Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana masih diberi peluang untuk bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Di kesempatan ini, saya nak ucapakanlah salam Ramadhan dan selamat menunaikan ibadah puasa dan ibadah-ibadah yang lain-lainnya kepada semua keluarga, rakan-rakan dan semua yang membaca blog ni. Semoga prestasi ibadah kita semua lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya dan berterusan di bulan-bulan yang lain juga.
Bagi saya dan isteri, ini merupakan kali kedua kami menghadapi Ramadhan di bumi Denmark ni. Untuk pengetahuan yang membaca, jumlah masa kami berpuasa di sini adalah lebih kurang 17-18 jam (berbanding 14 jam di Malaysia) bergantung kepada jadual mana yang diikuti. Pada ketika ini waktu Subuh adalah pada jam 3.02 pagi manakala waktu berbuka adalah pada jam 8.35 malam. Manakala waktu Isyak adalah jam 11.07 malam (ada jadual lebih kurang 10.30 malam). Pada tahun pertama tu, terutamanya di awal bulan agak terasa jugalah kepenatan berpuasanya. Namun lama-kelamaan tu dah jadi biasala. Macam tahun ni pula, Alhamdulillah setakat ni tiada masalah kerana mungkin dah pernah berpuasa selama ini dan cuaca yang agak sejuk sikit sekarang. Kebetulan bulan Ramadhan ketika ini jatuh semasa musim panas, jika jatuhnya semasa musim sejuk maka masa berpuasanya akan menjadi lebih singkat (dalam 10 jam).
Jika hendak bersolat Tarawih berjemaah pula, surau atau masjid tidaklah banyak seperti di Malaysia. Ada pun, agak jauh sikit la dan mungkin akan pulang agak lewat memandangkan Isyak pun sudah lewat. Jadi kami hanya menunaikannya di rumah sahaja (samada bersendirian atau jemaah suami isteri). Jadi bagi yang berada di Malaysia tu rajin-rajinlah berkunjung ke surau/masjid solat berjemaah (tidak kira untuk solat Tarawih atau solat harian) kerana kemudahan telah banyak tersedia berbanding dengan keadaan di negara asing ni. Di sini, surau yang ada pun di buat di bangunan seperti rumah (yang kadang-kadang tiada label pun). Malah permohonan untuk pembinaan masjid pun sukar diluluskan pihak berkuasa di samping beberapa tentangan daripada penduduk tempatan. Jika diluluskan pun, akan ada syarat-syarat tertentu yang perlu diikuti. Bukan apa, kadang-kadang bila keluar ke bandar atau ke mana-mana dan bila hendak solat, tidak mudah untuk mencari surau seperti di Malaysia, maka biasanya kami solat sahaja di mana-mana tempat yang bersih. Bila lalui situasi sebegini baru tahu betapa beruntungnya umat Islam di Malaysia dengan pelbagai kemudahan yang disediakan untuk memudahkan kita untuk beribadat.
Baiklah sampai di sini sahaja untuk entri ni, saje nak berkongsi sedikit pengalaman di negara orang ni, apa bezanya dengan di Malaysia. Mungkin ramai yang ada pengalaman ke luar negara (melancong sahaja) tapi tak ramai yang ada pengalaman berpuasa di perantauan (kecuali yang belajar dan bekerja di luar negara). Dari segi makanan pun berbeza juga pengalaman di bulan puasa ni. Kalau di Malaysia tu, kalau teringin nak makan apa-apa tu boleh ke pasar Ramadhan je, tapi di sini kena buat sendiri la. Kadang-kadang jadi, kadang-kadang tak jadi hehe (merujuk kepada kuih-muih). Marah orang rumah baca ni hehe. Oklah, dah 11 hari berpuasa ni. Semoga prestasi anda semua terus meningkat. Selamat berpuasa dan beribadat.
Sumber gambar: http://abuamar.deviantart.com
No comments:
Post a Comment