Showing posts with label setahun di Denmark. Show all posts
Showing posts with label setahun di Denmark. Show all posts

Saturday, April 24, 2010

Perihal 'Study'...

Hari ini genap 3 minggu blog ni tidak dikemaskini. Memang langsung tiada semangat nak tulis blog. Bukan apa, cuma fikiran ini banyak tertumpu kepada study dan ditambah pula dengan masa yang semakin lama semakin suntuk. Pertengahan bulan Mei depan saya dijangka akan menyertai persidangan PPEPPD 2010 di Suzhou, China dan minggu depan, 30 April merupakan tarikh akhir untuk menghantar manuskrip. Sebelum tu, kenalah diluluskan oleh para penyelia dulu. Paling kurang 2 minggu sebelum tarikh akhir dah kena penyelia baca dan komen dulu. Tapi baru semalam saya berjaya hantar draf pertama kepada penyelia. Sebelum tu dah kena sound la dengan penyelia sebab lambat beri draf hoho. Apa boleh buat, results yang sedia ada kurang memuaskan, maka di saat-saat akhir pun masih pulun lagi demi mendapatkan keputusan yang lebih baik sehinggakan hari minggu pun kena pergi sekolah huhu. Tapi setelah hantar draf pertama semalam tu rasa lega la sikit. Dahla malam sebelum tu tidur 2 jam lebih je.

Maka hari ni saya mengambil keputusan untuk berehat sepuasnya dengan keluarga hehe dan hati pun terbukalah nak kemaskini blog ni. Dalam sibuk dengan pengajian ni pula ada juga perkara lain yang nak perlu diuruskan bulan ni. Yang ini akan saya ceritakan dalam entri yang lain pula. Apapun semoga saya dapat melalui hari-hari dalam minggu hadapan dengan lancar dengan pembetulan-pembetulan yang bakal perlu saya buat selepas penyelia menyemak draf pertama manuskrip tu. Pasti penuhlah contengan di atas draf manuskrip tu hehe. Seterusnya berjaya menghantar manuskrip tersebut pada masa yang ditetapkan. Maka lepas tu bolehla fikir pasal seronok dapat ke China dan pulang ke tanahair seketika. Betul kata orang, kita usaha sungguh-sungguh dahulu, setelah itu baru ganjaran tu kita dapat. Work hard pays off kata Mat Saleh hehe.
Bercerita mengenai study ni, kira dah masuk tahun kedua dah saya sekarang ni. Jika sebelum ni saya ada bercerita mengenai setahun kehidupan di Denmark, kali ni saya nak kongsi sedikit mengenai setahun study di Denmark (DTU). Pada pendapat saya, sudah tentu ada sebab mengapa kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk memberi peluang kepada rakyat negara kita untuk belajar di luar negara. Antaranya ialah kerana kelainannya dengan universiti di dalam negara. Apa yang lainnya?. Yang pertama adalah negara tempat belajar itu adalah negara yang asing bagi kita. Bila asing, maka kita akan belajar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan, cuaca, budaya, bahasa di negara ini yang tentunya asing bagi kita. Itu yang saya dapat rasa setelah setahun di sini. Maka insyaAllah bila balik nanti bolehlah kot sesuaikan diri dengan apa jua keadaan dan cabaran di sana.

Selain itu, yang saya nampak adalah kita dapat bekerja dengan orang yang pakar dalam bidang diceburi selain mudah membuat jaringan dengan pakar-pakar lain dalam bidang berkenaan. Sebab itulah contohnya seperti saya yang ingin menyambung pengajian PhD di luar negara perlu mencari penyelia bertaraf Professor atau yang pakar dalam bidang yang diceburi. Secara peribadi pun saya nampak penyelia-penyelia saya ni memang pakar dalam bidang mereka. Mereka banyak idea dan mudah untuk memberi komen dan cadangan setiap kali saya berjumpa mereka. Di sini saya perlu berjumpa mereka seminggu sekali. Memang penat nak kena jumpa tiap-tiap minggu terutama dari segi mental hehe. Tapi paling kurang mereka dapat memberi panduan dan nasihat dengan lebih kerap. Setakat ni rasanya saya berpuas hati dengan suasana kerja di sini dengan bagaimana ilmu/progress kerja itu dikongsi melalui seminar serta komen-komen yang diberi untuk memperbaiki, rakan-rakan sekerja yang sudi membantu sekiranya ada masalah, kerjasama dan jaringan yang banyak dengan pakar dan penyelidik dari universiti luar, hubungan dengan industri dan lain-lain. Rasanya ada banyak yang boleh dicontohi dan diaplikasikan di Malaysia.

Apapun bukan mudah untuk melalui liku-liku dan cabaran dalam menjalankan penyelidikan di sini. Pendek kata, bukan mudah untuk mendapatkan PhD. Kena ada semangat yang sentiasa kuat, ilmu asas yang kukuh, pengurusan masa yang baik dan banyak lagi yang bukan senang nak dikekalkan. Namun, semoga saya dapat lalui 2 tahun lagi ni dengan lebih baik dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya.

Friday, April 2, 2010

Setahun Di Denmark

Sedar tak sedar dah setahun kami berada di Denmark. Kami tiba di sini pada 21 Mac 2009 yang lepas dan kini dah lebih setahun kami menjalani kehidupan di bumi yang asing ini. Banyak kenangan manis yang kami lalui di sini namun terdapat juga sedikit pengalaman yang kurang manis. Memang adatlah dalam kehidupan kita, yang penting kita ambil yang jernih buang yang keruh. Yang keruh tu kita jadikanlah sebagai contoh untuk kita perbaiki diri yang lemah ini. Sudah semestinya tujuan utama saya ke sini adalah untuk menuntut ilmu dan berusaha untuk membawa pulang ijazah PhD namun entri kali ini adalah lebih kepada kehidupan dan pengalaman kami di sini.

Bagi saya, pengalaman yang sangat menarik yang berlaku sepanjang setahun kami saya berada di sini adalah pertama saya mendapat tahu bahawa isteri saya mengandung Mei lepas dan seterusnya melahirkan anak kami yang pertama Februari lepas setelah 3 tahun lebih mendirikan rumahtangga. Ramai rakan/keluarga yang bergurau mengatakan mungkin sebab di sini sejuk kot sebab tu la senang mengandung hehe. Alhamdulillah rezeki kami di sini.
Selain itu, pengalaman yang menarik bagi saya adalah berpeluang untuk tinggal di sebuah negara yang sudah semestinya berbeza dengan Malaysia dari segi cuaca, bahasa, rupa fizikal orangnya, budaya dan macam-macam lagi. Mungkin berbeza daripada orang yang datang melancong ke luar negara kerana kami dapat merasa pengalaman di sini sepanjang tahun. Dari segi cuaca kami dah dapat merasa 4 musim iaitu musim-musim panas, luruh, sejuk dan bunga. Pelbagai pengalaman seperti sejuknya, siang atau malam yang panjang melebihi biasa, salji dan lain-lain. Berbeza dengan cuaca di Malaysia yang mungkin tidak jauh bezanya sepanjang tahun. Dari segi bahasa juga mungkin ada sedikit kesukaran kerana kebanyakan papan tanda, pengumuman dan surat menyurat adalah dalam bahasa Danish walaupun sebenarnya mereka sangat fasih berbahasa Inggeris. Dari segi budaya pula saya tidak berapa rasa pengalamannnya sebab kami lebih banyak bergaul dengan masyarakat Malaysia di sini berbanding dengan rakyat tempatan. Di samping itu juga kami berpeluang untuk melawat negara Eropah lain seperti Sweden, Belanda, Jerman dan juga England.

Selain itu, kami juga rasa bersyukur kerana sebenarnya boleh tahan jugalah bilangan rakyat Malaysia dan Melayu di sini. Yelah kita akan berasa lebih selesa untuk bergaul dengan masyarakat Malaysia dan Melayu di sini kerana agama dan budaya yang sama. Dengan mereka, kami dapat merasa bagaimana kehidupan komuniti Malaysia di luar negara. Sebelum ini selalu nampak dalam gambar dan laman web sahaja. Tahun pertama kami di sini juga buat pertama kalinya kami menyambut Ramadhan dan Syawal di luar Malaysia. Jika diikutkan memang sedih kerana tak dapat beraya bersama keluarga namun kehadiran masyarakat Melayu yang kami anggap seperti keluarga di sini sekurang-kurangnya mengubatkan kesedihan dan kerinduan itu.
Apapun kami sebenarnya sangat rindukan tanahair di sana. Rindu untuk pulang untuk melihat bumi Malaysia dan juga untuk berjumpa keluarga. Namun apakan daya inilah pengorbanan yang kami lakukan dan harapnya ia memberikan pulangan yang baik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...