Buat kami di sini, ini merupakan pengalaman kali ketiga kami melalui bulan Ramadhan di perantauan. Antara cabaran yang dilalui di sini adalah berpuasa selama 17-18 jam sehari memandangkan sekarang merupakan musim panas yang mana waktu siangnya lebih panjang daripada waktu malam. Namun mungkin ia seimbang dengan cuaca yang lebih sejuk berbanding dengan di Malaysia yang mana waktu puasanya adalah antara 13-14 jam sehari. Namun, Alhamdulillah kami dapat melaluinya dengan baik. Waktu Isyak pula pada masa sekarang adalah lebih kurang 11.00 malam. Agak mencabar jugalah untuk bersolat Tarawikh pula kerana rasa mengantuk tu dah mula terasa. Apapun itulah cabarannya berada di sini berbanding dengan masa di Malaysia yang nampaknya agak ideal. Tapi saya pasti masih ramai lagi insan yang melalui cabaran yang lebih teruk semasa bulan Ramadhan. Semoga Allah memberi kesabaran kepada mereka.
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Saturday, August 6, 2011
Salam Ramadhan 1432 H
Saturday, August 21, 2010
Ramadhan di Perantauan..
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana masih diberi peluang untuk bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Di kesempatan ini, saya nak ucapakanlah salam Ramadhan dan selamat menunaikan ibadah puasa dan ibadah-ibadah yang lain-lainnya kepada semua keluarga, rakan-rakan dan semua yang membaca blog ni. Semoga prestasi ibadah kita semua lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya dan berterusan di bulan-bulan yang lain juga.
Bagi saya dan isteri, ini merupakan kali kedua kami menghadapi Ramadhan di bumi Denmark ni. Untuk pengetahuan yang membaca, jumlah masa kami berpuasa di sini adalah lebih kurang 17-18 jam (berbanding 14 jam di Malaysia) bergantung kepada jadual mana yang diikuti. Pada ketika ini waktu Subuh adalah pada jam 3.02 pagi manakala waktu berbuka adalah pada jam 8.35 malam. Manakala waktu Isyak adalah jam 11.07 malam (ada jadual lebih kurang 10.30 malam). Pada tahun pertama tu, terutamanya di awal bulan agak terasa jugalah kepenatan berpuasanya. Namun lama-kelamaan tu dah jadi biasala. Macam tahun ni pula, Alhamdulillah setakat ni tiada masalah kerana mungkin dah pernah berpuasa selama ini dan cuaca yang agak sejuk sikit sekarang. Kebetulan bulan Ramadhan ketika ini jatuh semasa musim panas, jika jatuhnya semasa musim sejuk maka masa berpuasanya akan menjadi lebih singkat (dalam 10 jam).
Jika hendak bersolat Tarawih berjemaah pula, surau atau masjid tidaklah banyak seperti di Malaysia. Ada pun, agak jauh sikit la dan mungkin akan pulang agak lewat memandangkan Isyak pun sudah lewat. Jadi kami hanya menunaikannya di rumah sahaja (samada bersendirian atau jemaah suami isteri). Jadi bagi yang berada di Malaysia tu rajin-rajinlah berkunjung ke surau/masjid solat berjemaah (tidak kira untuk solat Tarawih atau solat harian) kerana kemudahan telah banyak tersedia berbanding dengan keadaan di negara asing ni. Di sini, surau yang ada pun di buat di bangunan seperti rumah (yang kadang-kadang tiada label pun). Malah permohonan untuk pembinaan masjid pun sukar diluluskan pihak berkuasa di samping beberapa tentangan daripada penduduk tempatan. Jika diluluskan pun, akan ada syarat-syarat tertentu yang perlu diikuti. Bukan apa, kadang-kadang bila keluar ke bandar atau ke mana-mana dan bila hendak solat, tidak mudah untuk mencari surau seperti di Malaysia, maka biasanya kami solat sahaja di mana-mana tempat yang bersih. Bila lalui situasi sebegini baru tahu betapa beruntungnya umat Islam di Malaysia dengan pelbagai kemudahan yang disediakan untuk memudahkan kita untuk beribadat.
Baiklah sampai di sini sahaja untuk entri ni, saje nak berkongsi sedikit pengalaman di negara orang ni, apa bezanya dengan di Malaysia. Mungkin ramai yang ada pengalaman ke luar negara (melancong sahaja) tapi tak ramai yang ada pengalaman berpuasa di perantauan (kecuali yang belajar dan bekerja di luar negara). Dari segi makanan pun berbeza juga pengalaman di bulan puasa ni. Kalau di Malaysia tu, kalau teringin nak makan apa-apa tu boleh ke pasar Ramadhan je, tapi di sini kena buat sendiri la. Kadang-kadang jadi, kadang-kadang tak jadi hehe (merujuk kepada kuih-muih). Marah orang rumah baca ni hehe. Oklah, dah 11 hari berpuasa ni. Semoga prestasi anda semua terus meningkat. Selamat berpuasa dan beribadat.
Sumber gambar: http://abuamar.deviantart.com
Labels:
pengalaman,
puasa,
Ramadhan
Sunday, August 23, 2009
Berbuka Puasa..
Hari ini merupakan hari kedua kami berpuasa di Denmark. Tinggal lagi 7 minit nak berbuka lagi sebenarnya. Jadi sementara nak menunggu masa berbuka ni, saya kemaskinilah blog. Menu berbuka hari ini adalah durian, bubur kacang durian, kerabu ikan, ayam goreng kunyit serta air bandung. Fuhh memang sedap. Nasib baik dapat isteri yang pandai memasak ni hehe. 
Dah lama teringin nak makan durian sebenarnya, ada dijual di Thai Bazaar di Copenhagen Market. Memandangkan agak mahal iaitu lebih kurang DKK 110 atau RM 70 sekilo tu yang lambat sikit nak beli. Tapi sebab dah teringin punya pasal beli jugalah. Mana boleh nak banding dengan harga di Malaysia yang pastinya banyak buah durian ni jika kena musimnya. Dan bila ada durian ni, antara makanan yang pasti akan dibuat ialah bubur kacang durian yang memang kegemaran saya.
Biasanya kalau di Malaysia tu selalunya kami akan berkunjung je pasar Ramadhan untuk membeli kuih muih dan juga juadah untuk dimakan selepas menunaikan solat Tarawih, tapi kat sini manalah nak cari kan. Jadi kalau teringin nak makan apa-apa tu, kena mintalah orang rumah buatkan hehe. Di samping tu, orang rumah bolehla meningkatkan skills memasaknya. Apapun jika kita berada di tempat yang baru kita kenalah pandai menyesuaikan diri.
Saturday, August 22, 2009
Hari Pertama Ramadhan
Alhamdulillah hari pertama Ramadhan telah kami lalui dengan baik walaupun masanya agak panjang berbanding di Malaysia pada ketika ini. Tambahan pula hari pertama puasa jatuh pada hari Sabtu. Kami bersahur agak awal iaitu pada jam 2.30 pagi memandangkan waktu Subuh adalah pada jam 3.16 pagi di sini dan berbuka pada jam 8.32 malam. 
Pada hari pertama Ramadhan ini, kami telah dijemput oleh Pak Herman dan Kak Siti untuk berbuka puasa di rumah mereka di Niva. Antara agenda lain juga ialah sesi bergambar beramai-ramai sebagai kenangan dan juga untuk dihantar kepada pihak akhbar di Malaysia bersama ucapan salam aidilfitri buat kenalan di tanahair daripada kami di perantauan. Jadi semua berbaju rayalah, konon-kononnya dah raya, padahal baru hari pertama puasa hehe. Dengan berbuka puasa beramai-ramai ini, sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan kami kepada keluarga dan kawan-kawan kami di Malaysia. Walaupun kami baru kenal kebanyakan daripada mereka, namun kami semua tidak ubah seperti sebuah keluarga yang begitu rapat. Setelah berbuka puasa, kami solat Maghrib berjemaah. Tapi tak sempatlah nak tunggu solat Tarawih berjemaah kerana jam 11.06 baru masuk waktu Isyak dan sudah agak lewat.

InsyaAllah pada tiap-tiap hujung minggu lokasinya akan berubah ke tempat yang lain pula. Di samping dapat berkumpul beramai-ramai berbuka puasa, dapat juga memberi peluang kepada tuan rumah menambahkan pahala dengan memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa.
Friday, August 21, 2009
Salam Ramadhan..
Di sini kebanyakan rakyat Malaysia (macam banyak je hehe) akan mula berpuasa pada hari Sabtu sama seperti di Malaysia. Ini berdasarkan apa yang dimaklumkan oleh pihak Kedutaan kepada kami semalam. Maka esok akan bermulalah pengalaman pertama kami berpuasa di perantauan. Memandangkan di sini masih di dalam musim panas maka tempoh untuk kami berpuasa agak panjang berbanding di Malaysia. Jika mengikut masa sekarang, waktu Subuh adalah pada jam 3.12 pagi dan waktu Maghrib atau berbuka adalah pada jam 8.32 malam. Lebih kurang 17 jam lebih waktu berpuasa berbanding 13 jam di Malaysia. Isyak pula jam 11.02 malam. Cuma kelebihannya di sini mungkin cuacanya tidaklah sepanas di Malaysia. Apapun inilah cabaran yang perlu dilalui di sini.
Subscribe to:
Posts (Atom)