Harapnya masih belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-53. Walaupun jauh beribu kilometer daripada tanahair, tidak sesekali akan saya lupakan tarikh yang bersejarah ini. Alhamdulillah syukur kerana kita telah dilahirkan di dalam sebuah negara yang aman dan makmur bebas daripada belenggu penjajah. Sesungguhnya kita tidak dapat menilai dan benar-benar menghargai kemerdekaan yang kita alami sekarang tanpa merasa kesusahan dijajah. Seperti apabila kita sakit, baru kita hargai nikmat apabila kita sihat atau apabila kita susah baru kita hargai nikmat apabila kita senang. Maka untuk menghargai kemerdekaan yang kita telah perolehi sekarang ini, maka kita perlulah menjaga kemakmuran dan kesejahteraan negara kita ini.
Di samping itu, di Facebook ramai yang memberikan ucapan atau status sempena Hari Kemerdekaan ini. Daripada pengamatan saya ramai yang mengambil peluang untuk bermuhasabah. Masing-masing mempersoalkan adakah sebenarnya kita ini telah merdeka. Secara fizikal daripada belenggu penjajah memang kita sudah merdeka tapi dari segi mental mungkin tidak sepenuhnya. Mengapa mereka berkata demikian, kerana lihat sahaja gejala-gejala sosial yang berlaku di kalangan anak muda di negara kita, kes-kes buang anak, mat rempit atau samseng jalanan, kes rogol dan ragut, anak murid melawan guru dan sebagainya nampaknya semakin menjadi-jadi. Kita mungkin sudah merdeka dari penjajah tetapi adakah kita sudah merdeka dari segi mental, minda dan juga sikap kita. Sama-sama untuk kita fikirkan. Salam Merdeka !
No comments:
Post a Comment