu namun suhu kembali turun awal Januari menyebabkan salji turun kembali. Menurut kata rakan di sini mula-mula je kita akan rasa seronok, lama-lama dah tak seronok dah. Sebenarnya saya alami juga perasaan tu sebab yang kami tak tahan tu sebenarnya kesejukan tu. Suhu paling sejuk pernah saya alami di sini adalah -9 darjah Celcius. Tapi menurut rakan yang dah lama tinggal di Denmark, suhu paling rendah pernah mencecah -21 darjah Celcius. Lagi satu, salji ni jika tidak dibersihkan betul-betul untuk laluan bas, basikal ataupun pejalan kaki, suasana akan kelihatan sangat kotor. Tambahan pula jika salji sangat tebal, ia menyebabkan sistem pengangkutan seperti bas dan tren tergendala ataupun lambat sampai. Lagi satu perkara adalah semasa musim sejuk ni kita terpaksa pakai baju tebal-tebal, jadi lecehla kan.
Apapun, saya tetap menyukai musim sejuk yang bersalji ni. Memang seronok dan suasananya juga cantik. Kelihatan tasik-tasik di sini pun semua beku sehinggakan ada yang bermain skating dan ice hockey di atas tasik beku tu. Kalau kenalan di Malaysia ada terdengar mengenai laporan cuaca buruk hasil daripada salji ini di Eropah, sebenarnya di Denmark ni biasa-biasa sahaja. Tidak lah teruk seperti beberapa negara Eropah yang lain. Suhu tidak terlampau sejuk dan juga tiada pula kejadian ribut salji.

Monday, November 16, 2009

Malam Semakin Pantas Menjelma..

Pada ketika ini cuaca di Denmark saya kira bahawa ia sedang dalam peredaran daripada musim luruh kepada musim sejuk. Makin hari suhu makin turun, hampir setiap hari hujan turun dan makin hari rasa tekak ini kering dan sakit dan juga sedikit selsema. Kalau nak benar-benar memastikan diri sendiri selesa dan sihat dalam keadaan cuaca sejuk sebegini maka kenalah pastikan diri sentiasa panas dengan memakai baju 2-3 lapis, dengan sarung tangan dan juga penutup kepala apabila berjalan di luar. Beginilah keadaannya di sini, pakaian berubah mengikut musim. Nak pakai t-shirt, pakai sandal semasa keadaan sejuk ni semestinyalah tak sesuai. Berbeza dengan keadaan di Malaysia yang mana pada setiap masa sama sahaja pakaiannya. Inilah antara pengalaman baru kami disini.
Selain itu, antara yang ketara perubahan dan pengalaman yang kami alami di sini adalah dari segi masa. Pada ketika ini, matahari terbit pada jam 7.49 pagi dan terbenam pada jam 4.00 petang ! Keadaan mula cerah pada jam 8.00 pagi (itupun jika tak hujan) dan gelap semula pada jam 4.00 lebih, 8 jam sahaja waktu siang sehari ketika ini. Waktu Zohor seawal jam 11.55 pagi diikuti waktu Asar jam 1.38 petang. Waktu Maghrib pula pada jam 4 petang diikuti waktu Isyak pada jam 6.04 petang. Keadaan masa ini meninggalkan saya dalam keadaan yang janggal memandangkan inilah pengalaman pertama saya menghadapi keadaan begini. Bila tiba jam 2 keadaan sekeliling dah nampak macam petang. Bila keadaan sudah gelap pula terasa macam sudah lewat pula. Padahal baru pukul 4 atau 5 petang (biasanya saya pulang antara jam 6-8 petang). Kadang-kadang terasa macam nak balik pula walaupun masih awal. Bila balik antara jam 6-8 petang tu keadaan di luar dah gelap gelita. Memang benar sebenarnya keadaan di luar mempengaruhi mood kita. Tapi untunglah siapa yang suka buat kerja pada waktu malam tu. Saya bila dah malam ni rasa malaslah sedikit hehe. Apapun ini satu pengalaman yang menarik untuk dilalui.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...