Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Sunday, November 15, 2009

Facebook: Gunakan Sebaiknya..

Pastinya hampir setiap individu yang celik IT dan yang kerjanya (atau yang sedang belajar) selalu menggunakan kemudahan komputer serta internet sudah memiliki/membuka akaun Facebook. Berbanding dengan akaun sosial lain seperti MySpace dan juga Friendster, Facebook disertai oleh pelbagai golongan selain remaja termasuk para professional. Dalam akaun facebook (FB) saya sendiri terdapat pelbagai golongan kenalan yang terdiri daripada saudara mara, kawan-kawan sekolah rendah, sekolah menengah, universiti, rakan sekerja di UTM dan DTU, bekas-bekas pelajar, bekas-bekas cikgu dan pensyarah, rakan seperguruan Silat Cekak Hanafi, rakan-rakan isteri dan lain-lain.

Antara kelebihan saya dapat rasa menggunakan FB ini adalah saya dapat berhubung kembali dengan rakan-rakan yang telah lama tidak berjumpa dan mendengar khabar berita. Ini adalah kerana kebanyakannya menggunakan nama penuh masing-masing yang memudahkan lagi pertemuan. Selain itu, FB juga dapat membuka ruang kita untuk mengetahui perkembangan kehidupan rakan-rakan melalui status dan juga gambar-gambar yang dipaparkan. Melalui FB juga kita dapat berkongsi dengan kenalan yang lain mengenai apa-apa perkara atau artikel yang bermanfaat untuk kehidupan masing-masing ataupun sebagai hiburan.
Namun disebalik kebaikan-kebaikan ini, pastinya terdapat juga keburukan-keburukan yang timbul hasil daripada penangan FB ini. Satunya ialah timbulnya ketagihan yang jika tidak dikawal akan menganggu tumpuan terhadap kerja, pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti lain yang juga penting dalam kehidupan kita. Mungkin ini juga hasil daripada ketagihan kepada internet. Sedikit sebanyak saya dapat juga rasa tempiasnya dan atas sebab itu saya menulis perkara ini untuk sama-sama kita berkongsi. Namun, jika kita berjaya menghadkan penggunaan FB ini hanya untuk kebaikan dan pada masa-masa tertentu sahaja, rasanya itu sudah cukup baik. Contohnya hadkan penggunaan FB untuk hanya 15 minit (atau lebih singkat) sekali penggunaan selama 3 kali sehari atau 2 kali sehari ke mungkin dapat membantu kita untuk hadkannya. Apa yang lebih penting masa kerja atau belajar memang kena elakkan langsung FB ni kecuali pada masa rehat sahaja. Pesanan ini untuk diri sendiri juga ni.

Di samping itu, melalui pengalaman saya menggunakan FB ni, saya dapati ramai diantara kenalan saya yang suka menggunakan FB ni sebagai medan meluahkan perasaan yang saya rasa ada kebaikan dan keburukannya. Kebaikan ialah ia dapat dikongsikan bersama rakan-rakan yang lain yang sentiasa ada untuk membantu dan menasihati. Namun yang tak baiknya tu, ada yang meluahkan perasaan dengan kata-kata yang kurang enak. Marah seseorang itu kerana tidak menyukainya, sentiasa merungut tentang kehidupan dan sebagainya. Harapnya perkara ini dapat kita perbaiki. Tak salah jika nak meluahkan perasaan tapi kena dengan cara yang sebaiknya. Gunakanlah juga medan FB ni untuk menyebarkan kebaikan, bukan keburukan. Hidup kita ini nak atau tidak akan sentiasa diuji dan sejauh mana kita menghadapinya menentukan kejayaan hidup kita di dunia mahupun akhirat. Kurangkan rungutan dalam hidup dan sentiasa bermuhasabah diri. Fikir bahawa kita ini jauh lebih beruntung daripada orang-orang yang mungkin menghadapi ujian yang lebih besar. Atau lebih beruntungkah kita ? Nasihat untuk kita bersama.

Monday, September 7, 2009

Erti Sebuah Keikhlasan..

Minggu lepas pada tarikh 27 Ogos 2009 saya mendapat berita bahawa seorang pensyarah di UTM telah kembali ke rahmatullah akibat serangan sakit jantung semasa waktu sahur. Beliau ialah Allahyarham PM Dr. Rashdi Shah Ahmad. Arwah pernah mengajar saya semasa saya mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di UTM pada tahun 2001 dan beliau mengajar subjek Fizik Am 2. Antara banyak-banyak pensyarah yang pernah mengajar saya, beliau merupakan antara pensyarah yang paling saya ingati dan minati. Ini adalah kerana cara pengajarannya yang bagus serta mudah difahami, sangat mesra dengan pelajar-pelajarnya dan juga selalu memberi nasihat dan menceritakan pengalaman hidupnya yang boleh dijadikan pedoman buat kami pelajar-pelajarnya.

Saya sebenarnya mendapat berita pemergian Dr. Rashdi daripada seorang rakan di Facebook yang juga merupakan bekas pelajarnya di Fakulti Sains (fakulti di mana Dr. Rashdi berkhidmat). Daripada luahan-luahan dan komen-komen rakan saya tersebut dan juga rakan-rakannya saya dapati bahawa mereka begitu menyayangi arwah sehingga ada menyatakan bahawa mereka menitiskan airmata apabila mendengar berita tersebut. Malah selang sehari dua selepas itu, mereka turut berpakat untuk mengumpul sumbangan bagi meringankan beban keluarga arwah.

Saya begitu kagum dengan kesan yang ditinggalkan oleh sikap yang ditunjukkan oleh arwah kepada pelajar-pelajarnya. Selama ini saya ingat bahawa kesannya saya seorang sahaja yang rasa namun telah dirasai oleh semua pelajar-pelajarnya dan mungkin rakan-rakan sekerjanya juga. Mungkinkah ini erti sebuah keikhlasan. Keikhlasan sehingga membawa kesan yang begitu mendalam kepada semua pelajar-pelajarnya. Mungkin sebagai seorang pensyarah juga, saya perlu melatih diri untuk benar-benar ikhlas mendidik anak bangsa, bukan sekadar melaksanakan amanah yang diberikan sahaja. Semoga roh Allahyarham PM Dr. Rashdi Shah Ahmad ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin.

Nuzul Al-Qur'an

Sejarah Al-Quran: Salah satu peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci Al-Quran atau disebut Nuzul Al-Quran. Peristiwa itu dikisahkan dalam Al-Quran, melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 185).

Peristiwa Nuzul Al-Quran terjadi pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, di Gua Hira’ tahun ke-41 dari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan Al-Quran. Beriman dengan Al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman.

Arti Nuzul al-Quran: ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, yaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah (turun dari langit ke bumi). ‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan bacaan karana Al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam Al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.Nama-Nama Lain: Selain disebut Al-Quran, ia juga disebut al-Kitab, al-Furqan, An-Nur, al-Zikr dan lain-lain.

Proses turunnya Al-Quran: Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam kurun waktu 22 tahun 2 bulan 22 hari (23 tahun), dengan 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Kehebatan Al-Quran:
1. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka saling bantu-membantu.” (Surah Al-Israa’, ayat 88)

2. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.

3. Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

4. Tidak siapapun di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai Al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, buatlah satu surah yang menyerupainya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, jikalau kamu menganggap orang yang benar.” (Al-Baqarah, ayat 23).

5. Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W.

6. Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia Al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan Al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam kekal terpelihara hingga kiamat.

7. Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah, ayat 2)

8. Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah S.A.W bersabda dengan maksud: ‘Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”

Tuntutan Al-Quran: Sesungguhnya Al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya. *Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.* Hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.* Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.

Sumber: DarulBayan

Tuesday, August 25, 2009

Orang Islam Bertutur Baik

Oleh Mohd Shauki Abd Majid (sumber: Utusan Online)

DALAM Islam kata-kata kotor, makian serta ucapan menghina merupakan satu perkara yang sangat tercela dan dilarang. Sesungguhnya segala sumber kata-kata kotor atau nista itu timbul daripada watak yang rendah dan jiwa yang hina. Kerana itu ada pendapat mengatakan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa "Jauhilah olehmu semua kata-kata kotor sebab Allah tidak suka kepada kata kotor atau yang menyebabkan timbulnya kata kotor dari orang lain".

Kata-kata kotor, nista, umpatan dan kejian menyebabkan manusia berkonflik, bergaduh dan seterusnya bersengketa sehingga berlakunya pembunuhan, pertumpahan darah dan lenyap sama sekali. Mungkin kita boleh jadikan teladan, bagaimana masyarakat Islam terus membenci bekas Presiden George W. Bush apabila beliau menyifatkan Iran dan Iraq sebagai “paksi kejahatan.” Seluruh masyarakat Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung mengutuk pemberian gelaran itu terhadap negara-negara Islam.

Mempersendakan

Kita mungkin teringat dengan hukuman yang pernah diberikan oleh Ayatollah Khomeini apabila Salman Rushdie melukiskan perwatakan Nabi Muhamad SAW sebagai karikatur dan mempersendakan baginda. Mungkin juga kita tidak lupa dengan kata-kata pedih yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin tertentu bagi menggambarkan watak yang tidak disukainya. Dengan menggunakan kata-kata kesat, umpatan dan nista, Shahnon Ahmad telah meloyakan khalayak pembaca melalui perulangan kata-kata dalam novel Shit, dan pernah menimbulkan kontroversi kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan politik negara suatu ketika dahulu. Mungkin kerana marah atau ada sesuatu yang terguris di hatinya, Shahnon Ahmad telah lupa bahawa Rasulullah SAW pernah memberikan peringatan bahawa "Seorang Mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah. Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya".

Dalam membuat sesuatu tuduhan, berkata-kata kita seharusnya menjadikan perilaku dan tutur kata Rasulullah SAW sebagai contoh yang terbaik. Baginda tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat, walaupun berhadapan dengan musuhnya. Sebaliknya baginda membalas dengan senyuman dan menasihati secara berhemah dan tidak menyakiti atau melukai perasaan orang lain. Anas bin Malik r.a pernah merakamkan bahawa: Tidak pernah Rasulullah SAW melakukan perbuatan keji, tidak pula kotor lidah (suka mengutuk) dan tidak pula mancaci maki. Ketika seseorang mencela baginda sebagai seorang yang kotor (berdebu) kerana banyak (sujud), baginda hanya mengatakan apa yang dia miliki.

Rasulullah SAW adalah seorang yang benar-benar memelihara lisannya. Sekalipun terhadap orang-orang kafir yang menentang dakwahnya. Baginda tidak mudah mengeluarkan kata-kata laknat atau menyakitkan hati. Abu Hurairah berkata bahawa ia menemui seorang lelaki yang ketagihan arak. Lalu dihadapkan lelaki itu kepada Nabi Muhamad SAW agar dihukum. Di antara para sahabatnya ada mengatakan “Saya memukul dengan tangan”, “Saya memukul dengan kasut” dan “Saya memukul dengan baju.” Ketika lelaki itu berpaling (ke arah sahabat), seorang sahabat menyatakan semoga Allah SWT menghinamu! Maka bersabdalah Rasulullah SAW yang bermaksud "Janganlah kamu meminta bantuan syaitan dalam menghadapinya".

Daripada Abu Darda r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Aku memohon kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, doakanlah (kecelakaan) bagi orang-orang musyrik. Rasulullah menjawab: Sesungguhnya aku diutus bukan untuk melaknat (mengutuk), tetapi aku diutuskan untuk memberi rahmat". Begitulah citra peribadi Rasulullah SAW, dengan akhlak yang luhur telah memberikan contoh kepada manusia agar selalu menghindari sebarang tindakan secara melulu dan selalu sabar dalam menghadapi setiap rintangan atau masalah.

Dalam konteks ini jelas sekali sikap berlebih-lebihan dalam beragama yang menjadi pegangan sesetengah orang bukanlah daripada ajaran Islam. Ini kerana Islam lebih mendahulukan sikap pertengahan atau kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Islam mengingatkan setiap umatnya agar tidak terjerumus pada dua kesesatan iaitu berlebih-lebihan atau sikap lalai. Firman Allah SWT yang bermaksud "Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka dan bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat". (Surah Al-Fatihah: 6-7)

Di dalam masyarakat Islam tidak ada tempat bagi kaum Muslimin untuk meremehkan nilai-nilai luhur yang dijunjung oleh Islam. Masyarakat Islam menjunjung tinggi nilai-nilai moral dan kemanusiaan yang luhur dalam kehidupan umat manusia. Rasulullah bersabda yang bermaksud "Tahukah kamu siapa yang disebut orang bankrap itu. Para sahabat menjawab: Orang yang tiada lagi mempunyai wang dan harta.” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Orang yang bankrap adalah yang datang pada hari kiamat amalan solat, puasa dan zakat, tetapi bersamaan itu juga ia telah mencaci maki, menuduh, memakan harta tidak halal, mengalirkan darah (tanpa hak) dan memukul ini dan itu. Maka amalan baiknya dilimpahkan kepada orang yang berhak menerimanya (yang ia caci) dan jika amalan baiknya habis pada hal belum dapat menutup kesalahannya maka kesalahan (orang yang dicaci itu) dilimpahkan kepadanya, kemudian ia ditempatkan ke dalam neraka".

Seorang Muslim itu perlu memelihara lisan atau lidahnya daripada mencaci maki, walaupun dengan alasan yang kuat. Lebih utama memadamkan api kemarahan itu agar tidak terjadi permusuhan yang menyeret kepada perbuatan dosa. Daripada Ali bin Abi Talib r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud "Yang berbuat keji dan menyiarkan kekejiaan itu berada dalam keadaan sama-sama berdosa". Firman Allah yang bunyi "Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci dan pengkeji". (Surah Al-Humazah:1) Dalam ayat ini, Allah SWT mengutuk perbuatan jahat iaitu menyebarkan fitnah, bercakap ataupun mengisyaratkan perkara yang jahat sama ada terhadap seorang lelaki atau perempuan dengan kata-kata ataupun secara isyarat, atau perangai, atau secara mengajuk-ajuk, ataupun sindiran atau caci maki. Sesungguhnya Allah SWT itu pemalu, penutup (cela), menyukai malu dan tertutup, maka apabila salah seorang kamu mandi maka hendaklah ia ditutup.

Demikian juga firman Allah SWT yang bermaksud "Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Bukanlah tergolong daripada orang mukmin yang suka mencela, mengutuk dan mengeji. Dan bukan pula mereka yang berlidah kotor". (Surah An-Nahl: 25) Dari ayat-ayat al-Quran serta beberapa hadis yang tersebut jelaslah membuktikan bahawa Islam melarang umatnya mencarut dan memaki hamun sesama muslim. Ini kerana kerja-kerja mencarut adalah kegiatan dan perbuatan syaitan. Bagi mereka yang masih tegar dengan pengucapan negatif bagi mewajarkan kenyataan berbaur fitnah, nista dan cela bersandarkan pendapat bahawa Islam tidak melarang umatnya mencarut adalah satu usaha pemesongan dan bertentangan dengan budaya Islam. Mohonlah perlindungan Allah SWT daripada sifat yang buruk.


Nota: Semoga kita mendapat manfaat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...