
Sambutan 1 Syawal di sini kami mulakan dengan menunaikan Solat Sunat Hari Raya di Kedutaan Indonesia. Seperti yang telah saya katakan di Denmark tiada Kedutaan Malaysia, yang terdekat adalah terletak di Stockholm, Sweden yang agak jauh daripada sini. Masjid besar juga tiada di sini cuma surau yang mungkin agak terhad ruangnya. Tambahan pula rakyat Indonesia juga merupakan rumpun Melayu dan juga mempunyai budaya dan bahasa yang hampir sama dengan kita. Solat Sunat Hari Raya dimulakan dalam jam 9.30 pagi, disambung dengan khutbah Raya dan juga sesi bersalam-salaman dengan semua yang hadir. Di sana kami juga berjumpa dengan rakan-rakan rakyat Malaysia dan Singapura yang lain.
Setelah selesai, kami dijemput oleh Fauzi untuk berhari raya ke rumah mereka di Hellerup. Ini merupakan rumah yang pertama kami kunjungi pada 1 Syawal ini. Ketibaan kami disambut oleh Kak Sue dan Nini siap berbaju raya dengan hidangan kuih-muih dan juga rendang. Setelah itu kami pulang seketika ke rumah kami di Lyngby dan bersiap-siap untuk menyerbu rumah-rumah lain pula. Setelah itu dalam jam 12.00 tgh kami bertolak menuju ke Nordhavn ke rumah Isrin dan Kak Lynn. Di sana kami berjumpa dan berkenalan dengan Kak Bibi (rakyat Malaysia yang tinggal di Arhus) dan juga Kak Rose (rakyat Singapura yang tinggal lama di sini). Antara juadah yang disediakan adalah seperti Rendang, Lontong, Satay Goreng dan lain-lain. Tema pakaian raya kami dan keluarga Isrin adalah merah, sama la pulak. Cadangan seterusnya adalah ke rumah terbuka yang dianjurkan oleh Nazri dan Adila di Bandar Copenhagen. Kami mendapat langkah kanan kerana telah dijemput oleh Kak Bibi untuk menumpang keretanya ke sana. Tahun depan kena sewa kereta la nampaknya kalau nak beraya banyak rumah dengan anak lagi.

Kami tiba di rumah Nazri & Adila di Herluf Trolles Gade pada jam 1.30 petang. Sebenarnya kami baru sahaja mengenali mereka dalam lebih kurang seminggu sebelumnya. Di sana kami berkenalan dengan ramai lagi rakan-rakan Malaysia & Melayu di sana. Rupanya ada ramai lagi orang Melayu yang tinggal di sini. Daripada seorang rakan yang kami temui di sana yang mula tiba di Denmark pada tahun 2000, pada waktu tu masih kurang orang Melayu yang berada di Copenhagen, namun makin lama makin bertambah. Semua yang kami jumpa di sini betul-betul peramah-peramah orangnya, jadi perasaan segan tu berkuranglah sedikit. Di sana antara juadah yang dihidangkan adalah seperti Nasi Briyani, Satay, Lontong, kuih-muih dan banyak lagi.

No comments:
Post a Comment