Assalamu'alaikum kepada semua yang sudi menjenguk blog ni walaupun dah lama tidak dikemaskini. Pada entri kali ini, saya berminat untuk berkongsi cerita pengembaraan kami sekeluarga di bandar Paris, antara bandar yang terkenal di dunia. Di Paris, kami menginap di Hotel Ibis berhampiran dengan Stesen Porte de Clichy (Metro 13, RER C). Apabila sampai di Charles de Gaulle airport, sebelum menuju ke hotel, kami telah ke tourist information desk untuk mengumpul segala maklumat penting seperti peta bandar Paris, pelan keretapi (Metro dan RER) dan lain-lain. Semuanya adalah percuma. Selain itu, kami juga telah meminta nasihat daripada staf di sana tentang tiket yang paling sesuai/murah untuk dibeli untuk travel sekitar Paris memandangkan kami telah bercadang untuk hanya menggunakan public transport.
Pendapat saya mengenai sistem pengangkutan awam di Paris adalah tidak berapa sistematik. Untuk menukar daripada satu line ke line yang lain kadang kala agak menyusahkan kerana perlu naik dan turun tangga yang banyak. Tambahan pula, kami membawa baby stroller. Memang agak memenatkan untuk mengangkat stroller naik dan turun tangga. Jika ada elevator pun kebanyakannya rosak dan tidak boleh digunakan. Cuma agak lega sedikit kerana ada escalator di sesetengah stesyen. Apapun saya ingin puji kebanyakkan pengguna Metro/RER yang sudi membantu kami mengangkat stroller dan beg naik dan turun tangga. Merci ! Selain itu, papan tanda yang berada di sekitar stesyen juga kadangkala mengelirukan. Ada juga stesyen Metro yang tidak dilabelkan dengan jelas. Apa yang baik saya lihat adalah kekerapan dan ketepatan masa sistem keretapi awam di Paris. Paling lama kami pernah tunggu pun mungkin dalam 5 minit. Itu pendapat saya selama lebih kurang 5 hari menggunakan sistem pengangkutan di sana. Mungkin pendapat dan pengalaman orang lain berbeza.
Di Paris, tempat pertama yang kami kunjungi adalah La Defense. Di sini terdapat banyak bangunan-bangunan pencakar langit yang cantik dan kebanyakkannya baru dibina. Di bandar Paris kebanyakannnya adalah merupakan bangunan-bangunan yang lama dan juga tidak begitu tinggi. Kami ke La Defense untuk bertemu dengan rakan lama saya, Kamarul dan keluargannya yang bekerja di sana. Untuk ke sana kami telah menaiki keretapi ke Stesen La Defense (Metro 1, RER A). Di sana juga terdapat sebuah Christmas Market yang menjual pelbagai barang dan juga makanan.
Selain itu kami juga telah ke tempat di mana letaknya satu monumen yang juga agak terkenal di Paris iaitu Arc de Triomphe. Ia terletak berhampiran dengan Stesen Charles de Gaulle Etoile (Metro 1, 2, 6, RER A). Daripada situ, kami telah berjalan di sepanjang jalan yang juga agak terkenal di Paris iaitu Avenue des Champs-Elysees yang mana terdapat banyak kedai-kedai terutamanya barang-barang berjenama seperti Louis Vuitton, Swatch, Hugo Boss dan lain-lain.
Tidak sah rasanya kalau ke Paris tapi tidak singgah ke Eiffel Tower. Untuk ke sana, mula-mula kami menuju ke Stesen Trocadero (Metro 6, 9) di mana terdapat satu bangunan berhampiran (tidak pasti apa nama bangunan tersebut) yang mana kita boleh melihat Eiffel Tower dengan jelas dan juga sesuai untuk bergambar. Di sana juga terdapat banyak orang yang berkulit hitam yang menjual key-chain Eiffel Tower yang kecil. Ada yang jual 3 untuk 1 Euro dan ada juga yang jual 5 untuk 1 Euro. Mengikut tips daripada rakan-rakan saya, biasanya boleh dapat dalam 7 atau 10 untuk 1 Euro bergantung pada skill tawar menawar andalah. Kalau nak beli key-chain Eiffel Tower yang murah, di sinilah tempatnya. Daripada bangunan ini, kami telah berjalan menuju ke Eiffel Tower, ia tidaklah begitu jauh. Kami telah membeli tiket untuk menaiki Eiffel Tower tapi sampai platform 2 sahaja. Kami membeli tiket secara online untuk mengelakkan queue yang panjang giler untuk membeli tiket. Apabila anda telah mempunyai tiket, anda hanya perlu menunggu sebentar sahaja kerana pada tiket anda terdapat masa yang tetap untuk anda naik, jadi tidak perlu berebut walaupun sudah ada tiket. Pada pendapat saya, memang berbaloi kami dapat naik menara ni dan jika anda ke Paris, saya cadangkan supaya anda juga tidak melepaskan peluang. Suasana sekeliling di sekitar menara Eiffel ni memang menarik.
Pada hari ke 3, kami telah berkunjung ke Muzium Louvre berhampiran Stesen Palais Royal Musee du Louvre (Metro 1) , yang merupakan sebuah muzium seni yang menyimpan satu lukisan yang terkenal iaitu lukisan Mona Lisa oleh Leonardo Da Vinci. Antara ratusan bahan pameran, lukisan Mona Lisa ni merupakan bahan yang paling ramai orang datang melihat dan juga dikawal dengan rapi. Kami tak sempat tengok semua bahan pameran di sana kerana terlalu banyak walaupun telah mengambil masa hampir 4 jam. Pada penghujung hari pula, kami telah berkunjung ke Sacre Coeur Basilica (berhampiran Stesen Anvers, Metro 2) sebuah monumen yang terletak di atas bukit Montmarte. Untuk menaiki puncak kami telah menaiki kereta kabel. Di atas puncak, anda boleh melihat keseluruhan bandar Paris. Kami telah membeli kebanyakkan cenderahati di sini kerana di sini merupakan antara barang cenderahati yang termurah yang boleh didapati di bandar Paris. Jadi ini merupakan antara tempat yang berjaya kami kunjungi. Nak pergi banyak tempat tak terlarat pula, apapun boleh dikatakan puas hati juga kerana hajat selama ni nak datang Paris ni dah tercapai.