Tuesday, September 8, 2009

Panduan Pelajar Ke Luar Negara

Panduan ini adalah berdasarkan pengalaman yang saya lalui sebelum dan setelah berada di Denmark. Ia mungkin berbeza daripada pengalaman orang lain namun ini hanya sekadar perkongsian dan juga sebagai panduan asas bagi mana-mana individu dan terutamanya kepada pensyarah-pensyarah di IPT yang mungkin bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana ataupun Ijazah Kedoktoran di luar negara.

Peringkat Pencarian

Pada peringkat ini, anda perlu mencari terlebih dahulu bakal-bakal penyelia projek Sarjana/PhD anda yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang ingin anda fokuskan. Mungkin terdapat beberapa Profesor yang anda jumpa melalui pencarian dalam internet ataupun lain-lain sumber. Hantarkan e-mel kepada mereka mengenai mengenai niat anda untuk mengikuti pengajian Sarjana/PhD di bawah penyeliaannya. Namun anda juga harus mengambilkira faktor seperti jawatan bakal penyelia anda itu sama ada Dr., Prof. Madya atau Profesor, universiti berkenaan (dari segi ranking) dan lain-lain kerana ia mungkin merupakan antara kriteria yang ditetapkan oleh pengurusan universiti (yang meluluskan cuti belajar anda). Setelah mendapat maklumbalas daripada bakal penyelia anda, bincanglah mengenai langkah-langkah seterusnya seperti pendaftaran, research proposal, penempatan dan lain-lain.

Peringkat Permohonan

Permohonan ini boleh terbahagi kepada permohonan untuk mengikuti pengajian di universiti luar negara tersebut dan juga pemohonan biasiswa atau cuti belajar bagi staf akademik IPT seperti saya. Proses ini biasanya mengambil masa yang lama maka peruntukkan masa lebih kurang 3 bulan daripada tarikh yang anda cadang untuk memulakan pengajian. Permohonan biasiswa/cuti belajar biasanya memerlukan surat tawaran daripada universiti luar negara berkenaan. Namun pada masa yang sama mungkin universiti luar negara berkenaan juga memerlukan bukti bahawa anda telah mendapat biasiswa. Ini adalah seperti yang saya alami. Jadi seperti bertindih pula. Tapi kita boleh mohon surat sementara daripada universiti kita menunjukkan bahawa mereka bersedia dan mampu untuk membayar semua yuran yang ditetapkan walaupun sebenarnya cuti belajar masih belum diluluskan.

Untuk permohonan biasiswa/cuti belajar pula, saya perlu memohonnya melalui fakulti yang mana akan dipanjangkan ke peringkat pengurusan universiti. Saya perlu menyediakan research proposal yang perlu dibentangkan di peringkat fakulti dan sekiranya diluluskan saya perlu melalui satu proses temuduga untuk cuti belajar di peringkat pengurusan universiti sebelum diluluskan. Setelah itu pihak universiti akan memanjangkannya pula kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi yang akan meluluskan pula biasiswa yang dipohon. Permohonan ini harus dilakukan dengan segera kerana bagi setiap IPT ada kuota yang disediakan yang agak terhad. Sebelum itu pastikan anda telah melakukan perkara-perkara berikut seperti telah mengambil ujian Bahasa Inggeris IELTS dan lulus dengan baik, menghadiri kursus Biro Tatanegara (BTN) dan menghadiri Kursus Kaedah Penyelidikan.

Setelah Permohonan Lulus

Langkah seterusnya adalah seperti menandatangani surat-surat perjanjian dengan pihak KPT dan Universiti (yang meluluskan cuti belajar), menguruskan cek pendahuluan, permohonan passport dan visa (yang mengambil masa antara 2-6 minggu untuk diluluskan), penempahan tiket kapal terbang (berurusan dengan pihak universiti).

Sebelum Bertolak

Sebelum bertolak ke universiti di luar negara tersebut adalah lebih baik jika anda dapat menghubungi sama ada rakan-rakan, rakyat-rakyat Malaysia lain mahupun Kedutaan Malaysia yang terdekat supaya dapat menyambut ketibaan anda memandangkan kebanyakannya tidak biasa atau mempunyai pengalaman ke luar negara. Anda juga boleh berunding dengan bakal penyelia anda mengenai perkara ini. Pastikan juga anda telah mendapatkan tempat tinggal terlebih dahulu dengan perbincangan denga bakal penyelia anda ataupun kenalan anda di sana. Anda juga perlu menyediakan pakaian panas sekiranya keadaan di negara luar tersebut pada ketika itu sejuk. Pastikan anda membawa semua dokumen penting yang diperlukan.

Setelah Tiba

Anda boleh menyesuaikan diri anda dengan cepat di negara luar sebenarnya jika anda mempunyai kenalan yang boleh mengajar anda bagaimana untuk menyesuaikan diri. Contohnya seperti sistem pengangkutan, selok belok jalan, perkara-perkara yang perlu dilakukan dan sebagainya. Anda mungkin mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri jika anda merupakan yang pertama di negara berkenaan. Alhamdulillah saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri di sini.

Setelah itu buka akaun bank dan maklumkan segera semua maklumat diri, tempat tinggal dan akaun bank kepada pihak KPT dan universiti di Malaysia. Pastikan juga anda mendapatkan cop atau sticker residence permit anda di pejabat imigresen dan juga mungkin anda perlu mendaftar di pejabat daerah di kawasan anda tinggal. Adalah lebih baik juga jika anda mendaftar dengan Kedutaan Malaysia yang terdekat sebagai rekod.

Untuk hari pertama anda di universiti anda akan berjumpa buat kali pertama dengan penyelia anda. Biasanya anda akan diberi masa pada minggu yang pertama untuk menguruskan beberapa hal. Dalam perjumpaan pertama ini biasanya anda akan berbincang mengenai projek anda dan cara kerja di situ. Selain itu, anda juga akan berjumpa dengan semua pelajar-pelajar lain di universiti berkenaan. Bagi saya, mengikuti pengajian di universiti luar negara memberi satu pengalaman yang sangat baru yang berbeza dengan keadaan di tanahair.

Semoga maklumat ini bermanfaat.

2 comments:

  1. azizul, thanks for posting such a useful info. will pass to my fren for his preparation.

    ReplyDelete
  2. ur welcome..tp ni panduan kasar je..apapun semoga dpt memberi panduan kpd kawan ira tu..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...