Sunday, August 22, 2010

Thermo..Thermo..Thermo..

Sepanjang 2 minggu kebelakangan ni, saya sedang mengikuti kursus Thermodynamics Models: Fundamentals and Computational Aspects, yang merupakan kursus PhD yang ketiga daripada empat kursus yang wajib saya ambil sebelum menamatkan pengajian PhD di DTU ni. Teringat dulu semasa undergraduate subjek pertama yang dipelajari berkaitan Termodinamik adalah Termodinamik Asas semasa tahun kedua dan seterusnya subjek Termodinamik Kejuruteraan Kimia semasa di tahun ketiga. Semasa diperingkat Sarjana pula saya ada mengambil mata pelajaran Advanced Thermodynamics, dan kini saya kira di peringkat PhD ni lebih advanced rasanya dan sudah pasti lebih sukar.

Bagi saya termodinamik merupakan satu subjek yang menarik namun ia mungkin mengambil masa yang agak lama untuk memahami segala teori-teori yang berkaitan seperti entalpi, entropi, fugasiti dan banyak lagi di samping aplikasinya dalam pelbagai bidang. Pendek kata, termodinamik ni merupakan satu subjek yang agak sukar untuk difahami dengan mudah. Itu pengalaman yang saya lalui. Untuk kursus yang saya sertai pada kali ini, Alhamdulillah ia telah meluaskan lagi pemahaman dan pandangan saya terhadap bidang ini tambahan pula ia telah dikendalikan oleh Profesor-Profesor yang berpengalaman sangat luas dalam bidang ini (salah seorang daripadanya ialah co-supervisor saya).
Fokus utama kursus ini adalah mengenai aplikasi Thermodynamic Models dari kekuatan dan juga limitasinya seperti Cubic Equation of State, Excess Gibbs Energy Models dan lain-lain. Di samping itu fokus juga diberikan untuk PT-Flash, Stability Analysis and Critical Points, Saturation Points and Phase Envelopes dan Chemical Reaction Equilibrium melibatkan multicomponent dan multiphase systems. Di samping kuliah, kami juga perlu menyelesaikan latihan dengan menggunakan pengaturcaraan Fortran. Nak kena faham teori, juga kena mahir menggunakan Fortran, memang cabaran betul la. Namun, kita akan mudah faham setelah membuat latihan daripada hanya mendengar kuliah.

Selain itu, senarai peserta untuk kursus kali ini pula adalah menarik dan pelbagai. Ada daripada company seperti Shell dan Schlumberger dan ada juga pelajar daripada universiti di Perancis, Norway, Afrika Selatan dan juga beberapa pelajar daripada DTU termasuk saya. Apa yang menarik ialah semasa kuliah dan juga latihan memang begitu banyak persoalan dan juga perbincangan daripada para peserta terutama daripada company. Mungkin kerana pengalaman bekerja mereka yang lebih tertumpu kepada aplikasi ilmu termodinamik ini. Apapun apa yang saya harapkan daripada kursus ini selain lulus adalah supaya ia dapat memberikan manfaat terhadap projek PhD yang sedang saya lalui sekarang dan juga semasa pulang berkhidmat di universiti di Malaysia nanti.

Saturday, August 21, 2010

Ramadhan di Perantauan..

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana masih diberi peluang untuk bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Di kesempatan ini, saya nak ucapakanlah salam Ramadhan dan selamat menunaikan ibadah puasa dan ibadah-ibadah yang lain-lainnya kepada semua keluarga, rakan-rakan dan semua yang membaca blog ni. Semoga prestasi ibadah kita semua lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya dan berterusan di bulan-bulan yang lain juga.

Bagi saya dan isteri, ini merupakan kali kedua kami menghadapi Ramadhan di bumi Denmark ni. Untuk pengetahuan yang membaca, jumlah masa kami berpuasa di sini adalah lebih kurang 17-18 jam (berbanding 14 jam di Malaysia) bergantung kepada jadual mana yang diikuti. Pada ketika ini waktu Subuh adalah pada jam 3.02 pagi manakala waktu berbuka adalah pada jam 8.35 malam. Manakala waktu Isyak adalah jam 11.07 malam (ada jadual lebih kurang 10.30 malam). Pada tahun pertama tu, terutamanya di awal bulan agak terasa jugalah kepenatan berpuasanya. Namun lama-kelamaan tu dah jadi biasala. Macam tahun ni pula, Alhamdulillah setakat ni tiada masalah kerana mungkin dah pernah berpuasa selama ini dan cuaca yang agak sejuk sikit sekarang. Kebetulan bulan Ramadhan ketika ini jatuh semasa musim panas, jika jatuhnya semasa musim sejuk maka masa berpuasanya akan menjadi lebih singkat (dalam 10 jam).
Jika hendak bersolat Tarawih berjemaah pula, surau atau masjid tidaklah banyak seperti di Malaysia. Ada pun, agak jauh sikit la dan mungkin akan pulang agak lewat memandangkan Isyak pun sudah lewat. Jadi kami hanya menunaikannya di rumah sahaja (samada bersendirian atau jemaah suami isteri). Jadi bagi yang berada di Malaysia tu rajin-rajinlah berkunjung ke surau/masjid solat berjemaah (tidak kira untuk solat Tarawih atau solat harian) kerana kemudahan telah banyak tersedia berbanding dengan keadaan di negara asing ni. Di sini, surau yang ada pun di buat di bangunan seperti rumah (yang kadang-kadang tiada label pun). Malah permohonan untuk pembinaan masjid pun sukar diluluskan pihak berkuasa di samping beberapa tentangan daripada penduduk tempatan. Jika diluluskan pun, akan ada syarat-syarat tertentu yang perlu diikuti. Bukan apa, kadang-kadang bila keluar ke bandar atau ke mana-mana dan bila hendak solat, tidak mudah untuk mencari surau seperti di Malaysia, maka biasanya kami solat sahaja di mana-mana tempat yang bersih. Bila lalui situasi sebegini baru tahu betapa beruntungnya umat Islam di Malaysia dengan pelbagai kemudahan yang disediakan untuk memudahkan kita untuk beribadat.

Baiklah sampai di sini sahaja untuk entri ni, saje nak berkongsi sedikit pengalaman di negara orang ni, apa bezanya dengan di Malaysia. Mungkin ramai yang ada pengalaman ke luar negara (melancong sahaja) tapi tak ramai yang ada pengalaman berpuasa di perantauan (kecuali yang belajar dan bekerja di luar negara). Dari segi makanan pun berbeza juga pengalaman di bulan puasa ni. Kalau di Malaysia tu, kalau teringin nak makan apa-apa tu boleh ke pasar Ramadhan je, tapi di sini kena buat sendiri la. Kadang-kadang jadi, kadang-kadang tak jadi hehe (merujuk kepada kuih-muih). Marah orang rumah baca ni hehe. Oklah, dah 11 hari berpuasa ni. Semoga prestasi anda semua terus meningkat. Selamat berpuasa dan beribadat.
Sumber gambar: http://abuamar.deviantart.com

Wednesday, August 4, 2010

Eilman Meniarap..

Alhamdulillah, Eilman sudah berumur 5 bulan lebih dan sekarang dia dah pandai meniarap dengan sendirinya. Daripada pemerhatian saya, Eilman hanya boleh meniarap dengan bergolek ke arah kanannya sahaja. Kalau bergolek ke kiri tak boleh. Apapun, lihatlah gelagat Eilman yang sedang berlatih meniarap. Selain itu juga, Eilman sudah mula diberikan makanan pepejal (solid food). Mula-mula tu memang kurang kuantiti yang dimakan kerana mungkin belum biasa, namun lama kelamaan kuantitinya bertambah. Setakat ni, kami memberi makanan yang segera, namun sebenarnya lebih baik sekiranya dapat diberikan makanan yang dibuat sendiri yang lebih fresh dan juga lebih sedap. Apapun semoga Eilman dapat terus membesar dengan sihat dan baik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...