Ini pelajar sekolah menengah, bagaimana pula jika pelajar di universiti. Ada rakan saya (yang juga seorang Pensyarah di UTM) bercerita kepada saya tentang perihal anak muridnya yang menulis perkara yang tidak baik mengenai dirinya (seperti mengejek dan juga rasa bagai ingin meletakkan pistol di kepala) di dalam blognya hanya kerana beliau bertegas di dalam kelas dan juga semasa peperiksaan. Jika dibuat laporan polis, boleh dikenakan tuduhan ugutan bunuh! Baru-baru ini pula, komen yang saya baca di dalam laman muka buku mengenai ketidakpuashatian seorang pelajar terhadap panel pensyarah yang memberi komen semasa pembentangan Projek Sarjana Mudanya dengan tuduhan perasan hebat dan bodoh sombong . Mengapa di hadapan pensyarah mereka bersikap baik namun di belakang bercakap dan menulis bermacam-macam yang buruk mengenai pensyarah mereka. Tambahan lagi hanya menyatakan nama apabila pelajar-pelajar ini bersembang mengenai pensyarah-pensyarah tertentu (tiada Dr., Prof., atau Encik) seperti keadaan di luar negara (yang bagi masyarakat kita agak kurang sopan).
Apapun yang dilakukan oleh cikgu, guru dan pensyarah semua, saya yakin semua dilakukan demi kebaikan pelajar-pelajar itu sendiri. Kejayaan setiap pelajar mereka semestinya menjadi idaman mereka. Mereka akan cuba melakukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka. Memang tidak dinafikan cikgu, guru dan pensyarah ini ada kelemahannya mungkin dari segi pengalaman dan ilmunya serta sikap mereka namun itu bukan ruang untuk kita sebagai pelajar untuk bertindak sesuka hati mengikut perasaan muda kita. Pendidik juga mempunyai pelbagai cara untuk mendidik pelajar mereka samada secara lembut dan juga tegas. Kadang kala cikgu/guru /pensyarah mendidik dengan cara yang tegas. Jika tegas pun tidak bermakna mereka benci/tidak suka/nak menjatuhkan pelajar mereka.Tambahan pula, daripada mereka jugalah pelajar menuntut ilmu sehingga berjaya di sekolah dan menara gading dan seterusnya bekerja. Jika akhirnya pelajar ini melawan cikgu/guru/pensyarah mereka samada secara terang atau sembunyi, di mana berkat ilmu mereka. Walaupun sebagai pelajar ada ketidakpuastian, masih ada banyak cara yang baik untuk menyatakannya kepada cikgu/guru/pensyarah mereka dan seterusnya berbincang. Maka dengan itu mereka juga boleh berubah sikap berdasarkan pengalaman. Mungkin juga ada sesuatu yang hendak dinyatakan oleh pendidik tersebut disebalik teguran dan ketegasannya, siasatlah dulu sebelum berkata apa-apa. Berlapang dadalah dalam menuntut ilmu. Maka ingatlah semua yang bergelar pelajar, hormatilah cikgu/guru/pensyarah anda demi kejayaan dan kesejahteraan hidup anda. Berdoalah kepada Allah S.W.T agar hati kita dibersihkan daripada sikap sebegini.
p/s: Saya menulis berdasarkan apa yang berlaku disekeliling saya. Saya tidak kisah dipandang rendah oleh pelajar, cuma saya risaukan keadaan pelajar-pelajar ini dengan ilmu mereka yang tidak berkat (jika bersikap tidak baik terhadap cikgu/guru/pensyarah yang berniat baik).