Showing posts with label jamuan. Show all posts
Showing posts with label jamuan. Show all posts

Saturday, March 3, 2012

Majlis Jamuan & Kesyukuran

Setelah sekian lama tidak menjadi tuan rumah untuk sebarang majlis makan-makan dan ramah mesra sesama masyarakat Malaysia di sini, pada Sabtu lepas kami sekeluarga telah menganjurkan Majlis Jamuan & Kesyukuran sempena ulangtahun kelahiran putera kesayangan kami, Eilman yang ke-2. Majlis tersebut dianjurkan sebagai kesyukuran atas segala nikmat dan kemudahan juga ujian yang telah diberikan oleh-Nya di dalam membesarkan anak kami ini dan juga untuk bermesra di antara sesama kami, rakyat Malaysia di sini. Pejam celik rasa macam sekejap je masa berlalu, dah 2 tahun usia Eilman sekarang.


Sebagai tuan rumah, saya amat berbesar hati dengan kehadiran semua rakan-rakan yang sudi hadir untuk memeriahkan lagi majlis yang dianjurkan. Antara menu yang disediakan oleh tuan rumah dan dibantu oleh "chef-chef jemputan yang terkemuka di Copenhagen" ialah Mee Kari Holte, Nasi Putih, Ayam Goreng Berempah, Masak Lemak Cili Padi Tempoyak Ikan Patin, Daging Masak Gula Merah dan Pecal. Terima kasih juga kepada yang menyumbang kuih-muih seperti kuih bakar, karipap, pai epal, jeli, kuih lapis dan macam-macam lagi. Balik Malaysia nanti tak tau la bila lagi boleh makan pelbagai juadah macam ni. Selain itu, terima kasih kepada chef Ala dan sous chefnya Imran yang telah sudi untuk menyediakan kek harijadi Eilman, iaitu kek pelangi, special request daripada tuan rumah.


Majlis dimulai dengan makan-makan. Setelah kekenyangan, majlis diteruskan dengan upacara memotong kek dan bacaan doa kesyukuran yang dibimbing oleh saudara Solah. Alhamdulillah kami bersyukur atas kelancaran majlis tersebut dan memohon maaf kepada semua rakan-rakan yang hadir (jika ada yang baca entri ini) jika ada sebarang kekurangan, salah dan silap.

Sunday, November 21, 2010

Eid-ul Adha @ Virumvej 86

Hari Raya Qurban tahun ini disambut pada hari Selasa lepas di sini, satu hari lebih awal daripada di Malaysia. Sudah pasti sambutannya berbeza dengan di tanahair memandangkan tiada cuti khas diberikan sempena perayaan ini di sini. Jika di Malaysia, pastinya di waktu pagi, perkara pertama yang akan dilakukan adalah solat sunat Aidil Adha di masjid dan seterusnya akan bergotong-royong menjalani ibadah Qurban serta lain-lain aktiviti yang berkaitan dengannya. Bagi yang lain pula, mungkin selepas solat sunat, mereka akan meluangkan masa bersama keluarga atau ziarah-menziarahi rakan-rakan serta saudara mara.
Bagi saya di sini, tahun ini saya sempat untuk menyertai jemaah menjalani solat sunat Aidil Adha di masjid berdekatan dengan universiti. Ia hanya mengambil masa yang agak singkat dengan solat yang bermula pada jam 9 pagi beserta khutbah dan selesai pada jam 9.20 pg. Setelah itu, saya terus ke universiti untuk bekerja. Semua rakan-rakan yang lain juga bekerja pada hari tersebut. Biasanya kesempatan yang ada hanyalah pada hari minggu yang terdekat untuk menyambut Hari Raya Qurban ini dengan jamuan makan serta berkumpul ramai-ramai.
Maka, semalam bertempat di Virumvej 86 kami bersama rakan-rakan yang lain telah dijemput oleh Saudara Kamaruddin & keluarga untuk bersama-sama berkumpul dan menyambut Hari Raya Qurban di rumah mereka. Makanan yang dihidangkan adalah bertemakan "Makanan Kelate" seperti Nasi Dagang (makanan Terengganu kot ni), Nasi Kerabu, Akok dan lain-lain hidangan. Terima kasih kepada tuan rumah di atas jemputan. Makanan semua memang sedap-sedap belaka. Disertakan beberapa gambar semasa jamuan tersebut.

Sunday, December 6, 2009

Menuju Penghujung Tahun..

Untuk entri kali ini, saya nak bercerita tentang beberapa aktiviti yang dilalui di DTU dalam menuju ke penghujung tahun 2009 ni. Ia bermula dengan satu pembentangan yang perlu saya lakukan semasa Seminar CAPEC yang dianjurkan setiap Jumaat jam 9 pagi. Untuk seminar ini, setiap pelajar PhD perlu membuat pembentangan secara bergilir-gilir (satu hari seorang pelajar sahaja) dan giliran saya adalah pada 27 November 2009 yang lepas. Maknanya saya kena buat pembentangan pada pagi raya huhu ! Semasa pembentangan tersebut saya menceritakan tentang latar belakang projek saya dan juga kerja-kerja terkini yang dilakukan. Selepas pembentangan itu saya telah memperolehi beberapa soalan dan juga komen yang berguna untuk memperbaiki lagi kerja dan juga pembentangan.

Paparan di laman web berkenaan seminar (kanan, bawah)

Seminggu selepas itu juga, saya perlu menyampaikan satu lagi pembentangan semasa Perjumpaan Tahunan CAPEC (Edisi Musim Sejuk) yang selalunya diadakan bersempena dengan perayaan Christmas. Perjumpaan ini lebih kepada penutup bagi tahun 2009 yang lebih tertumpu kepada pencapaian CAPEC sepanjang tahun, pengalaman daripada pelajar-pelajar terpilih dan juga luahan-luahan daripada setiap ahli CAPEC (samada fakulti mahupun pelajar). Pelajar-pelajar yang dipilih untuk menceritakan pengalaman mereka terdiri daripada pelajar tahun 1, 2 serta 3 dan saya telah terpilih untuk pelajar kategori tahun pertama. Semasa pembentangan itu saya telah berkongsi tentang mengapa saya memilih untuk belajar di sini, sedikit cerita mengenai Malaysia, pengalaman tinggal di Denmark, pengalaman belajar di CAPEC DTU, pengalaman penyelidikan sebelum datang ke Denmark dan juga harapan. Nampaknya ramai juga yang berminat dengan perkongsian itu. Perkongsian daripada 2 lagi pelajar yang mewakili tahun 2 dan 3 juga sangat menarik dan ternyata masing-masing mempunyai pengalaman yang berbeza dan ada juga yang sama. Terdapat juga luahan-luahan daripada semua yang mana masih terdapat beberapa perkara lagi yang boleh diperbaiki di dalam CAPEC dari segi aktiviti, perhubungan dan lain-lain.

Setelah tamat perjumpaan tersebut, kami menuju pula ke Parken sebuah kompleks persidangan di Copenhagen (yang juga sebuah stadium !) yang mana satu jamuan akhir tahun (atau jamuan Christmas) telah diadakan khas untuk semua ahli CAPEC. Aktiviti malam tu adalah makan dan main game sahaja selain sebagai salah satu aktiviti sosial untuk lebih eratkan lagi perhubungan. Dari segi makanan tu, Din dah pesan supaya memperbanyakkan masakan berasaskan ikan. Maka kenyanglah sikit kami malam tu. Takdela macam jamuan sebelum ni, seafood pun sikit dan kena makan sayur jela. Kononnya vegetarian la kami ni huhu. Biasala di negara orang putih ni, macam-macam perkara kami lalui dan pelajari terutamanya untuk survive sebagai seorang Muslim. Sedar tak sedar dah 8 bulan saya di sini. Cepatnya masa berlalu..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...