Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah S.W.T atas kurniaan rezeki ini. Masa yang dinanti-nantikan telah tiba. Semalam, isteri saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.5 kg di Gentofte Hospital, Denmark pada jam 12.02 pagi 19hb Februari 2010 bersamaan 5 Rabiulawal 1431 (Jumaat). Kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Berikut merupakan beberapa rentetan peristiwa yang berlaku sehingga isteri saya selamat melahirkan anak kami. Pada hari Khamis (17hb Februari), isteri telah mula merasa sakit ataupun yang dipanggil contraction. Ia mula berlaku pada waktu malam dan masih di dalam fasa permulaan. Pada malam tersebut isteri saya agak sukar untuk tidur nyenyak akibat kesakitan atau ketidakselesaan yang dialami. Terdapat juga sedikit kesan darah.
Pada keesokan harinya, pada waktu pagi hingga petang contraction tersebut masih dapat dirasai namun pada tahap yang biasa. Seperti period pain mengikut kata isteri saya. Tapi seperti biasa saya masih ke sekolah kerana menganggap perkara itu masih boleh dikawal dan masih pada tahap permulaan kerana saya rasa mungkin 1-2 hari lagi baru akan bersalin. Saya pulang ke rumah pada jam lebih kurang 6 petang. Pada waktu itu isteri saya menelefon pihak hospital untuk kali pertama hanya untuk memaklumkan keadaannya ketika itu. Pada masa itu contraction berlaku pada sela masa 15 minit. Di sini, kami perlu memaklumkan keadaan ibu itu terlebih dahulu sebelum benar-benar perlu ke hospital. Kerana jika masih belum sampai masanya, biasanya mereka akan suruh pulang ke rumah semula.
Contraction yang dirasai isteri saya semakin lama semakin sakit dan semakin kerap. Sakit yang dirasai sangat kuat pada bahagian belakang. Saya hanya mampu untuk mengurut bahagian belakang untuk mengurangkan kesakitan. Kemudian lebih kurang 9 malam lebih, contraction yang dirasai semakin kerap lebih kurang setiap 5 minit sehingga darah keluar agak banyak (disertai sedikit cecair) namun tidak berterusan. Maka kami mengambil keputusan untuk menelefon hospital untuk kali kedua. Mereka minta supaya lihat dulu sama ada darah masih keluar atau tidak dan kekerapan contraction meningkat kepada 4 minit.
Setelah itu dalam jam hampir 10 malam darah beserta cecair keluar lagi. Pada ketika itu, kami dah rasa memang dah tiba masanya untuk ke hospital. Setelah memaklumkan pihak hospital akan kedatangan kami, saya menelefon teksi dan kami terus ke Gentofte Hospital. Setelah tiba di Bangunan 17A pada jam 10.40 malam dan membayar tambang teksi sebanyak DKK 127, isteri saya terus dibawa untuk pemeriksaan. Jururawat bertugas memberitahu kami bahawa air ketuban dah pecah dan bukaan serviks telah 8 cm ! Nampaknya memang tepat ketibaan kami kerana memang dah tiba masa untuk bersalin.
Setelah pemeriksaan itu, kami dibawa ke Labour Room di mana terdapat seorang midwife dah menunggu kami di sana. Selepas beberapa pertukaran petugas akhirnya isteri saya dibantu oleh Anita, seorang Student Midwife yang diselia oleh Malene, seorang Midwife untuk memimpin isteri saya dalam proses kelahiran. Pada permulaannya, kami menunggu sehingga bukaan serviks sebanyak 9-10 cm sebelum proses meneran bermula. Setelah bukaan mencukupi barulah proses meneran dimulakan. Setelah usaha yang keras dan semangat yang diberikan akhirnya pada jam 12.02 pg, seorang bayi lelaki berjaya dilahirkan ke dunia. Bayi yang pertama dilahirkan di Gentofte Hospital pada hari itu hehe. Saya sendiri diberi peluang untuk memotong tali pusat. Alhamdulillah syukur kerana dipermudahkam proses kelahiran dan tidak mengambil masa yang sangat lama.
Selepas itu, kami ditempatkan di sebuah bilik yang dikhaskan untuk kami. Jika ada lebih orang daripada bilik yang ada maka baru akan dikongsikan. Siap ada katil khas untuk suami lagi. Kami tinggal di bilik tersebut sebanyak 2 malam (termasuk malam kelahiran). Kami pulang ke rumah pada jam 2 petang 20 Februari 2010. Saya & isteri dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa kami, semua keluarga, rakan dan kenalan yang telah memberikan doa dan ucapan serta kata-kata semangat sebelum & selepas anak kami dilahirkan. Terima kasih kepada yang menelefon bertanya khabar pada malam sebelum kelahiran, kepada yang datang melawat kami di hospital, yang menelefon selepas kelahiran dan juga kepada seorang rakan kami yang menghantar kami daripada hospital pulang ke rumah.
Bertambah lagi satu tanggungjawab yang besar dalam hidup. Semoga Allah memberikan kami kekuatan untuk menjaga amanah ini dengan sebaik-baiknya.
Nota: Kepada yang ingin mengetahui nama anak kami, nanti kami maklumkan ye :)