Wednesday, June 10, 2009

UTM Lancar Laman Web Baru

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan laman web baru dan polisi mengenai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membolehkan pengguna internet terutama di universiti berkenaan mendapat maklumat dengan pantas. Naib Canselor UTM, Datuk Prof Ir Dr Zaini Ujang, berkata laman web berkenaan dimuatkan dengan pelbagai kemudahan selepas mengambil kira maklum balas daripada pengguna yang mahukan maklumat yang tepat dan pantas bagi membuat keputusan segera. Beliau berkata, dengan paparan baru serta beberapa tambahan elemen terkini termasuk pautan kepada rangkaian laman web sosial seperti University's Facebook, University's on Youtube dan University's on Twitter bagi mendekati golongan sasaran bagi memperkenalkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan UTM.

"Antara golongan sasaran ialah remaja, pelajar, mahasiswa dan penyelidik yang sedang mencari tempat sesuai untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi," katanya selepas mengadakan perhimpunan bulanan kakitangan UTM di Dewan Sultan Iskandar di sini, kelmarin. Mengenai polisi ICT, Prof Zaini berkata, ia untuk menetapkan peraturan supaya warga kampus dapat menggunakan kemudahan yang disediakan dengan teratur dan mengikut peraturan serta mengelak universiti daripada menghadapi sebarang implikasi undang-undang. Beliau berkata, pihaknya sudah menyediakan kemudahan ICT dengan memiliki kelajuan tertinggi iaitu 135 Megabit persaat serta diiktiraf sebagai universiti mempunyai kemudahan WiFi terbesar dengan mempunyai 700 titik akses di seluruh kampus.

"Pelajar selalu mengadu internet yang digunakan perlahan... walhal kemudahan itu tidak digunakan untuk pembelajaran tetapi untuk memuat turun fail lagu dan filem hingga menyusahkan pengguna lain yang ingin mendapatkan maklumat dan ilmu. "Oleh itu, setiap pelajar akan dihadkan untuk mengakses video kepada hanya kira-kira 20 jam sebulan. Polisi ini diharap dapat meningkatkan kesedaran sosial dan tanggungjawab intelektual di kalangan warga kampus ke atas penggunaan ICT," katanya.

Selain itu, Prof Zaini berkata, pihaknya juga melancarkan Pelan Pembangunan Pelajar untuk membolehkan pelajar UTM memiliki kemahiran insaniah dengan menjalankan aktiviti secara bersepadu Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Akademik. Beliau berkata, dengan pelan yang akan dimulakan bulan depan itu, pelajar dan Alumni akan bekerjasama membentuk kemahiran insaniah di kolej seperti kemahiran berucap, berorganisasi dan etika kepimpinan untuk mengelak kerugian sumber dan masa. "Kita tidak mampu untuk mengajar mereka memiliki kemahiran berkenaan hanya di bilik kuliah. Oleh itu, UTM melantik profesor dan pensyarah menjadi felo akademik untuk membolehkan kolej menjadi pusat pembelajaran seperti di Universiti Oxford dan Cambridge. "Ia menjadikan UTM satu-satunya universiti tempatan yang memberikan kemudahan kewangan kepada felo akademik terbabit untuk membimbing pelajar di kolej," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...