Wednesday, July 20, 2011

Melawat N Seoul Tower..


Semasa berada di Seoul, Mac-April yang lepas, kami sekeluarga berkesempatan untuk mengunjungi N Seoul Tower. Menara ini terletak di atas bukit Namsan dan dibina pada tahun 1969 serta mula dibuka untuk kumjungan orang ramai pada 1980. Boleh dikatakan ia merupakan antara landmark Seoul yang harus dan banyak dikunjungi pelancong sepertimana Menara KL di Malaysia. Ketinggian N Seoul Tower ni ialah 236.7 m daripada base, namun oleh kerana ia berada di atas bukit, ketinggiannya mencecah 479.7 m daripada paras laut, satu kedudukan yang baik untuk melihat permandangan bandar Seoul daripada puncak menara. Pada asalnya ia dikenali sebagai Namsan Tower atau Seoul Tower, namun kini ia dikenali sebagai N Seoul Tower setelah ia diubahsuai pada tahun 2005.


Untuk ke menara tersebut, pengunjung boleh menaiki kereta kabel ataupun menaiki bus. Namun kami hanya menaiki bas ke sana kerana agak mahal sikit jika menaiki kereta kabel. Namun daripada hentian bas, kami masih perlu mendaki bukit untuk ke menara tersebut. Penat juga nak mendaki tu sebab agak curam juga. Dalam perjalanan mendaki bukit tu ada pakcik dan makcik ni jual gula-gula kapas. Ramai juga pengunjung yang beli, mungkin boleh bagi tenaga untuk mendaki kot hehe. Kami pun beli juga dengan harga 2000 won (RM 5.70), macam agak mahal juga.

Di kawasan base menara tersebut terdapat kawasan untuk berekreasi dan berehat untuk kemudahan para pengunjung dan terdapat juga restoran-restoran dan kedai-kedai cenderamata. Selain itu, apa yang menarik perhatian saya ialah terdapat ribuan kunci mangga yang dikunci di pagar-pagar yang dikhaskan. Kononnya bagi pasangan yang bercinta, mereka boleh mengunci mangga yang ditulis nama mereka dan kunci mangga tu dibuang, yang memberi simbol bahawa cinta mereka tidak akan terpisah. Macam-macamlah huhu. Untuk menaiki menara tersebut ke dek permerhatian, pengunjung perlu membayar 9000 won untuk seorang dewasa. Namun masa kami naik hari tu, kami bayar lagi murah sebab ada sebahagian daripada dek tersebut dalam renovasi. Apapun jika nak melawat menara ni, seeloknya semasa cuaca yang cerah sebab jika cuaca mendung atau berjerebu, mungkin pemandangan bandar Seoul (daripada dek pemerhatian terutamanya) tidak berapa menarik. Jika nak datang pada waktu malam pun boleh, kerana ada pertunjukkan cahaya di menara ni.

Rujukan:
1) Wikipedia
2) Visitseoul

Tuesday, July 19, 2011

My Colleagues..

Gambar di atas diambil bulan lepas di mana ia terdiri daripada co-workers yang ketika ini berada dan bertugas di C-A-P-E-C, sebuah pusat penyelidikan yang diketuai penyelia saya sendiri di bawah jabatan kejuruteraan kimia dan biokimia di DTU ini. Tapi tak semua yang ada dalam gambar di atas. Individu-individu di atas terdiri daripada fakulti, staf admin, pelajar-pelajar PhD dan juga post-doc dan yang menariknya mereka berasal daripada pelbagai negara seperti Malaysia, Thailand, Itali, Jerman, Mexico, Colombia, China, Sepanyol dan India. Berada dalam kumpulan sebegini sudah pasti banyak perkara yang dapat kami kongsikan bersama mengenai negara asal kami dan juga budaya masing-masing. Di samping itu juga, mereka juga (terutamanya pelajar PhD dan post-doc) sangat membantu sekiranya bantuan mereka diperlukan jika kita mempunyai masalah atau pertanyaan mengenai projek kita.

Saturday, July 16, 2011

Strawberry & Raspberry Picking

Tajuk dalam Bahasa Inggeris, tapi kandungan entri dalam Bahasa Melayu, boleh ye ?. Hmm dah lama tak post apa-apa dalam blog ni. Sudah 3 bulan rasanya. Banyak perkara yang boleh ditulis dan diceritakan tapi cuma tiada semangat je untuk tulis apa-apa. Cerita pengalaman di Korea pun belum habis lagi tapi kini kami sekeluarga dah berada di Copenhagen semula sejak pertengahan bulan 5 yang lepas lagi. Mungkin jika ada kesempatan nanti saya akan ceritakan pula apa-apa pengalaman yang dirasakan menarik yang saya lalui dalam tempoh 3 bulan yang lepas.

Cuma untuk entri kali ini, saya akan tulis mengenai aktiviti kami sekeluarga pada hari ini iaitu "aktiviti memetik stroberi dan raspberi di ladang". Tahun lepas kami ada berkunjung ke Smørum (lihat entri) untuk memetik stroberi, tapi tahun ni pula kami telah ke Vejborggaard di Gørløse, untuk merasa pengalaman yang berbeza. Pada kali ini, selain dapat memetik stroberi kami juga berpeluang untuk memetik raspberi (kurang pasti sebenarnya apa nama beri ni dalam bahasa Melayu). Boleh la juga kenal macam mana rupa pokok raspberi tu. Di kedai-kedai banyak je dijual stroberi dan raspberi ni, cuma macam biasala kami nak rasa sendiri pengalaman memetik buah-buah tu. Tambahan pula, harga buah yang dipetik tu separuh daripada harga yang dijual di kedai. Rasa buah-buah yang dipetik tu sama je dengan yang dijual di kedai kerana yang dijual tu juga yang segar.

Perjalanan kami ke ladang tersebut, Vejborggaard bermula daripada Holte, bandar di mana kami menetap ketika ini. Kami menaiki S-Train laluan B ke Hillerød dan seterusnya ke Freerslev melalui bas 600S yang menuju Hundige. Daripada hentian bus Freerslev, kami perlu berjalan sejauh 1.3 kilometer untuk sampai ke ladang tersebut. Penat jugalah berjalan. Dalam 1 jam maka sampailah kami ke ladang tersebut. Apabila sampai di ladang tersebut, kami perlu menimbang bekas yang akan digunakan untuk mengisi hasil petikan. Bekas semua kena bawa sendiri. Untuk stroberi, harganya 12.50 kroner untuk 1/2 kilogram manakala untuk raspberi harganya 25 kroner untuk 1/2 kilogram. Lagi mahal raspberi tu daripada stroberi. Mengikut laman web ladang tu, tahun ni raspberi lambat masak sebab tu agak mahal sikit. Daripada pintu masuk ladang tu, kami kena jalan dalam lagi untuk sampai ke kawasan memetik tu. Huh penat juga berjalan. Bagi yang ada kenderaan tu, mereka boleh bawa masuk ke dalam ladang.

Walaupun penat berjalan, tapi seronok jugalah dapat petik sendiri buah-buah tu. Eilman pun seronok. Tahun lepas dia baru 4 bulan, sekarang dah 1 tahun 5 bulan, dah boleh jalan sendiri keliling ladang stroberi tu. Memang peminat stroberi budak kecik tu. Di Malaysia tu agaknya ada ke rambutan dan durian picking agaknya. Entah-entah ada kot. Kalau nak makan rambutan tu, kait buahnya sendiri pastu bayar pada pemilik dusun. Kepada rakan-rakan di Denmark ni yang berminat nak berkunjung ke sini, boleh la jengok laman web ni: http://www.vejborggaard.dk/ . Ladang ni dibuka setiap hari bermula pada pukul 10 pagi hingga 7 petang.

Friday, March 25, 2011

Masjid @ Itaewon, Seoul

Seoul Central Mosque di Itaewon, Seoul merupakan satu-satunya masjid di Seoul. Ia dibuka pada tahun 1976 dan terletak di dalam daerah Hannam-dong, Yongsan-gu. Kuliah-kuliah agama di masjid ini diberikan sama ada dalam bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Korea. Pada setiap kali solat Jumaat, ramai orang Islam, terutamanya yang berasal daripada Negara Arab, India, Pakistan dan Turki yang berkungjung ke masjid ini. (Rujukan: Wikipedia). Untuk melihat lebih banyak gambar-gambar masjid berkenaan sila lawat laman berikut dan bagi yang berada di Seoul dan ingin tahu bagaimana untuk ke sana, boleh lawat laman berikut (sila klik).

Setakat berada di Seoul ni, saya sudah 3 kali berkesempatan untuk berkunjung ke masjid ini. Tambahan pula masjid ini terletak di Itaewon, kawasan di mana banyak restoran-restoran dan kedai-kedai yang menjual makanan halal senang didapati dan boleh dikatakan merata-rata berhampiran dengan masjid berkenaan. Hari ini juga, saya telah berkesempatan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid ini. Agak jauh juga jika daripada universiti nak ke Itaewon ni. Mula-mula kena naik shuttle bas, kemudian tukar ke bas hijau dan seterusnya ke subway. Daripada subway pula, setelah 10 perhentian, barulah tiba di stesen Itaewon yang mana ia mengambil masa hampir 45 minit. Mungkin ada kawasan berdekatan universiti yang mana solat Jumaat dijalankan cuma mungkin saya je yang tak tahu. Macam di Denmark, ada beberapa tempat di mana solat Jumaat dijalankan, juga berdekatan dengan universiti di sana.

Selain orang Islam, terdapat ramai juga pelancong-pelancong yang datang berkunjung sama ada untuk melihat keunikan struktur binaan masjid dan juga mungkin ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Islam.

[Gambar] Kami @ Seoul, Korea Selatan

Berikut merupakan beberapa gambar yang sempat diambil bagi melengkapi entri sebelum ini yang bertajuk Kami @ Seoul, Korea Selatan.

bus stop bas hijau..yang pada mulanya disangkakan bus stop shuttle bus..

bas hijau yang menghubungkan stesen subway..yang tersilap naik pada hari pertama..

shut
tle bus yang berkhidmat secara percuma di dalam kampus..bila naik student akan cakap, "anyeonghanseyo" pada drebar bas..bila turun cakap "gamsahabnida" pada drebar..sopan santun betul orang Korea ni..

peta kampus..agar tidak sesat

nasib baik tulis dalam bahasa inggeris..kalo tidak jenuh la nak jumpa..

bangunan Ke-2 kejuruteraan
..struktur tertua di dalam universiti..ada rakan di sini kata pernah dijadikan hospital sebelum ni..


lorong-lorong dalam bangunan..macam cerita seram Korea je..

pusat tempat saya ditempatkan pada ketika ini..nama center pun dah hampir dengan tajuk PhD saya..huhu..

pejabat saya ketika ini..bersama dua orang rakan yang lain..

my workdesk..sempoi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...