Sambutan 1 Syawal di sini kami mulakan dengan menunaikan Solat Sunat Hari Raya di Kedutaan Indonesia. Seperti yang telah saya katakan di Denmark tiada Kedutaan Malaysia, yang terdekat adalah terletak di Stockholm, Sweden yang agak jauh daripada sini. Masjid besar juga tiada di sini cuma surau yang mungkin agak terhad ruangnya. Tambahan pula rakyat Indonesia juga merupakan rumpun Melayu dan juga mempunyai budaya dan bahasa yang hampir sama dengan kita. Solat Sunat Hari Raya dimulakan dalam jam 9.30 pagi, disambung dengan khutbah Raya dan juga sesi bersalam-salaman dengan semua yang hadir. Di sana kami juga berjumpa dengan rakan-rakan rakyat Malaysia dan Singapura yang lain.
Setelah selesai, kami dijemput oleh Fauzi untuk berhari raya ke rumah mereka di Hellerup. Ini merupakan rumah yang pertama kami kunjungi pada 1 Syawal ini. Ketibaan kami disambut oleh Kak Sue dan Nini siap berbaju raya dengan hidangan kuih-muih dan juga rendang. Setelah itu kami pulang seketika ke rumah kami di Lyngby dan bersiap-siap untuk menyerbu rumah-rumah lain pula. Setelah itu dalam jam 12.00 tgh kami bertolak menuju ke Nordhavn ke rumah Isrin dan Kak Lynn. Di sana kami berjumpa dan berkenalan dengan Kak Bibi (rakyat Malaysia yang tinggal di Arhus) dan juga Kak Rose (rakyat Singapura yang tinggal lama di sini). Antara juadah yang disediakan adalah seperti Rendang, Lontong, Satay Goreng dan lain-lain. Tema pakaian raya kami dan keluarga Isrin adalah merah, sama la pulak. Cadangan seterusnya adalah ke rumah terbuka yang dianjurkan oleh Nazri dan Adila di Bandar Copenhagen. Kami mendapat langkah kanan kerana telah dijemput oleh Kak Bibi untuk menumpang keretanya ke sana. Tahun depan kena sewa kereta la nampaknya kalau nak beraya banyak rumah dengan anak lagi.
Kami tiba di rumah Nazri & Adila di Herluf Trolles Gade pada jam 1.30 petang. Sebenarnya kami baru sahaja mengenali mereka dalam lebih kurang seminggu sebelumnya. Di sana kami berkenalan dengan ramai lagi rakan-rakan Malaysia & Melayu di sana. Rupanya ada ramai lagi orang Melayu yang tinggal di sini. Daripada seorang rakan yang kami temui di sana yang mula tiba di Denmark pada tahun 2000, pada waktu tu masih kurang orang Melayu yang berada di Copenhagen, namun makin lama makin bertambah. Semua yang kami jumpa di sini betul-betul peramah-peramah orangnya, jadi perasaan segan tu berkuranglah sedikit. Di sana antara juadah yang dihidangkan adalah seperti Nasi Briyani, Satay, Lontong, kuih-muih dan banyak lagi.
Setelah itu, kami bertolak pula menuju ke rumah Abdillah dan Kak Azlin di Hoje Taastrup dan tiba lebih kurang jam 4.30 petang. Ini merupakan rumah ke-4 yang kami kunjungi pada 1 Syawal. Memang raya sakan la kami hehe. Dengan berjalan kaki, menaiki bas dan keretapi sahaja agak penat jugalah hari tu, tapi seronok. Namun apa yang memuaskan hati kami adalah kami masih berupaya menghidupkan Hari Raya pertama kami di perantauan ini dengan bersolat Sunat Hari Raya, ziarah-menziarahi rakan-rakan dan juga menikmati juadah-juadah Hari Raya yang tiada bezanya dengan yang ada di Malaysia dengan pakaian Raya masing-masing. Nampaknya ramai juga yang berbaju raya kaler merah tahun ni di Denmark sama seperti kami (sebenarnya recycle sejak 2 tahun lepas haha). Pada tahun ini juga, saya telah mencipta rekod paling lama berpakaian baju Melayu lengkap pada Hari Raya pertama !. Yang peliknya kat Denmark pulak tu haha. Semoga anda semua juga menyambut Syawal dengan ceria dan gembira juga hendaknya.
No comments:
Post a Comment