Di Denmark, musim luruh biasanya adalah di antara bulan September hingga November dan ia menandakan perubahan daripada musim panas ke musim sejuk. Jadi sebenarnya di sini sudah hampir memasuki musim sejuk yang dijangka pada bulan Disember. Sekarang kebanyakan pokok-pokok semua telah togel (tiada daun) kerana telah ditiup angin yang kencang. Biasanya apabila tiba sahaja musim luruh ni, ramai yang akan mengambil kesempatan merakamkan gambar-gambar yang menarik memandangkan suasana semasa awal musim ini sungguh cantik terutamanya pokok-pokok dengan ton warna daun-daunnya yang menarik. Kalau bergambar ketika ini, alamatnya bergambar dengan pokok togel lah hehe. Maka saya kira pasti di setiap blog-blog perantau atau FB mereka telah dipamerkan suasana-suasana musim luruh di tempat masing-masing dan saya juga tidak mahu ketinggalan (walaupun agak lambat sedikit).
Selain daripada keadaan daun-daun yang berubah warna daripada hijau ke kuning, merah, coklat dan akhirnya gugur serta pokok-pokok yang yang togel, apabila tiba sahaja musim luruh ini di Denmark, yang pasti suhu persekitarannya semakin lama akan semakin menurun. Di samping itu, hujan juga akan semakin kerap ditambah dengan angin kencang yang sejuknya sehingga ke tulang (jika tidak memakai pakaian yang sesuai) dan juga hari akan semakin cepat gelap. Ini juga bermakna waktu solat seperti Maghrib dan Isyak juga akan semakin cepat. Hari ini waktu Maghrib dan Isyak masing-masing adalah pukul 4.08 PM dan 5.51 PM, yang bermakna matahari terbenam pada pukul 4.08 petang.
Apapun, ini merupakan pengalaman musim luruh kedua buat saya dan isteri manakala buat Eilman, ini pastinya merupakan pengalaman pertamanya dan kami tidak mahu melepaskan peluang merakamkan gambar kami berlatarbelakangkan musim yang menarik suasananya ini. Maka saya sertakan gambar-gambar musim luruh kami tahun ini dengan lokasinya di Sophienholm dan Frederiksdal.
No comments:
Post a Comment