Pastinya hampir setiap individu yang celik IT dan yang kerjanya (atau yang sedang belajar) selalu menggunakan kemudahan komputer serta internet sudah memiliki/membuka akaun Facebook. Berbanding dengan akaun sosial lain seperti MySpace dan juga Friendster, Facebook disertai oleh pelbagai golongan selain remaja termasuk para professional. Dalam akaun facebook (FB) saya sendiri terdapat pelbagai golongan kenalan yang terdiri daripada saudara mara, kawan-kawan sekolah rendah, sekolah menengah, universiti, rakan sekerja di UTM dan DTU, bekas-bekas pelajar, bekas-bekas cikgu dan pensyarah, rakan seperguruan Silat Cekak Hanafi, rakan-rakan isteri dan lain-lain.
Antara kelebihan saya dapat rasa menggunakan FB ini adalah saya dapat berhubung kembali dengan rakan-rakan yang telah lama tidak berjumpa dan mendengar khabar berita. Ini adalah kerana kebanyakannya menggunakan nama penuh masing-masing yang memudahkan lagi pertemuan. Selain itu, FB juga dapat membuka ruang kita untuk mengetahui perkembangan kehidupan rakan-rakan melalui status dan juga gambar-gambar yang dipaparkan. Melalui FB juga kita dapat berkongsi dengan kenalan yang lain mengenai apa-apa perkara atau artikel yang bermanfaat untuk kehidupan masing-masing ataupun sebagai hiburan.
Namun disebalik kebaikan-kebaikan ini, pastinya terdapat juga keburukan-keburukan yang timbul hasil daripada penangan FB ini. Satunya ialah timbulnya ketagihan yang jika tidak dikawal akan menganggu tumpuan terhadap kerja, pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti lain yang juga penting dalam kehidupan kita. Mungkin ini juga hasil daripada ketagihan kepada internet. Sedikit sebanyak saya dapat juga rasa tempiasnya dan atas sebab itu saya menulis perkara ini untuk sama-sama kita berkongsi. Namun, jika kita berjaya menghadkan penggunaan FB ini hanya untuk kebaikan dan pada masa-masa tertentu sahaja, rasanya itu sudah cukup baik. Contohnya hadkan penggunaan FB untuk hanya 15 minit (atau lebih singkat) sekali penggunaan selama 3 kali sehari atau 2 kali sehari ke mungkin dapat membantu kita untuk hadkannya. Apa yang lebih penting masa kerja atau belajar memang kena elakkan langsung FB ni kecuali pada masa rehat sahaja. Pesanan ini untuk diri sendiri juga ni.
Di samping itu, melalui pengalaman saya menggunakan FB ni, saya dapati ramai diantara kenalan saya yang suka menggunakan FB ni sebagai medan meluahkan perasaan yang saya rasa ada kebaikan dan keburukannya. Kebaikan ialah ia dapat dikongsikan bersama rakan-rakan yang lain yang sentiasa ada untuk membantu dan menasihati. Namun yang tak baiknya tu, ada yang meluahkan perasaan dengan kata-kata yang kurang enak. Marah seseorang itu kerana tidak menyukainya, sentiasa merungut tentang kehidupan dan sebagainya. Harapnya perkara ini dapat kita perbaiki. Tak salah jika nak meluahkan perasaan tapi kena dengan cara yang sebaiknya. Gunakanlah juga medan FB ni untuk menyebarkan kebaikan, bukan keburukan. Hidup kita ini nak atau tidak akan sentiasa diuji dan sejauh mana kita menghadapinya menentukan kejayaan hidup kita di dunia mahupun akhirat. Kurangkan rungutan dalam hidup dan sentiasa bermuhasabah diri. Fikir bahawa kita ini jauh lebih beruntung daripada orang-orang yang mungkin menghadapi ujian yang lebih besar. Atau lebih beruntungkah kita ? Nasihat untuk kita bersama.