Monday, September 7, 2009

Erti Sebuah Keikhlasan..

Minggu lepas pada tarikh 27 Ogos 2009 saya mendapat berita bahawa seorang pensyarah di UTM telah kembali ke rahmatullah akibat serangan sakit jantung semasa waktu sahur. Beliau ialah Allahyarham PM Dr. Rashdi Shah Ahmad. Arwah pernah mengajar saya semasa saya mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di UTM pada tahun 2001 dan beliau mengajar subjek Fizik Am 2. Antara banyak-banyak pensyarah yang pernah mengajar saya, beliau merupakan antara pensyarah yang paling saya ingati dan minati. Ini adalah kerana cara pengajarannya yang bagus serta mudah difahami, sangat mesra dengan pelajar-pelajarnya dan juga selalu memberi nasihat dan menceritakan pengalaman hidupnya yang boleh dijadikan pedoman buat kami pelajar-pelajarnya.

Saya sebenarnya mendapat berita pemergian Dr. Rashdi daripada seorang rakan di Facebook yang juga merupakan bekas pelajarnya di Fakulti Sains (fakulti di mana Dr. Rashdi berkhidmat). Daripada luahan-luahan dan komen-komen rakan saya tersebut dan juga rakan-rakannya saya dapati bahawa mereka begitu menyayangi arwah sehingga ada menyatakan bahawa mereka menitiskan airmata apabila mendengar berita tersebut. Malah selang sehari dua selepas itu, mereka turut berpakat untuk mengumpul sumbangan bagi meringankan beban keluarga arwah.

Saya begitu kagum dengan kesan yang ditinggalkan oleh sikap yang ditunjukkan oleh arwah kepada pelajar-pelajarnya. Selama ini saya ingat bahawa kesannya saya seorang sahaja yang rasa namun telah dirasai oleh semua pelajar-pelajarnya dan mungkin rakan-rakan sekerjanya juga. Mungkinkah ini erti sebuah keikhlasan. Keikhlasan sehingga membawa kesan yang begitu mendalam kepada semua pelajar-pelajarnya. Mungkin sebagai seorang pensyarah juga, saya perlu melatih diri untuk benar-benar ikhlas mendidik anak bangsa, bukan sekadar melaksanakan amanah yang diberikan sahaja. Semoga roh Allahyarham PM Dr. Rashdi Shah Ahmad ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...