Salam Aidilfitri buat semua muslimin dan muslimat di seluruh dunia dan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-54 buat seluruh rakyat Malaysia. Dengan ingatan tulus ikhlas daripada kami sekeluarga di Copenhagen, Denmark. Khas buat keluarga, rakan-rakan dan semua yang mengenali diri kami, sila klik di sini untuk melihat ucapan Salam Perantauan kami yang disiarkan secara online di Utusan.com.
Showing posts with label Hari Raya. Show all posts
Showing posts with label Hari Raya. Show all posts
Wednesday, August 31, 2011
Salam Aidilfitri & Salam Kemerdekaan
Sila layan gambar-gambar shooting raya kami (terutamanya Eilman) yang di ambil di Frilandsmuseet, Lyngby.
Labels:
Hari Raya,
merdeka,
Salam Perantauan,
ucapan
Sunday, November 21, 2010
Eid-ul Adha @ Virumvej 86
Hari Raya Qurban tahun ini disambut pada hari Selasa lepas di sini, satu hari lebih awal daripada di Malaysia. Sudah pasti sambutannya berbeza dengan di tanahair memandangkan tiada cuti khas diberikan sempena perayaan ini di sini. Jika di Malaysia, pastinya di waktu pagi, perkara pertama yang akan dilakukan adalah solat sunat Aidil Adha di masjid dan seterusnya akan bergotong-royong menjalani ibadah Qurban serta lain-lain aktiviti yang berkaitan dengannya. Bagi yang lain pula, mungkin selepas solat sunat, mereka akan meluangkan masa bersama keluarga atau ziarah-menziarahi rakan-rakan serta saudara mara.
Bagi saya di sini, tahun ini saya sempat untuk menyertai jemaah menjalani solat sunat Aidil Adha di masjid berdekatan dengan universiti. Ia hanya mengambil masa yang agak singkat dengan solat yang bermula pada jam 9 pagi beserta khutbah dan selesai pada jam 9.20 pg. Setelah itu, saya terus ke universiti untuk bekerja. Semua rakan-rakan yang lain juga bekerja pada hari tersebut. Biasanya kesempatan yang ada hanyalah pada hari minggu yang terdekat untuk menyambut Hari Raya Qurban ini dengan jamuan makan serta berkumpul ramai-ramai.
Maka, semalam bertempat di Virumvej 86 kami bersama rakan-rakan yang lain telah dijemput oleh Saudara Kamaruddin & keluarga untuk bersama-sama berkumpul dan menyambut Hari Raya Qurban di rumah mereka. Makanan yang dihidangkan adalah bertemakan "Makanan Kelate" seperti Nasi Dagang (makanan Terengganu kot ni), Nasi Kerabu, Akok dan lain-lain hidangan. Terima kasih kepada tuan rumah di atas jemputan. Makanan semua memang sedap-sedap belaka. Disertakan beberapa gambar semasa jamuan tersebut.
Monday, November 15, 2010
Hari Raya Qurban 1431 Hijrah
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua umat Islam di seluruh dunia terutamanya kepada para jemaah haji di Tanah Suci Mekah. Semoga kita semua mengambil pengajaran daripada peristiwa Qurban yang diperintahkan Allah S.W.T kepada Nabi Ibrahim A.S ke atas anaknya Nabi Ismail A.S.
Di sini, menurut seperti yang telah diumumkan oleh The Islamic Faith Society in Denmark melalui laman web wakf.com, Hari Raya Qurban jatuh pada tarikh 16 November 2010 (Selasa) sehari lebih awal daripada di Malaysia.
Untuk lebih memperolehi manfaat sempena Hari Raya Qurban ini, jom baca artikel di bawah (klik pada read more) tulisan Hilal Asyraf. Atau boleh rujuk direct link di sini:
Tuesday, September 14, 2010
Hari Raya 2010 @ Denmark
Pertamanya saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin kepada keluarga, saudara mara, rakan-rakan, kenalan dan juga kepada semua pembaca yang setia membaca blog ini. Nampaknya ini merupakan kali kedua saya dan isteri menyambut Hari Raya di perantauan. Namun tahun ini agak istimewa bagi kami berdua kerana kali ini kami dapat beraya bersama anak kami Eilman yang kini sudah berusia hampir 7 bulan. Kami juga sempat meng'order' 2 pasang baju Melayu daripada Mak Tok dan Tok Wan Eilman siap dengan sampin dan songkok betul-betul muat dipakai Eilman. Mengikut Mak Tok saiz baju tu sesuai untuk kanak-kanak yang berusia setahun, tapi sudah muat dipakai Eilman hehe.
Nak mulakan cerita mengenai Hari Raya ni, pada asalnya saya menjangkakan bahawa kami akan menyambutnya pada hari Khamis. Pertamanya ialah kerana di sebuah masjid/surau berhampiran dengan DTU ni telah diisytiharkan bahawa solat sunat Aidilfitri akan diadakan pada hari Khamis jam 7.30 pagi dan yang kedua adalah berdasarkan satu fatwa yang telah dikeluarkan oleh European Council for Fatwa and Research yang menyatakan bahawa 1 Syawal adalah pada hari Khamis. Jadi sebenarnya tiada masalah juga kalau saya nak menyambut Hari Raya pada hari berkenaan. Namun setelah mendapat berita bahawa Embassy Malaysia di Stockholm, masjid di Norrebro juga di Valby telah mengisytiharkan 1 Syawal pada hari Jumaat ditambah pula dengan rakan-rakan di sini yang sepakat nak raya hari Jumaat maka kami pun mengambil keputusan untuk beraya jugalah pada hari Jumaat.
Seperti Aidilfitri tahun lepas, saya bersama rakan-rakan yang lain telah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Kedutaan Indonesia di Hellerup, Denmark. Apa nak buat, Kedutaan Malaysia tiada di sini, maka kami menumpanglah. Alhamdulillah di sini hubungan di antara rakyat Malaysia dan Indonesia sangat baik dan keadaan di sini aman. Mak saya ada juga menyatakan kerisauan jika saya ke sana, namun tiada masalah di sini. Sebaik sahaja selesai solat sunat dan khutbah, kami terus berkunjung ke rumah saudara Fauzi dan Kak Su yang terletak berhampiran yang telah menjemput kami berkumpul di rumahnya sempena Hari Raya. Di sini keluarga dan saudara mara semua jauh, maka untuk merasa suasana Hari Raya dan mengelak kesunyian maka kami berkumpullah ramai-ramai. Antara makanan yang disediakan adalah satay, nasi minyak, nasi impit, lemang, rendang dan juga kuih muih. Daripada rumah Fauzi, kami berkunjung pula ke rumah Chef Haizan dan Kak Aya di Norrebro yang menjemput kami di sebelah petang. Kira satu hari jugalah beraya dan berjumpa rakan-rakan, sampai rumah pun dah 9.30 malam.
Pada hari raya kedua pula, kami telah dijemput oleh saudara Nazri dan Kak Adila ke rumah mereka di sebelah petang. Antara makanan yang disediakan adalah rojak pasembur, nasi dengan lauk pauk ala kampung, kuih lopeh dan lain-lain. Alhamdulillah di sana kami dapat berjumpa dengan ramai lagi rakan-rakan berbanding hari sebelumnya. Seterusnya pada hari raya ketiga kami telah berkunjung ke rumah saudara Isrin dan Kak Lynne. Antara yang dihidangkan adalah nasi jagung, nasi impit dan lontong, kuih-muih dan lain-lain. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjemput kami, jemput pula datang beraya ke rumah kami walaupun kami tak buat 'open house'. Apa yang penting rasanya ialah supaya kita dapat lebih mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita.
Seterusnya hari Isnin. Tiada lagi cuti dan berhari raya. Kembali bekerja dan berfikir. Huhu..
Sebelum terlupa, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah berkunjung ke rumah saya pada malam raya membawa makanan untuk berbuka puasa bersama dan seterusnya bertakbir di rumah ini. Semoga dapat bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya. Banyak kekurangan kali ini..
Labels:
Hari Raya,
perantauan
Thursday, November 26, 2009
Salam Aidil Adha..
Sambutan secara fizikal di Denmark rasanya biasa sahaja, cuma ada beberapa jemputan jamuan oleh rakan-rakan di sini pada hari Sabtu ini. Pada pagi hari pertama Raya Haji pula saya kena membuat pembentangan untuk seminar di CAPEC, DTU huhu. Maka mungkin tidak menyertai Solat Sunat Raya. Apapun inilah pengalaman beraya di perantauan di luar negara yang perlu dilalui.
Labels:
Aidil Adha,
Hari Raya,
ucapan
Wednesday, October 7, 2009
Suasana Aidilfitri @ Copenhagen
Berikut merupakan rakaman Sambutan Aidilfitri & Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-52 yang telah diadakan di Copenhagen Denmark baru-baru ini. Khas buat keluarga dan rakan-rakan yang ingin melihat suasana sambutan di sini. Sila klik pada butang Play (bentuk segitiga) untuk memainkan video di bawah. Sebelum itu, klik pada butang Pause pada ruangan muzik.
Friday, October 2, 2009
Majlis Sambutan Raya & Merdeka 2009
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku beramai-ramai dan majlis memotong kek Merdeka yang ditempah khas siap dengan hiasan bendera Malaysia. Setelah itu semua tetamu dijemput makan. Ada pelbagai juadah yang disediakan seperti lemang berserta serunding, nasi minyak (ke beriani ? hehe), kek pelbagai jenis, beraneka kuih-muih, buah-buahan dan macam-macam lagi la. Memang sedap semuanya, makin naik la berat aku huhu. Tapi ketupat daun palas takde la pula hehe. Sambil-sambil makan tu ada juga acara sukaneka untuk kanak-kanak dan juga karaoke. Boleh tahan juga Pak Herman berkaraoke hehe. Yang lain mungkin ade bakat tapi masih malu-malu kot atau memang takde bakat macam saya ni huhu. Majlis ni memang setiap tahun diadakan dan ini merupakan kali pertama bagi kami. Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur (saudara Fauzi terutamanya) dan juga tuan rumah (Pak Herman & Kak Siti) kerana bertungkus-lumus menjemput tetamu dan menganjurkan majlis yang meriah serta penting ini. Penting sebab dapat dapat merapatkan silaturrahim serta menanamkan semangat cintakan Malaysia walaupun berada jauh daripada tanahair. Semoga dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang pula.
Nota: Kami ada rakam majlis ni melalui video cam, nanti bila dah siap edit semua saya akan paparkan di dalam blog ni. Ni bagi yang berminat nak tengok suasana di sini jela.
Wednesday, September 30, 2009
Salam Perantau @ Berita Harian
Tetapi ada sedikit rasa terkilan la sebab ucapan asal yang saya tulis telah diubah atau dipotong sedikit oleh pihak Berita Harian, mungkin agak panjang. Jika maksudnya sama tidak mengapa, cuma yang ni agak lari sedikit. Pertama nama ibu bapa kami dipadam, kedua ucapan ditujukan kepada mereka (ibu bapa serta keluarga) di Selangor dan Kedah, namun negeri Kedah tu dipadam juga. Jadi macam tak sampai pula ucapan tu ke Kedah hehe. Kalau tulis Malaysia lagi bagus rasanya hehe. Tapi itulah pengalaman pertama hantar ucapan dalam akhbar. Lepas ni kena bagi yang tepat dan padat. Apapun syukurlah, paling kurang dapat masuk akhbar. Cuma perlu lebih ketelitian dan sensitiviti pihak yang berkaitan.
Berikut merupakan ucapan yang sebenar:
Nama dan Lokasi Penerima: Mak dan Abah (Mustaffa Hj. Abdullah dan Rosnani Md Kassim) di Bandar Baru Bangi Selangor, Mak dan Ayah (Siti Zainab Yusof dan Ramli Mohd Hassan) serta keluarga di Jitra Kedah, Tuan Guru Hj. Md Radzi Hj. Hanafi sekeluarga di Kuala Lumpur, Penaja kami (KPT dan UTM), saudara mara, rakan-rakan dan kenalan di seluruh tanahair.
Ucapan: Salam Ramadhan dan Salam Aidilfitri. Semoga ibadah puasa yang dilalui mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada-Nya. Dari jauh kami memohon ampun dan maaf zahir dan batin. Kali pertama berpuasa dan beraya di perantauan pastinya berbeza daripada tanahair sendiri dan sesungguhnya kami amat merindui suasana di sana. Akhir kata, doakan kejayaan kami di sini dan semoga kita berjumpa lagi.
Ucapan: Salam Ramadhan dan Salam Aidilfitri. Semoga ibadah puasa yang dilalui mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada-Nya. Dari jauh kami memohon ampun dan maaf zahir dan batin. Kali pertama berpuasa dan beraya di perantauan pastinya berbeza daripada tanahair sendiri dan sesungguhnya kami amat merindui suasana di sana. Akhir kata, doakan kejayaan kami di sini dan semoga kita berjumpa lagi.
Nota: Terima kasih kepada Ain kerana tolong scan dan e-melkan gambar di atas.
Labels:
Hari Raya,
Salam Perantauan
Tuesday, September 22, 2009
Biskut Almond Lyngby
Hari raya kedua semalam kami tidak ke mana-mana kerana tiada lagi jemputan (raya pertama dah pergi 4 rumah !) dan tiada pula rakan-rakan yang nak datang beraya ke rumah kami. Nak buat rumah terbuka panggil semua tak mampu pula buat masa ni. Apapun jemputlah datang beraya ke rumah kami ye, sekadar ziarah-menziarahi dan makan kuih-muih hehe. Dah lama tiada orang datang melawat teratak kami semenjak housewarming bulan April lepas. Macam sedih pula bunyinya haha. Hari ini saya masih bercuti walaupun tidak ke mana-mana tapi esok dah kena mula bekerjalah. Kalau di kampung di Malaysia tu ada juga aktiviti sampai ke hari 4 dan 5.
Sebenarnya untuk paparan kali ini, saya nak tunjuk satu-satunya kuih raya yang kami buat pada tahun ini. Ia diberi nama Almond Lyngby, sempena tempat ia dibuat bukan di London ye. Tahun ni kena belajarlah nak buat ini semua, kalau di Malaysia memang beli yang siap je. Bulan puasa lepas pun pelbagai jenis kuih-kuih yang Wawa dah buat. Kebanyakannya memang jadi la. Lagi sedap rasanya daripada di pasar Ramadhan. Yela sebab ia dibuat dengan penuh keikhlasan dan rasa kasih sayang. Nak rasa kuih Almond Lyngby ni jemputlah mai raya rumah kami hehe.
Labels:
Hari Raya
Monday, September 21, 2009
1 Syawal 1430 H
Sambutan 1 Syawal di sini kami mulakan dengan menunaikan Solat Sunat Hari Raya di Kedutaan Indonesia. Seperti yang telah saya katakan di Denmark tiada Kedutaan Malaysia, yang terdekat adalah terletak di Stockholm, Sweden yang agak jauh daripada sini. Masjid besar juga tiada di sini cuma surau yang mungkin agak terhad ruangnya. Tambahan pula rakyat Indonesia juga merupakan rumpun Melayu dan juga mempunyai budaya dan bahasa yang hampir sama dengan kita. Solat Sunat Hari Raya dimulakan dalam jam 9.30 pagi, disambung dengan khutbah Raya dan juga sesi bersalam-salaman dengan semua yang hadir. Di sana kami juga berjumpa dengan rakan-rakan rakyat Malaysia dan Singapura yang lain.
Setelah selesai, kami dijemput oleh Fauzi untuk berhari raya ke rumah mereka di Hellerup. Ini merupakan rumah yang pertama kami kunjungi pada 1 Syawal ini. Ketibaan kami disambut oleh Kak Sue dan Nini siap berbaju raya dengan hidangan kuih-muih dan juga rendang. Setelah itu kami pulang seketika ke rumah kami di Lyngby dan bersiap-siap untuk menyerbu rumah-rumah lain pula. Setelah itu dalam jam 12.00 tgh kami bertolak menuju ke Nordhavn ke rumah Isrin dan Kak Lynn. Di sana kami berjumpa dan berkenalan dengan Kak Bibi (rakyat Malaysia yang tinggal di Arhus) dan juga Kak Rose (rakyat Singapura yang tinggal lama di sini). Antara juadah yang disediakan adalah seperti Rendang, Lontong, Satay Goreng dan lain-lain. Tema pakaian raya kami dan keluarga Isrin adalah merah, sama la pulak. Cadangan seterusnya adalah ke rumah terbuka yang dianjurkan oleh Nazri dan Adila di Bandar Copenhagen. Kami mendapat langkah kanan kerana telah dijemput oleh Kak Bibi untuk menumpang keretanya ke sana. Tahun depan kena sewa kereta la nampaknya kalau nak beraya banyak rumah dengan anak lagi.
Kami tiba di rumah Nazri & Adila di Herluf Trolles Gade pada jam 1.30 petang. Sebenarnya kami baru sahaja mengenali mereka dalam lebih kurang seminggu sebelumnya. Di sana kami berkenalan dengan ramai lagi rakan-rakan Malaysia & Melayu di sana. Rupanya ada ramai lagi orang Melayu yang tinggal di sini. Daripada seorang rakan yang kami temui di sana yang mula tiba di Denmark pada tahun 2000, pada waktu tu masih kurang orang Melayu yang berada di Copenhagen, namun makin lama makin bertambah. Semua yang kami jumpa di sini betul-betul peramah-peramah orangnya, jadi perasaan segan tu berkuranglah sedikit. Di sana antara juadah yang dihidangkan adalah seperti Nasi Briyani, Satay, Lontong, kuih-muih dan banyak lagi.
Labels:
Hari Raya
Saturday, September 19, 2009
Selamat Hari Raya Aidilfitri..
Assalamu'alaikum kepada semua rakan-rakan dan keluarga yang sudi mengunjungi blog saya . Di kesempatan ini saya, Azizul Azri Mustaffa dan isteri, Siti Salwa Ramli ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin di atas segala kesalahan dan kesilapan yang mungkin telah kami lakukan terutamanya melalui blog ini. Sambutlah Aidilfitri ini dengan penuh semangat dengan kemenangan yang anda semua telah perolehi insyaAllah. Berhati-hatilah semasa pulang ke kampung dan juga apabila kembali nanti dan jagalah diri dengan sebaik-baiknya. Ikhlas daripada kami di Copenhagen, Denmark.
Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyampaikan Salam Aidilfitri kepada kami dan juga telah memberikan kad raya elektronik kepada kami sama ada melalui friendster, facebook mahupun melalui blog ini. Ini pula merupakan satu-satunya kad raya yang perolehi melalui blog ini iaitu daripada mamasyipah. Terima kasih.
Labels:
Hari Raya
Subscribe to:
Posts (Atom)