Sunday, March 20, 2011

Kami @ Seoul, Korea Selatan

Pada ketika ini, saya dan keluarga sedang berada di Seoul, Korea Selatan. Kami tiba di sini seminggu yang lepas daripada Copenhagen, Denmark dan saya akan menjalankan kerja penyelidikan selama beberapa minggu di sini di Korea University. Tujuan utama penyelidikan diadakan di sini adalah kerana kami ingin menggunakan satu perisian yang telah dihasilkan oleh Professor di sini, menggunakan model parameters yang kami ada dan juga menjalankan beberapa tests. Maka, jika saya berada di sini, perbincangan akan lebih mudah dilakukan di samping saya sendiri akan dapat merasa sendiri pengalaman menjalankan penyelidikan di sini. External research attachment juga merupakan satu perkara yang telah dibincangkan di dalam merangka PhD study plan saya sebelum ini. Terdapat beberapa cadangan tempat sehingga akhirnya saya dihantar ke sini di Seoul, Korea. Kalau ikutkan memang leceh nak kena tukar-tukar tempat ni, tambah dengan keluarga lagi tapi mungkin inilah antara cabaran jika sambung belajar di luar negara, lagipun ini untuk hanya sementara sahaja. Alhamdulillah sebahagian daripada penginapan kami di sini dibayar oleh Prof. di sini, yelah rumah di Denmark pun nak kena bayar juga.

Semasa di tiba di Lapangan Terbang Incheon kami sekeluarga telah disambut oleh 2 orang pelajar Prof. K, yang telah bersedia untuk membawa kami ke tempat penginapan kami. Perjalanan daripada airport ke Korea University mengambil masa 1 jam 30 minit menggunakan kereta. Penginapan kami pula berada di dalam kampus, lebih kurang macam Rumah Tamu di UTM Skudai tu la. Alhamdulillah tempat tinggal pula sangat selesa tambahan pula untuk ke pejabat/makmal, hanya memerlukan masa 5 minit menggunakan shuttle bus yang disediakan secara percuma oleh pihak universiti. Maka keesokan harinya saya telah ke pejabat di Science Campus.

Sebenarnya saya telah dimaklumkan oleh salah seorang pelajar tersebut bahawa saya perlu tunggu di satu tempat untuk menaiki shuttle bus, tetapi saya hanya ditunjukkan daripada jauh dan tambahan pula waktu itu sudah malam (apabila kami tiba). Saya cuma agak mungkin ada bus stop di sana. Maka keesokan paginya saya ke kawasan yang dimaksudkan dan saya ada ternampak satu perhentian bas berwarna hijau. Beberapa ketika satu bas hijau pun tiba. Maka saya dengan confident dan tanpa segan silunya teruslah naik bas tu dan duduk. Sampai sahaja di satu stop, saya nampak ada orang scan sejenis kad pada satu scanner. Begitu juga pada stop seterusnya. Kemudian saya terfikir, kalau shuttle bus tu free, yang ni macam kena bayar je. Yela mana nak tau, semua tulisan dalam Korea, mana aku faham! hehe. Jadi saya pun tanyalah orang sebelah, nasib baik die tau cakap English, dia kata this is a private bus! Dia kata stop seterusnya turun je. Maka saya turunlah stop seterusnya. Memang bas tu pun dah nak menuju ke bandar dah. Jadi terpaksalah saya patah balik ke belakang berjalan kaki dan mencari shuttle bus yang betul. Dahlah berbukit-bukau permukaan bumi Seoul ni huhu. Masa dok mencari tu adela nampak bas warna maroon, ada logo universiti. Confirm la ni shuttle bus. Bila dah naik bas yang betul maka tiada masalahlah nak sampai ke pejabat sebab alamat pejabat dah diberi sehari sebelumnya.

Apabila sampai je di pejabat, boleh dikatakan tempat tu merupakan tempat yang lama la. Menurut salah seorang pelajar di sana, bangunan tersebut merupakan bangunan yang tertua di universiti berkenaan dan dahulunya tempat tersebut pernah menjadi hospital. Masa berjalan melalui lorong di dalam bangunan tu rasa macam yang tengok dalam cerita seram Korea pula haha. Mungkin kemudahan (untuk pelawat) di sini agak berkurangan, maka mereka terpaksa berikan mana-mana ruang yang ada. Kini bangunan tersebut merupada bangunan kedua untuk bahagian kejuruteraan dan banyak makmal-makmal yang ditempatkan di situ, barang -barang makmal yang lama pun ada di situ. Mungkin nanti boleh saya kongsikan gambar-gambarnya. Walau bagaimanapun layanan yang diberikan oleh Prof. K, terutamanya oleh pelajar-pelajarnya sangatlah baik. Minta sahaja mereka apa-apa pertolongan, mereka pasti akan dapat bantu dan selesaikannya. Sekarang sudah beberapa hari saya bekerja di sana dan setakat ni semuanya baik. Semua rakan-rakan yang berada di sini juga mesra dan mereka sentiasa bertanya khabar.

Mungkin setakat ni sahaja cerita saya di Seoul, nanti saya akan sambung dengan cerita pengalaman-pengalaman yang lain pula. Setakat ni masalah utama adalah bahasa, ada sekali tu kami keluar membeli barang-barang keperluan (dengan bantuan rakan-rakan
Malaysian di sini) dan kami pulang menaiki teksi. Universiti, drebar teksi tu tau, tapi tempat penginapan ni dia tak tahu. Die pula tak reti cakap omputih dan kami pula masih tak biasa dengan jalan. Jenuh juga guna bahasa insyarat nak berkomunikasi dengan drebar teksi tu huhu. Cuma kalau nak guna subway tu tiada masalah sebab ada tulisan bahasa Inggeris. Apapun, satu pengalaman yang menarik untuk pedoman masa akan datang. Gambar yang disertakan bersama entri ini adalah gambar kami di satu tempat di Seoul (akan diceritakan dalam entri akan datang). Gambar berkaitan entri ini mungkin akan disertakan nanti. Sekarang tak sempat lagi nak ambil-ambil gambar sekitar universiti.

Saturday, March 5, 2011

Makan Malam Bersama NC

Minggu lepas kami telah dilawati oleh Dato' NC (UTM) yang sebenarnya akan terus ke Lund University untuk mengajar. Hampir setiap tahun beliau akan ke sana jadi kemungkinan besar setiap tahun jugalah kami akan berjumpa dengannya di sini. Tambahan pula UTM juga sering menjalin kerjasama dengan DTU. Kali ni dah kali kedua dah beliau melawat kami di sini, selama saya berada di sini. Perjumpaan ni lebih kepada bertanya khabar, tiada amanat khas pun yang diberi. Lagipun hanya kami berempat (staf UTM daripada 7 orang semuanya) yang hadir malam tu. Seperti biasa, tempat perjumpaan kami yang tetap adalah di Restoran Kebabish. Kami juga ditemani oleh Arne, seorang Professor di DTU dan juga kawan baik NC. Menurutnya, sekumpulan pelajar daripada UTM akan tiba di DTU dalam bulan Jun 2011 untuk mengikuti Summer Course. Baguslah tu, masa belajar di peringkat ijazah pertama pun dah dapat peluang datang negara orang. Semoga mereka ambil peluang itu dengan sebaiknya. (Sumber gambar daripada Kamaruddin)

Sunday, February 27, 2011

Eilman @ 1 Tahun

Alhamdulillah, minggu lepas 19hb Februari 2011 (kalendar Masihi) genaplah Eilman mencapai umur 1 tahun. Rasa macam sekejap sahaja masa berlalu. Perkembangan Eilman setakat ni, dia dah mula berjalan tapi terduduk-duduk lagilah. Baru nak praktis. Gigi pula, setakat ni di bahagian bawah dah tumbuh 2 batang dan di atas ada lagi 1 batang (bukan di bahagian gigi kapak). Perkembangan lain rasanya biasa sahaja cuma dia kelihatan suka meniru gaya orang sekelilingnya. Contohnya apabila orang tepuk tangan maka dia pun ikut tepuk tangan. Kalau kenakalannya tu tak payah cerita la dari segi suka memunggah laci, suka kacau ibunya sidai atau lipat baju dan lain-lain hehe. Mungkin nak ambil perhatian kot. Apapun, sebagai seorang Ayah memang rasa seronoklah melihat perkembangan anak selama setahun ni.
Maka dikesempatan ini Ayah ingin mengucapkan Selamat Ulangtahun Kelahiran buat Eilman. Semoga dapat membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh InsyaAllah. Terima kasih juga kepada Ibu kerana telah menjaga Eilman dengan baik. Untuk birthday Eilman, kami sempat menyediakan kek khas untuk menyambut ulangtahun kelahirannya. Tahun ni kami sambut anak beranak sahaja, nak buat majlis menyambut kelahiran Eilman pun tunggu dia besar sikitlah senang sikit. Akhir sekali, terima kasih juga kepada semua rakan-rakan dan keluarga yang telah mendoakan Eilman.

Saturday, February 5, 2011

Pemandu Bas Mogok..

Khamis lepas seperti biasa pada setiap pagi, saya sedang menunggu bas 'sekolah' untuk ke DTU di pondok bas berhampiran apartment kami. Sedang menunggu bas tersebut, terdapat beberapa orang yang berjalan daripada stesen bas utama Holte memberitahu kami bahawa bas tidak beroperasi pada hari tersebut kerana semua pemandu bas mogok. Saya sangkakan mungkin hanya di Holte (bandar di mana saya menetap), jadi saya mengambil keputusan untuk berjalan ke stesan keretapi (nasib baik pemandu keretapi tak mogok pula) dan mengambil keretapi menuju ke Lyngby.

Apabila tiba di sana, saya dapati keadaan lengang dan terdapat hanya satu bas sahaja yang beroperasi iaitu bas 200S ke Friheden. Di sana saya bertemu 2 rakan saya. Seorang daripada mereka sudah menunggu bas lebih sejam. Jadi saya beritahulah mereka bahawa semua pemandu bas sedang mogok. Maka kami bercadang untuk berjalan kaki sahaja ke DTU. Perjalanan mengambil masa 30 minit. Walaupun suhu persekitaran dalam 1-3 darjah Celcius, berpeluh jugalah sedikit apabila tiba di sekolah. Kalau tidak kerana saya ada meeting dengan penyelia saya pada hari tersebut mungkin saya ponteng sekolah dan bekerja di rumah sahaja hehe.
Apabila hendak pulang pula, tentulah kena berjalan semula ke Lyngby. Lagi dekat nak berjalan ke stesen keretapi Lyngby daripada terus berjalan ke Holte. Masa tengah jalan pulang tu pula hujan turun (dengan sedikit ais batu) dengan lebatnya. Nak tak nak redah jugalah, kalau tidak lambat pula nak sampai rumah. Hari tu, saya berjalan 1 jam lebih. Dah hari-hari biasa naik bas, tetiba kena jalan kaki tu rasa penatlah juga sedikit huhu.

Apalah pemandu bas ni, sesuka hati sahaja buat mogok. Mengikut berita, mereka mogok kerana membantah keputusan kerajaan mengenai 2 perkara utama iaitu mengenai pelan untuk persaraan awal dan juga penukaran polisi yang akan menyebabkan pemandu bas perlu membayar untuk latihan yang wajib mereka lalui. Selain pemandu bas, keputusan ini juga memberi kesan kepada waste collectors dan juga rescue service workers. Kita sebagai penumpang ni marah juga dengan sikap pemandu bas tu, tapi mungkin itu sahaja cara untuk mereka membantah.

Mengikut syarikat bas tersebut, Movia kepada penumpang yang menunggu bas lebih 20 minit, mereka boleh menaiki teksi dan tambang teksi tersebut boleh claim daripada syarikat mereka dengan maksimum 300 kroner. Huh, dah berjalan pergi dan balik baru tau, kalau tidak boleh naik teksi hehe. Tapi takpela, jalan kaki pun boleh exercise lagipun nak claim pun bila boleh dapat pun tak tahu. Nasib baiklah mogok sehari sahaja, hari berikutnya bas beroperasi seperti biasa. Ok lagi di sini mogok secara aman daripada rusuhan yang membahayakan nyawa seperti di Mesir.

Perkembangan & Ulangtahun Kelahiran..

Hmm nampaknya agak lama juga saya sudah tidak kemaskini blog ni. Hampir 3 bulan. Maaflah kepada semua pengunjung terutama yang memang selalu berkunjung ke sini. Alhamdulillah sehingga kini saya masih bernafas lagi meneruskan hidup sebagai seorang pelajar PhD di bumi Denmark ini. Dalam tempoh 3 bulan ni, kami sekeluarga bercuti seketika (sempena cuti Krismas & tahun baru di sini) dan setelah itu mungkin sebab saya terlalu memikirkan mengenai kerja-kerja berkaitan PhD sehingga tiada mood untuk kemaskini blog.
Biasalah, PhD ni bukannya satu perkara yang mudah. Kena selalu ada motivasi yang tinggi dan juga perlu sentiasa sabar menghadapi segala kesukaran (perseverence kata orang putih) walaupun kadang-kadang rasa mustahil untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu. Apapun pengalaman selalu mengajar bahawa sekiranya kita berusaha dengan tekun untuk menyelesaikan masalah itu, sebenarnya ia boleh diselesaikan. Ia akan menjadi mustahil jika kita putus asa dan menyerah kalah. Jika kita usaha dengan tekun, pasti akan berjaya InsyaAllah. Saje nak bagi motivasi untuk diri sendiri ni hehe.

Itulah perkembangan secara ringkas, nak cerita banyak-banyak pun tak boleh hehe. Selain itu, pada minggu ini genaplah sudah saya mencapai umur 29 tahun. Tahun terakhir berumur 20an, tahun depan dah masuk 30 tahun. 2 minggu sebelumnya pula merupakan ulangtahun kelahiran isteri saya. 2 minggu lagi pula Eilman dah nak masuk 1 tahun. Tahun ini merupakan tahun pertama kami menyambut hari kelahiran bersama anak. Alhamdulillah di atas segala rezeki yang dkurniakan oleh Yang Maha Esa. Terima kasih diucapkan kepada semua keluarga, saudara mara, rakan-rakan dan kenalan yang telah memberi ucapan dan juga doa sempena hari kelahiran saya. Alhamdulillah kerana pada hari itu, ramai yang mendoakan. Juga terima kasih kepada isteri saya yang telah membuat kek dan juga memberi hadiah.
Jika ikutkan saya ni memang jarang nak sambut ulangtahun kelahiran. Mungkin sebab dah biasa daripada dulu lagi di dalam keluarga saya, kami tak sambut dengan kek atau memberi hadiah. Hari tu sama sahaja dengan hari lain, namun kami tetaplah ingat bahawa hari-hari tersebut merupakan hari ulangtahun kelahiran kami. Apapun yang penting ingatan dan doa, bukanlah kek dan hadiah. Cuma kalau dapat hadiah tu best juga kan hehe.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...