Showing posts with label perantauan. Show all posts
Showing posts with label perantauan. Show all posts

Tuesday, September 14, 2010

Hari Raya 2010 @ Denmark

Pertamanya saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin kepada keluarga, saudara mara, rakan-rakan, kenalan dan juga kepada semua pembaca yang setia membaca blog ini. Nampaknya ini merupakan kali kedua saya dan isteri menyambut Hari Raya di perantauan. Namun tahun ini agak istimewa bagi kami berdua kerana kali ini kami dapat beraya bersama anak kami Eilman yang kini sudah berusia hampir 7 bulan. Kami juga sempat meng'order' 2 pasang baju Melayu daripada Mak Tok dan Tok Wan Eilman siap dengan sampin dan songkok betul-betul muat dipakai Eilman. Mengikut Mak Tok saiz baju tu sesuai untuk kanak-kanak yang berusia setahun, tapi sudah muat dipakai Eilman hehe.
Nak mulakan cerita mengenai Hari Raya ni, pada asalnya saya menjangkakan bahawa kami akan menyambutnya pada hari Khamis. Pertamanya ialah kerana di sebuah masjid/surau berhampiran dengan DTU ni telah diisytiharkan bahawa solat sunat Aidilfitri akan diadakan pada hari Khamis jam 7.30 pagi dan yang kedua adalah berdasarkan satu fatwa yang telah dikeluarkan oleh European Council for Fatwa and Research yang menyatakan bahawa 1 Syawal adalah pada hari Khamis. Jadi sebenarnya tiada masalah juga kalau saya nak menyambut Hari Raya pada hari berkenaan. Namun setelah mendapat berita bahawa Embassy Malaysia di Stockholm, masjid di Norrebro juga di Valby telah mengisytiharkan 1 Syawal pada hari Jumaat ditambah pula dengan rakan-rakan di sini yang sepakat nak raya hari Jumaat maka kami pun mengambil keputusan untuk beraya jugalah pada hari Jumaat.
Seperti Aidilfitri tahun lepas, saya bersama rakan-rakan yang lain telah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Kedutaan Indonesia di Hellerup, Denmark. Apa nak buat, Kedutaan Malaysia tiada di sini, maka kami menumpanglah. Alhamdulillah di sini hubungan di antara rakyat Malaysia dan Indonesia sangat baik dan keadaan di sini aman. Mak saya ada juga menyatakan kerisauan jika saya ke sana, namun tiada masalah di sini. Sebaik sahaja selesai solat sunat dan khutbah, kami terus berkunjung ke rumah saudara Fauzi dan Kak Su yang terletak berhampiran yang telah menjemput kami berkumpul di rumahnya sempena Hari Raya. Di sini keluarga dan saudara mara semua jauh, maka untuk merasa suasana Hari Raya dan mengelak kesunyian maka kami berkumpullah ramai-ramai. Antara makanan yang disediakan adalah satay, nasi minyak, nasi impit, lemang, rendang dan juga kuih muih. Daripada rumah Fauzi, kami berkunjung pula ke rumah Chef Haizan dan Kak Aya di Norrebro yang menjemput kami di sebelah petang. Kira satu hari jugalah beraya dan berjumpa rakan-rakan, sampai rumah pun dah 9.30 malam.
Pada hari raya kedua pula, kami telah dijemput oleh saudara Nazri dan Kak Adila ke rumah mereka di sebelah petang. Antara makanan yang disediakan adalah rojak pasembur, nasi dengan lauk pauk ala kampung, kuih lopeh dan lain-lain. Alhamdulillah di sana kami dapat berjumpa dengan ramai lagi rakan-rakan berbanding hari sebelumnya. Seterusnya pada hari raya ketiga kami telah berkunjung ke rumah saudara Isrin dan Kak Lynne. Antara yang dihidangkan adalah nasi jagung, nasi impit dan lontong, kuih-muih dan lain-lain. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjemput kami, jemput pula datang beraya ke rumah kami walaupun kami tak buat 'open house'. Apa yang penting rasanya ialah supaya kita dapat lebih mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita.

Seterusnya hari Isnin. Tiada lagi cuti dan berhari raya. Kembali bekerja dan berfikir. Huhu..

Sebelum terlupa, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah berkunjung ke rumah saya pada malam raya membawa makanan untuk berbuka puasa bersama dan seterusnya bertakbir di rumah ini. Semoga dapat bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya. Banyak kekurangan kali ini..

Monday, November 16, 2009

Malam Semakin Pantas Menjelma..

Pada ketika ini cuaca di Denmark saya kira bahawa ia sedang dalam peredaran daripada musim luruh kepada musim sejuk. Makin hari suhu makin turun, hampir setiap hari hujan turun dan makin hari rasa tekak ini kering dan sakit dan juga sedikit selsema. Kalau nak benar-benar memastikan diri sendiri selesa dan sihat dalam keadaan cuaca sejuk sebegini maka kenalah pastikan diri sentiasa panas dengan memakai baju 2-3 lapis, dengan sarung tangan dan juga penutup kepala apabila berjalan di luar. Beginilah keadaannya di sini, pakaian berubah mengikut musim. Nak pakai t-shirt, pakai sandal semasa keadaan sejuk ni semestinyalah tak sesuai. Berbeza dengan keadaan di Malaysia yang mana pada setiap masa sama sahaja pakaiannya. Inilah antara pengalaman baru kami disini.
Selain itu, antara yang ketara perubahan dan pengalaman yang kami alami di sini adalah dari segi masa. Pada ketika ini, matahari terbit pada jam 7.49 pagi dan terbenam pada jam 4.00 petang ! Keadaan mula cerah pada jam 8.00 pagi (itupun jika tak hujan) dan gelap semula pada jam 4.00 lebih, 8 jam sahaja waktu siang sehari ketika ini. Waktu Zohor seawal jam 11.55 pagi diikuti waktu Asar jam 1.38 petang. Waktu Maghrib pula pada jam 4 petang diikuti waktu Isyak pada jam 6.04 petang. Keadaan masa ini meninggalkan saya dalam keadaan yang janggal memandangkan inilah pengalaman pertama saya menghadapi keadaan begini. Bila tiba jam 2 keadaan sekeliling dah nampak macam petang. Bila keadaan sudah gelap pula terasa macam sudah lewat pula. Padahal baru pukul 4 atau 5 petang (biasanya saya pulang antara jam 6-8 petang). Kadang-kadang terasa macam nak balik pula walaupun masih awal. Bila balik antara jam 6-8 petang tu keadaan di luar dah gelap gelita. Memang benar sebenarnya keadaan di luar mempengaruhi mood kita. Tapi untunglah siapa yang suka buat kerja pada waktu malam tu. Saya bila dah malam ni rasa malaslah sedikit hehe. Apapun ini satu pengalaman yang menarik untuk dilalui.

Friday, September 4, 2009

Salam Perantauan

Yeay !! Gambar dan ucapan yang telah saya hantar ke Utusan (melalui e-mel) minggu lepas untuk ruangan Salam Perantauan 2009 telah telah dipamerkan secara online di laman web Utusan kelmarin. Gembiranya rasa. Sila lihat di sini. Sekurang-kurangnya hanya ini yang mampu diberikan kepada semua keluarga, rakan-rakan dan kenalan yang berada di tanahair. Semua gambar dan ucapan yang dihantar pasti akan dipamerkan secara online tapi hanya yang terpilih sahaja yang akan dimasukkan dalam surat khabar. Kalaulah masuk surat khabar ni, mesti menarik hehe. Tapi tak tahulah macam mana nak tahu masuk ke tak melainkan kalau ada orang di Malaysia yang nampak dan maklumkan hehe. Sebelum merantau ni, selalu juga tengok gambar dan ucapan rakyat Malaysia yang lain yang berada di perantauan di dalam akhbar apabila tiba bulan Ramadhan dan Syawal. Jadi sekarang ni bila kita sendiri yang berada di perantauan ni teringin jugalah nak hantar gambar dan ucapan ni seperti mereka. Sekurang-kurangnya sebagai hadiah kepada semua keluarga dan rakan-rakan yang berada di Malaysia. Selamat berpuasa !!

Tuesday, March 31, 2009

Di bumi perantauan..

Di dalam apartment tempat kami menyewa terpampang peta dunia yang besar di dinding. Berikut merupakan snapshots peta negara Malaysia dan Denmark yang saya ambil daripada peta tersebut. Sesekali melihat peta tu, teringat kampung halaman. Antara perbezaan ketara yang dialami di bumi perantauan ini adalah dari segi cuacanya yang agak sejuk pada ketika ini (peralihan daripada musim sejuk ke musim bunga). Akibatnya semua badan menjadi kering dan gatal-gatal. Di Malaysia, suasana di luar di sini pada ketika ini adalah seperti berada di dalam bilik berhawa dingin tetapi lebih sejuk kerana suhu di sini adalah antara 5-8 darjah celcius. Namun saya telah dapat membiasakan diri dengan keadaan di sini pada minggu kedua berada di sini. Tidak lama lagi musim bunga akan menjelma, tak sabar rasanya. Cuaca akan menjadi lebih baik (kurang sejuk) dan suasana akan menjadi bertambah menarik (sekarang hampir semua pokok daunnya luruh).

Negara tercinta


Negara tempat menuntut ilmu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...