Sebagai ahli SCH, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat kerana berjaya mengharungi segala cabaran dalam menjayakan program di Dataran Merdeka tersebut. Semoga dengan kempen yang dianjurkan ini bilangan ahli yang mempelajari silat ini akan bertambah dengan lebih ramai lagi. Kejayaan program ini juga menunjukkan sekiranya semua ahli bersatu, tidak mustahil sesuatu perkara itu mampu dilakukan. Terus terang pada mulanya saya agak kurang yakin bahawa angka 10000 itu mampu dicapai, namun dengan usaha dan kerja keras daripada semua, ia mampu juga dicapai walaupun hanya 7356 yang membuat persembahan. Ini juga memberi pengajaran kepada saya bahawa dalam melalui cabaran pengajian PhD kini, kita perlu mempunyai sasaran yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya dan berusaha ke arah itu kerana hasil akhirnya belum tentu apa yang disasarkan, namun masih memuaskan.
Showing posts with label Silat Cekak Hanafi. Show all posts
Showing posts with label Silat Cekak Hanafi. Show all posts
Sunday, October 17, 2010
Sejarah Tercipta..
Alhamdulillah bersempena dengan program Jom Silat yang dianjurkan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia (rujuk entri di bawah), 2 rekod berjaya dicatat di dalam Malaysia Book of Records iaitu Bilangan Pesilat Wanita Teramai Dalam Satu-Satu Persembahan Silat dan juga Bilangan Pesilat Teramai Dalam Satu-Satu Persembahan Silat dengan jumlah sebanyak 7356 orang pesilat. Walaupun kurang daripada sasaran sebanyak 10000 orang namun rekod sebelumnya yang dicatat pada tahun 2005 iaitu seramai 5032 orang pesilat berjaya dipecahkan. Daripada berita yang saya dapat daripada rakan-rakan di Malaysia, jumlah yang mendaftar untuk program Jom Silat ini adalah seramai 10200++ (lebih daripada sasaran) dan jumlah ahli Silat Cekak Hanafi yang hadir juga lebih ramai daripada 7356 orang, akan tetapi selebihnya banyak melibatkan diri dibelakang tabir dari segi pengurusan dan sebagainya. Disertakan beberapa gambar suasana semasa program berkenaan (diambil daripada laman Facebook Silat Cekak Hanafi Johor) dan juga laporan program berkenaan di Buletin Utama 10 Oktober 2010.
Labels:
Jom Silat,
Silat Cekak Hanafi
Saturday, October 9, 2010
Program Jom Silat: Mari Saksikan..
Anda dijemput untuk menyaksikan persembahan silat yang melibatkan seramai 10 000 pesilat Silat Cekak Ustaz Hanafi pada 10/10/10 bermula jam 3.00 petang di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Saksikanlah 'Silat Event of The Year' yang akan mencatatkan sejarah di dalam Malaysia Book of Records.
Antara rekod yang akan dicipta adalah bilangan pesilat yang paling ramai dalam satu-satu persembahan silat dan ini adalah bagi satu organisasi silat sahaja, bukan gabungan organisasi-organisasi silat yang berbeza. Pada tahun 2005 yang lalu di Taman Tasik Titiwangsa, Silat Cekak Ustaz Hanafi pernah mencatat rekod bagi persembahan silat dengan jumlah pesilat seramai 5032 orang. Adakah rekod ini mampu dipecahkan dan mencapai sasaran 10 000 orang ? Jom kita saksikan. Marilah kita sama-sama menyokong warisan pusaka bangsa kita..
Labels:
10/10/10,
Jom Silat,
Silat Cekak Hanafi
Sunday, September 26, 2010
Silat Cekak Hanafi & Diriku..
Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi mengenai satu seni beladiri yang dikenali sebagai Silat Cekak Hanafi (SCH) dan juga sedikit pengalaman saya mempelajarinya dan juga menyampaikan kepada yang lain. Sejak saya mula mengenali dan mempelajari seni beladiri ini pada tahun 2000, sedikit sebanyak ia banyak mempengaruhi atau memberi kesan yang baik terhadap diri dan kehidupan saya. Rasanya elok jika saya dapat kongsikan dulu mengenai beberapa ciri-ciri seni beladiri ini secara ringkas. Sebelum itu, penting untuk saya nyatakan bahawa SCH yang saya ikuti adalah yang dipimpin oleh Tuan Guru Hj. Md. Radzi Hj. Hanafi.
Kebiasaannya bila bercakap mengenai silat, orang akan mengaitkan ia dengan berkekuda dan juga mempunyai bunga-bunga. Namun berbeza dengan SCH yang mana pendiriannya adalah berdiri lurus (tidak berkekuda) seperti berdiri lurusnya ketika bersolat. Ramai yang berkata bahawa pendirian berkekuda lebih stabil, akan tetapi adakah berdiri lurus tidak stabil ?. Antara kelebihan SCH adalah semua pergerakannya adalah berasaskan kepada pergerakan semulajadi manusia. Maka memang semulajadi manusia berdiri lurus dan tidak berjalan dalam keadaan berkekuda. Keadaan ini (pergerakan semuladi manusia) memberi ruang kepada pengamalnya untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang serangan daripada musuh. Selain itu, antara kelebihan lain berdiri lurus ini adalah musuh tidak dapat membaca pergerakan kita. Jika contohnya berkekuda dengan salah satu kaki di hadapan, mungkin musuh (yang belajar seni beladiri) dapat mengagak apa pergerakan kita seterusnya. Namun ingin saya nyatakan di sini saya tidak mempunyai niat langsung untuk memburukkan apa-apa seni beladiri lain yang mempunyai pendirian berkekuda. Mereka pasti mempunyai alasan mereka yang tersendiri. 
Antara ciri lain SCH ialah dikatakan bahawa 99 % buah pergerakannya adalah mempertahankan diri atau menanti serangan dan hanya 1 % yang digunakan untuk menyerang (itupun jika terdesak). Ini menunjukkan bahawa ia mengajar pengamalnya supaya tidak menceroboh orang lain atau memulakan pergaduhan. Sekiranya diserang barulah diaplikasikan SCH ini untuk mempertahankan diri. Ini juga mengajar pengamalnya sifat berani. Buah serang yang dipelajari pula akan digunakan jika terdesak dan benar-benar diperlukan. Antara ciri menarik lain adalah pergerakannya yang mara kehadapan tanpa mengelak ke kiri mahupun ke kanan apabila menghadapi serangan musuh dan penceroboh. Di samping itu juga penggunaan kaki hanya di bawah paras pinggang dan sangat sesuai untuk dipelajari oleh kaum Hawa. Apapun untuk mengetahui lebih lanjut mengenai silat ini, bolehlah berkunjung ke laman web http://www.silatcekakhanafi.org/ dan mempelajari sendiri silat ini.
Mengenai penglibatan saya dalam SCH, ia bermula di UTM Skudai semasa saya di tahun 1. Pada waktu itu memang saya bercadang untuk mempelajari silat dan antara pilihan yang ada adalah Silat Gayung dan juga Silat Cekak. Kebetulan pula, hanya latihan Silat Cekak yang ada dijalankan di kolej tempat saya menginap iaitu Kolej Siswa Desa Skudai (kolej ini di luar kampus). Maka saya terus mendaftar tanpa pernah melihat pun demonstrasi yang dijalankan daripada kolej ke kolej. SCH mempunyai beberapa peringkat pembelajaran daripada peringkat asas ke peringkat jatuh, peringkat potong dan seterusnya peringkat tamat. Kebiasaannya bilangan pelajar akan merosot apabila makin tinggi peringkatnya dengan alasan-alasan yang pelbagai seperti sibuk dengan pelajaran, tidak larat/penat mengikuti latihan dan sebagainya. Alhamdulillah, saya masih berupaya belajar sehingga tamat. Bermula di peringkat potong dan tamat, kelas latihan telah berubah ke dalam kampus di Pusat Latihan, Kolej Rahman Putra. Atas minat yang mendalam, maka saya teruskan belajar juga walaupun terpaksa sama ada menumpang rakan atau menaiki bas ke dalam kampus. Setelah tamat silibus pembelajaran, saya masih teruskan latihan di peringkat umum dan juga kemahiran. Di sini kita dapat pelajari seterusnya bagaimana untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari. Ramai yang menganggap tamat silibus maka tamat belajar. Itu salah. Sebenarnya masih banyak yang boleh dan perlu dipelajari.
Seterusnya saya juga berkesempatan menjadi AJK persatuan yang berperanan untuk membantu mengembangkan, menyebarkan dan mempromosikan SCH ini kepada seluruh warga UTM. Sesungguhnya ia bukanlah satu tugas yang mudah. Namun banyak perkara yang saya pelajari dari aspek perancangan, pengurusan, pengagihan tugas, bagaimana untuk menyakinkan orang untuk mempelajari silat ini, bercakap di khalayak ramai, berurusan dengan orang-orang penting dan banyak lagi. Tambahan pula saya pernah dilantik menjadi presiden persatuan.
Setelah itu, saya juga berkesempatan untuk membantu mengajar seni beladiri ini di UTM. Memang satu situasi yang sangat berbeza belajar dan juga mengajar. Apabila mengajar, saya perlu peka dengan teknik-teknik yang diajar disamping perlu memastikan pelajar memahami dan juga membuat gerakan dengan betul. Terdapat pelajar yang cepat memahami dan membuat gerakan dengan baik dan ada yang mengambil masa yang agak lama untuk boleh membuat pergerakan dengan baik. Biasanya ada diantara mereka ini mudah putus asa dan menjadi tugas tenaga pengajar untuk terus memberi semangat dan memberi tumpuan yang lebih kepada mereka. Yelah, mungkin ada yang pernah belajar seni beladiri lain sebelum itu atau ahli sukan dan ada yang tidak pernah langsung belajar seni beladiri.
Pendek kata di setiap peringkat seperti semasa belajar silat, mengikuti program persatuan, menjadi AJK persatuan dan juga mengajar, terdapat pelbagai perkara baru yang saya pelajari yang banyak memberi kesan yang baik terhadap diri saya. Antara perkara yang saya pelajari juga adalah betapa pentingnya guru, ibu dan bapa dalam kehidupan kita. Memang itu perkara yang semua orang tahu, tetapi di dalam silat ini perkara itu banyak/lebih ditekankan. Selain itu, banyak lagi perkara yang saya pelajari yang penting di dalam kehidupan seharian kita. Sehingga kini pun walaupun sedang belajar di Denmark, saya sentiasa mengikuti perkembangan SCH di Malaysia dan akan terus aktif apabila pulang nanti insyaAllah. Hidup Cekak Hanafi !!. Untuk makluman, saya juga bertemu jodoh semasa kami sama-sama belajar silat ini di UTM hehe.
Labels:
pengalaman,
Silat Cekak Hanafi
Subscribe to:
Posts (Atom)