Saturday, July 16, 2011

Strawberry & Raspberry Picking

Tajuk dalam Bahasa Inggeris, tapi kandungan entri dalam Bahasa Melayu, boleh ye ?. Hmm dah lama tak post apa-apa dalam blog ni. Sudah 3 bulan rasanya. Banyak perkara yang boleh ditulis dan diceritakan tapi cuma tiada semangat je untuk tulis apa-apa. Cerita pengalaman di Korea pun belum habis lagi tapi kini kami sekeluarga dah berada di Copenhagen semula sejak pertengahan bulan 5 yang lepas lagi. Mungkin jika ada kesempatan nanti saya akan ceritakan pula apa-apa pengalaman yang dirasakan menarik yang saya lalui dalam tempoh 3 bulan yang lepas.

Cuma untuk entri kali ini, saya akan tulis mengenai aktiviti kami sekeluarga pada hari ini iaitu "aktiviti memetik stroberi dan raspberi di ladang". Tahun lepas kami ada berkunjung ke Smørum (lihat entri) untuk memetik stroberi, tapi tahun ni pula kami telah ke Vejborggaard di Gørløse, untuk merasa pengalaman yang berbeza. Pada kali ini, selain dapat memetik stroberi kami juga berpeluang untuk memetik raspberi (kurang pasti sebenarnya apa nama beri ni dalam bahasa Melayu). Boleh la juga kenal macam mana rupa pokok raspberi tu. Di kedai-kedai banyak je dijual stroberi dan raspberi ni, cuma macam biasala kami nak rasa sendiri pengalaman memetik buah-buah tu. Tambahan pula, harga buah yang dipetik tu separuh daripada harga yang dijual di kedai. Rasa buah-buah yang dipetik tu sama je dengan yang dijual di kedai kerana yang dijual tu juga yang segar.

Perjalanan kami ke ladang tersebut, Vejborggaard bermula daripada Holte, bandar di mana kami menetap ketika ini. Kami menaiki S-Train laluan B ke Hillerød dan seterusnya ke Freerslev melalui bas 600S yang menuju Hundige. Daripada hentian bus Freerslev, kami perlu berjalan sejauh 1.3 kilometer untuk sampai ke ladang tersebut. Penat jugalah berjalan. Dalam 1 jam maka sampailah kami ke ladang tersebut. Apabila sampai di ladang tersebut, kami perlu menimbang bekas yang akan digunakan untuk mengisi hasil petikan. Bekas semua kena bawa sendiri. Untuk stroberi, harganya 12.50 kroner untuk 1/2 kilogram manakala untuk raspberi harganya 25 kroner untuk 1/2 kilogram. Lagi mahal raspberi tu daripada stroberi. Mengikut laman web ladang tu, tahun ni raspberi lambat masak sebab tu agak mahal sikit. Daripada pintu masuk ladang tu, kami kena jalan dalam lagi untuk sampai ke kawasan memetik tu. Huh penat juga berjalan. Bagi yang ada kenderaan tu, mereka boleh bawa masuk ke dalam ladang.

Walaupun penat berjalan, tapi seronok jugalah dapat petik sendiri buah-buah tu. Eilman pun seronok. Tahun lepas dia baru 4 bulan, sekarang dah 1 tahun 5 bulan, dah boleh jalan sendiri keliling ladang stroberi tu. Memang peminat stroberi budak kecik tu. Di Malaysia tu agaknya ada ke rambutan dan durian picking agaknya. Entah-entah ada kot. Kalau nak makan rambutan tu, kait buahnya sendiri pastu bayar pada pemilik dusun. Kepada rakan-rakan di Denmark ni yang berminat nak berkunjung ke sini, boleh la jengok laman web ni: http://www.vejborggaard.dk/ . Ladang ni dibuka setiap hari bermula pada pukul 10 pagi hingga 7 petang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...