Pertamanya saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin kepada keluarga, saudara mara, rakan-rakan, kenalan dan juga kepada semua pembaca yang setia membaca blog ini. Nampaknya ini merupakan kali kedua saya dan isteri menyambut Hari Raya di perantauan. Namun tahun ini agak istimewa bagi kami berdua kerana kali ini kami dapat beraya bersama anak kami Eilman yang kini sudah berusia hampir 7 bulan. Kami juga sempat meng'order' 2 pasang baju Melayu daripada Mak Tok dan Tok Wan Eilman siap dengan sampin dan songkok betul-betul muat dipakai Eilman. Mengikut Mak Tok saiz baju tu sesuai untuk kanak-kanak yang berusia setahun, tapi sudah muat dipakai Eilman hehe.
Nak mulakan cerita mengenai Hari Raya ni, pada asalnya saya menjangkakan bahawa kami akan menyambutnya pada hari Khamis. Pertamanya ialah kerana di sebuah masjid/surau berhampiran dengan DTU ni telah diisytiharkan bahawa solat sunat Aidilfitri akan diadakan pada hari Khamis jam 7.30 pagi dan yang kedua adalah berdasarkan satu fatwa yang telah dikeluarkan oleh European Council for Fatwa and Research yang menyatakan bahawa 1 Syawal adalah pada hari Khamis. Jadi sebenarnya tiada masalah juga kalau saya nak menyambut Hari Raya pada hari berkenaan. Namun setelah mendapat berita bahawa Embassy Malaysia di Stockholm, masjid di Norrebro juga di Valby telah mengisytiharkan 1 Syawal pada hari Jumaat ditambah pula dengan rakan-rakan di sini yang sepakat nak raya hari Jumaat maka kami pun mengambil keputusan untuk beraya jugalah pada hari Jumaat.
Seperti Aidilfitri tahun lepas, saya bersama rakan-rakan yang lain telah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Kedutaan Indonesia di Hellerup, Denmark. Apa nak buat, Kedutaan Malaysia tiada di sini, maka kami menumpanglah. Alhamdulillah di sini hubungan di antara rakyat Malaysia dan Indonesia sangat baik dan keadaan di sini aman. Mak saya ada juga menyatakan kerisauan jika saya ke sana, namun tiada masalah di sini. Sebaik sahaja selesai solat sunat dan khutbah, kami terus berkunjung ke rumah saudara Fauzi dan Kak Su yang terletak berhampiran yang telah menjemput kami berkumpul di rumahnya sempena Hari Raya. Di sini keluarga dan saudara mara semua jauh, maka untuk merasa suasana Hari Raya dan mengelak kesunyian maka kami berkumpullah ramai-ramai. Antara makanan yang disediakan adalah satay, nasi minyak, nasi impit, lemang, rendang dan juga kuih muih. Daripada rumah Fauzi, kami berkunjung pula ke rumah Chef Haizan dan Kak Aya di Norrebro yang menjemput kami di sebelah petang. Kira satu hari jugalah beraya dan berjumpa rakan-rakan, sampai rumah pun dah 9.30 malam.
Pada hari raya kedua pula, kami telah dijemput oleh saudara Nazri dan Kak Adila ke rumah mereka di sebelah petang. Antara makanan yang disediakan adalah rojak pasembur, nasi dengan lauk pauk ala kampung, kuih lopeh dan lain-lain. Alhamdulillah di sana kami dapat berjumpa dengan ramai lagi rakan-rakan berbanding hari sebelumnya. Seterusnya pada hari raya ketiga kami telah berkunjung ke rumah saudara Isrin dan Kak Lynne. Antara yang dihidangkan adalah nasi jagung, nasi impit dan lontong, kuih-muih dan lain-lain. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjemput kami, jemput pula datang beraya ke rumah kami walaupun kami tak buat 'open house'. Apa yang penting rasanya ialah supaya kita dapat lebih mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita.
Seterusnya hari Isnin. Tiada lagi cuti dan berhari raya. Kembali bekerja dan berfikir. Huhu..
Sebelum terlupa, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah berkunjung ke rumah saya pada malam raya membawa makanan untuk berbuka puasa bersama dan seterusnya bertakbir di rumah ini. Semoga dapat bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya. Banyak kekurangan kali ini..
selamat hari raya, maaf zahir batin...
ReplyDeletewah meriah jg ye raya di denmark nih. eilman comel skali berbaju melayu, mungkin dah ikut saiz org europe kot, tu yg dah muat baju budak setahun tu! ;)
ReplyDeleteslmt hari raya aidilfitri, maaf zahir btn jg buat azizul sekeluarga
Zaide: Selamat Hari Raya..Maafkan Segala Salah & Silap..
ReplyDeleteOyis: Alhamdulillah..boleh tahanlah juga meriahnya di sini..tu pun ada juga beberapa keluarga yg beraya di tempat lain..makin lama makin ramai yg dtg sini..tu la, Eilman tu doktor ckp above average pembesarannya, tp sihat..Salam Aidilfitri juga buat Oyis sekeluarga..