Tuesday, March 31, 2009

House Warming @ Virum

Pada hari Ahad 28 Mac 2009, Kamaruddin sekeluarga telah mengadakan house warming di rumah sewa mereka di Virum (tempat kami menginap di minggu pertama). Mereka baru sahaja 2 minggu berpindah ke rumah tersebut dan kebiasaannya di sini, setiap keluarga akan mengadakan house warming setelah berpindah ke tempat yang baru. Aktiviti yang dijalankan adalah bacaan Surah Yaasin dan doa selamat serta solat Asar berjemaah. Para jemputan adalah terdiri daripada masyarakat Melayu yang samada bekerja mahupun belajar di sini. Tidak lama lagi giliran sayalah pula mengadakan house warming, nantikan laporannya nanti.

Menu: Bihun Soto, Nasi, Ayam Goreng, Bergedil
Kek yang sedap sehingga menjilat pipi
Pak Herman, Fauzi, Din, Azizul dan Ciput


Sampai ke malam

Di bumi perantauan..

Di dalam apartment tempat kami menyewa terpampang peta dunia yang besar di dinding. Berikut merupakan snapshots peta negara Malaysia dan Denmark yang saya ambil daripada peta tersebut. Sesekali melihat peta tu, teringat kampung halaman. Antara perbezaan ketara yang dialami di bumi perantauan ini adalah dari segi cuacanya yang agak sejuk pada ketika ini (peralihan daripada musim sejuk ke musim bunga). Akibatnya semua badan menjadi kering dan gatal-gatal. Di Malaysia, suasana di luar di sini pada ketika ini adalah seperti berada di dalam bilik berhawa dingin tetapi lebih sejuk kerana suhu di sini adalah antara 5-8 darjah celcius. Namun saya telah dapat membiasakan diri dengan keadaan di sini pada minggu kedua berada di sini. Tidak lama lagi musim bunga akan menjelma, tak sabar rasanya. Cuaca akan menjadi lebih baik (kurang sejuk) dan suasana akan menjadi bertambah menarik (sekarang hampir semua pokok daunnya luruh).

Negara tercinta


Negara tempat menuntut ilmu

Sunday, March 29, 2009

Minggu Pertama di Denmark..

Minggu pertama saya di Denmark, aktiviti saya lebih tertumpu kepada untuk menyelesaikan segala urusan pentadbiran seperti pendaftaran di universiti, pejabat daerah dan pejabat cukai, urusan sewa rumah, membuka akaun bank dan juga membiasakan diri dengan suasana sekeliling dan juga sistem pengangkutan bas dan keretapi di sini. Alhamdulilllah saya mengambil masa yang agak singkat untuk menyesuaikan diri dengan bantuan rakan-rakan yang telah berada di sini terlebih dahulu.

Hari pertama saya di universiti (DTU), saya telah diperkenalkan kepada semua staf dan pelajar PhD di CAPEC yang terdiri daripada pelajar-pelajar daripada pelbagai negara seperti Sweden, Sepanyol, Libya, India, Thailand dan juga Denmark. Antaranya juga merupakan 2 pelajar daripada Malaysia. Di sini bilangan pelajar pasca siswazah terutamanya PhD lebih banyak berbanding pelajar undergraduate. Setelah berkenalan dengan semua, saya diberikan bilik ataupun workspace untuk menjalankan segala aktiviti berkaitan pengajian PhD. Projek yang saya akan jalankan tidak memerlukan kerja makmal hanya memerlukan komputer dan perisian yang berkaitan jadi mungkin selalunya akan berada di bilik sahaja.

Latest CAPEC Newletter have an introduction of me.

Urusan di Pejabat Daerah ataupun Kommune pula bertujuan untuk mendaftarkan diri setelah berada di bumi Denmark untuk mendapatkan nombor CPR (Danish Personal Identification Number) yang membolehkan kami untuk membuka akaun bank dan lain-lain urusan lagi. Setelah itu, maklumat kami akan dimasukkan ke dalam database. Selain itu, saya juga perlu mendaftarkan diri dengan kedutaan Malaysia yang berdekatan iaitu di Stockholm, Sweden melalui e-mail.

Minggu pertama di sini, kami menginap di rumah rakan yang juga merupakan pelajar PhD di DTU. Dalam tempoh itu, kami telah berbincang dengan landlady mengenai apartment yang akan kami sewa dari segi deposit, bayaran sewa dan juga kontrak. Alhamdulillah banyak kemudahan yang terdapat di dalam rumah tersebut dan kedudukannya sungguh strategik berdekatan dengan kedai, pasaraya, bank, panggung wayang (sekali masuk dalam DKK 75) dan juga stesen bas dan keretapi. Kami telah berpindah secara rasmi ke apartment yang baru ini pada hari Ahad. Namun sewa rumah di Denmark sangat mahal jika dibandingkan dengan Malaysia. Saya membayar sebanyak DKK 7500 sebulan termasuk haba dan elektrik. Jika ingin tahu nilainya dalam Ringgit Malaysia (MYR) guna Currency Converter di sebelah. Jangan terkejut !. Di Malaysia rumah macam mana agaknya kalau sewanya sebanyak itu, tentu banglo besar.

Permandangan di depan bangunan apartment di mana kami menginap


Sistem pengangkutan awam di Denmark pula bagi saya sangat baik dan memudahkan. Semua kawasan di sini dibahagikan kepada beberapa zon dan semua tambang adalah bergantung kepada zon-zon yang ingin dilalui. Tiket yang sama boleh digunakan untuk menaiki bas dan juga keretapi, jadi tidak perlu membeli tiket bas dan keretapi secara berasingan asalkan perjalanan yang dilalui di dalam zon yang ditetapkan. Jika perjalanan pergi dan pulang (2 hala) berada di dalam tempoh 1 jam, tiket yang sama masih boleh digunakan!. Bagi orang seperti saya yang menaiki bas setiap hari, saya membeli Monthly Pass yang membolehkan saya menaiki bas bila-bila masa sahaja, asalkan dalam zon dan tempoh yang ditetapkan.

Monthly Pass

2 and 3 Zoner Clip Tickets

Minggu pertama sudah berakhir, secara rasminya kerja-kerja berkaitan PhD perlu dimulakan pada minggu berikutnya.

Saturday, March 28, 2009

Ketibaan di Denmark...

Ketibaan kami di Lapangan Terbang Copenhagen telah disambut oleh rakan-rakan yang telah berada di Denmark yang membuatkan perjalanan kami di Denmark bertambah mudah dan lancar. Keadaan cuaca pada ketika itu yang bersuhu 5 darjah celcius merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi ketika berada di negara bersuhu sederhana tersebut. Buat sementara waktu kami menetap di rumah Kamaruddin sekeluarga yang menyewa di Virum sebelum berpindah ke rumah sewa kami sendiri. Sistem pengangkutan awam yang baik di sini pula membuatkan perjalanan kami dari satu tempat ke tempat yang lain menjadi mudah.

Dari kiri: Kamaruddin, Azizul, Nazrul dan Fauzi

Persinggahan di Amsterdam...

Penerbangan kami daripada KLIA ke Amsterdam mengambil masa lebih kurang 13 jam dan kami tiba di Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam pada jam 6 pagi waktu tempatan (1 ptg waktu Malaysia). Walaupun agak memenatkan namum kami berasa gembira kerana telah selamat tiba di Amsterdam memandangkan keadaan cuaca yang tidak begitu baik. Penerbangan kami seterusnya ke Copenhagen, Denmark dijadualkan pada jam 12.15 tengahari, 6 jam sebelum perjalanan kami seterusnya.

Di hadapan Schiphol Airport

Sejuknya..

Welcome to Amsterdam

Pada tepat jam 12.15 tengahari kami menyambung perjalanan kami menaiki pesawat KLM Royal Dutch Airways menuju ke Copenhagen Denmark. Alhamdullillah kami tiba ke destinasi yang dituju pada jam 1.30 tengahari 21 Mac 2009.

Segalanya bermula...

Pada hari Sabtu 21 Mac 2009 yang lepas, saya dan isteri telah berangkat daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Copenhagen, Denmark melalui Amsterdam, Belanda pada jam 12.45 pagi. Di Denmark, saya akan memulakan pengajian peringkat PhD di Denmark Technical University yang bertempat di Lyngby, Denmark yang ditaja oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan juga Universiti Teknologi Malaysia. Kepada keluarga dan kawan-kawan yang hadir di KLIA untuk memberi sokongan, semangat dan doa kepada kami, berjuta terima kasih saya ucapkan. Harapan saya agar semua dapat mendoakan keselamatan dan kejayaan kami di sini.

Antara yang hadir di KLIA..
Dari kiri: Saya, Mak, Abah, Wawa, Sheyah, Mak, Abg. Ed

Dari kiri: Aion, CTN, Wawa, Ainaa dan Aniem

Dari kiri: Wawa, Mak, Sheyah, Kak Ina, Aizati dan Aina

Dari kiri: Wani, Shahrel, Helmi, Azizul, Wawa

Dari kiri: Bro, Sade, Kamarul, Azizul, Wawa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...