Sunday, September 26, 2010

Silat Cekak Hanafi & Diriku..

Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi mengenai satu seni beladiri yang dikenali sebagai Silat Cekak Hanafi (SCH) dan juga sedikit pengalaman saya mempelajarinya dan juga menyampaikan kepada yang lain. Sejak saya mula mengenali dan mempelajari seni beladiri ini pada tahun 2000, sedikit sebanyak ia banyak mempengaruhi atau memberi kesan yang baik terhadap diri dan kehidupan saya. Rasanya elok jika saya dapat kongsikan dulu mengenai beberapa ciri-ciri seni beladiri ini secara ringkas. Sebelum itu, penting untuk saya nyatakan bahawa SCH yang saya ikuti adalah yang dipimpin oleh Tuan Guru Hj. Md. Radzi Hj. Hanafi.
Kebiasaannya bila bercakap mengenai silat, orang akan mengaitkan ia dengan berkekuda dan juga mempunyai bunga-bunga. Namun berbeza dengan SCH yang mana pendiriannya adalah berdiri lurus (tidak berkekuda) seperti berdiri lurusnya ketika bersolat. Ramai yang berkata bahawa pendirian berkekuda lebih stabil, akan tetapi adakah berdiri lurus tidak stabil ?. Antara kelebihan SCH adalah semua pergerakannya adalah berasaskan kepada pergerakan semulajadi manusia. Maka memang semulajadi manusia berdiri lurus dan tidak berjalan dalam keadaan berkekuda. Keadaan ini (pergerakan semuladi manusia) memberi ruang kepada pengamalnya untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang serangan daripada musuh. Selain itu, antara kelebihan lain berdiri lurus ini adalah musuh tidak dapat membaca pergerakan kita. Jika contohnya berkekuda dengan salah satu kaki di hadapan, mungkin musuh (yang belajar seni beladiri) dapat mengagak apa pergerakan kita seterusnya. Namun ingin saya nyatakan di sini saya tidak mempunyai niat langsung untuk memburukkan apa-apa seni beladiri lain yang mempunyai pendirian berkekuda. Mereka pasti mempunyai alasan mereka yang tersendiri.
Antara ciri lain SCH ialah dikatakan bahawa 99 % buah pergerakannya adalah mempertahankan diri atau menanti serangan dan hanya 1 % yang digunakan untuk menyerang (itupun jika terdesak). Ini menunjukkan bahawa ia mengajar pengamalnya supaya tidak menceroboh orang lain atau memulakan pergaduhan. Sekiranya diserang barulah diaplikasikan SCH ini untuk mempertahankan diri. Ini juga mengajar pengamalnya sifat berani. Buah serang yang dipelajari pula akan digunakan jika terdesak dan benar-benar diperlukan. Antara ciri menarik lain adalah pergerakannya yang mara kehadapan tanpa mengelak ke kiri mahupun ke kanan apabila menghadapi serangan musuh dan penceroboh. Di samping itu juga penggunaan kaki hanya di bawah paras pinggang dan sangat sesuai untuk dipelajari oleh kaum Hawa. Apapun untuk mengetahui lebih lanjut mengenai silat ini, bolehlah berkunjung ke laman web http://www.silatcekakhanafi.org/ dan mempelajari sendiri silat ini.

Mengenai penglibatan saya dalam SCH, ia bermula di UTM Skudai semasa saya di tahun 1. Pada waktu itu memang saya bercadang untuk mempelajari silat dan antara pilihan yang ada adalah Silat Gayung dan juga Silat Cekak. Kebetulan pula, hanya latihan Silat Cekak yang ada dijalankan di kolej tempat saya menginap iaitu Kolej Siswa Desa Skudai (kolej ini di luar kampus). Maka saya terus mendaftar tanpa pernah melihat pun demonstrasi yang dijalankan daripada kolej ke kolej. SCH mempunyai beberapa peringkat pembelajaran daripada peringkat asas ke peringkat jatuh, peringkat potong dan seterusnya peringkat tamat. Kebiasaannya bilangan pelajar akan merosot apabila makin tinggi peringkatnya dengan alasan-alasan yang pelbagai seperti sibuk dengan pelajaran, tidak larat/penat mengikuti latihan dan sebagainya. Alhamdulillah, saya masih berupaya belajar sehingga tamat. Bermula di peringkat potong dan tamat, kelas latihan telah berubah ke dalam kampus di Pusat Latihan, Kolej Rahman Putra. Atas minat yang mendalam, maka saya teruskan belajar juga walaupun terpaksa sama ada menumpang rakan atau menaiki bas ke dalam kampus. Setelah tamat silibus pembelajaran, saya masih teruskan latihan di peringkat umum dan juga kemahiran. Di sini kita dapat pelajari seterusnya bagaimana untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari. Ramai yang menganggap tamat silibus maka tamat belajar. Itu salah. Sebenarnya masih banyak yang boleh dan perlu dipelajari.

Seterusnya saya juga berkesempatan menjadi AJK persatuan yang berperanan untuk membantu mengembangkan, menyebarkan dan mempromosikan SCH ini kepada seluruh warga UTM. Sesungguhnya ia bukanlah satu tugas yang mudah. Namun banyak perkara yang saya pelajari dari aspek perancangan, pengurusan, pengagihan tugas, bagaimana untuk menyakinkan orang untuk mempelajari silat ini, bercakap di khalayak ramai, berurusan dengan orang-orang penting dan banyak lagi. Tambahan pula saya pernah dilantik menjadi presiden persatuan.

Dari segi mempromosikan silat ini kepada pelajar universiti juga ada cabaran tersendiri. Ramai yang menganggap bahawa tidak penting belajar seni beladiri. Namun bagi saya, melihatkan keadaan sekeliling kita yang dipenuhi berita mengenai kes bunuh, rogol, ragut dan sebagainya rasanya satu perkara yang sangat penting mempelajari seni beladiri. Mungkin ramai yang boleh memberi alasan mereka boleh lari atau mereka yakin boleh selamatkan diri mereka sendiri tapi bagaimana jika jenayah tersebut berlaku kepada ahli keluarga mereka sendiri. Adakah kita mampu mempertahankan keluarga kita ?. Ada juga pelajar yang bertanya bagaimana jika penjenayah menggunakan pistol ?. Persoalannya berapa banyakkah di antara penjenayah yang menggunakan pistol untuk membunuh, merogol ataupun meragut mangsanya. Persoalan besarnya adalah apakah usaha yang telah kita lakukan untuk mempertahankan diri kita ?. Adakah cukup dengan hanya berdoa dan bertawakkal ? Tanpa disertai usaha ?.

Setelah itu, saya juga berkesempatan untuk membantu mengajar seni beladiri ini di UTM. Memang satu situasi yang sangat berbeza belajar dan juga mengajar. Apabila mengajar, saya perlu peka dengan teknik-teknik yang diajar disamping perlu memastikan pelajar memahami dan juga membuat gerakan dengan betul. Terdapat pelajar yang cepat memahami dan membuat gerakan dengan baik dan ada yang mengambil masa yang agak lama untuk boleh membuat pergerakan dengan baik. Biasanya ada diantara mereka ini mudah putus asa dan menjadi tugas tenaga pengajar untuk terus memberi semangat dan memberi tumpuan yang lebih kepada mereka. Yelah, mungkin ada yang pernah belajar seni beladiri lain sebelum itu atau ahli sukan dan ada yang tidak pernah langsung belajar seni beladiri.

Pendek kata di setiap peringkat seperti semasa belajar silat, mengikuti program persatuan, menjadi AJK persatuan dan juga mengajar, terdapat pelbagai perkara baru yang saya pelajari yang banyak memberi kesan yang baik terhadap diri saya. Antara perkara yang saya pelajari juga adalah betapa pentingnya guru, ibu dan bapa dalam kehidupan kita. Memang itu perkara yang semua orang tahu, tetapi di dalam silat ini perkara itu banyak/lebih ditekankan. Selain itu, banyak lagi perkara yang saya pelajari yang penting di dalam kehidupan seharian kita. Sehingga kini pun walaupun sedang belajar di Denmark, saya sentiasa mengikuti perkembangan SCH di Malaysia dan akan terus aktif apabila pulang nanti insyaAllah. Hidup Cekak Hanafi !!. Untuk makluman, saya juga bertemu jodoh semasa kami sama-sama belajar silat ini di UTM hehe.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...