Sunday, November 14, 2010

Matawang Denmark: Kroner

Matawang bagi negara Denmark dipanggil krone ataupun kroner (bagi nilai banyak) dan Krone ini terbahagi kepada 100 øre. Mengikut ISO 4217 (piawaian antarabangsa bagi untuk mendefinisikan matawang, yang terdiri daripada kod 3 huruf), kod bagi matawang kroner adalah DKK. Bagi Ringgit Malaysia pula adalah MYR. Singkatan yang digunapakai di peringkat tempatan pula adalah kr. Matawang Denmark ini juga dipanggil sebagai Danish Crown dalam bahasa inggeris (tidak rasmi) kerana krone dalam bahasa inggeris adalah Crown. Denmark merupakan antara negara di Eropah yang masih tidak menggunakan matawang Euro. Boleh baca di sini mengenai perkara ini jika berminat untuk mengetahui.
Seperti mana kebanyakan matawang, Danish Kroner juga disediakan di dalam bentuk syiling dan juga kertas yang dikeluarkan oleh Danish National Bank (DNB). Pada ketika ini, syiling disediakan bagi nilai 50 øre serta 1, 2, 5, 10 dan 20 kroner. Bahan di mana duit syiling ini diperbuat adalah daripada bahan timah-gangsa (50 øre), cupronickel (1, 2, 5 kroner) dan gangsa aluminiumn (10 dan 20 kroner). Bagi wang kertas pula, sejak tahun 1997, satu siri wang kertas bernilai 50, 100, 200, 500 dan 1000 dikeluarkan oleh DNB. Berikut merupakan gambar wang-wang kertas tersebut.
Walaubagaimanapun sejak tahun 2009 sehingga 2012 iaitu secara berperingkat, rekabentuk baru berdasarkan tema jambatan di Denmark (bridge series) telah mula dikeluarkan menggantikan rekabentuk lama. Sehingga kini wang kertas baru 50 (Ogos 2009), 100 (Mei 2010) dan 200 (Oktober 2010) kroner telah pun dikeluarkan. Wang kertas berikutnya (siri baru) akan dikeluarkan pada Februari 2011 untuk 500 kroner dan Mei 2011 untuk 1000 kroner.
Masa kami mula-mula sampai sini (Mac 2009), bila sahaja kami lihat wang-wang kertas Denmark, perkara pertama terlintas di fikiran saya adalah, "tak cantiknya wang kertas di sini" hehe, mungkin anda juga bersetuju dengan saya. Namun setelah melihat rekabentuk baru wang kertas seperti di atas, ia jauh lebih menarik daripada rekabentuk sebelumnya dan sudah pasti ciri-ciri keselematannya juga lebih baik. Saya teringat satu peristiwa apabila saya pulang ke tanahair seketika dulu selepas menghadiri persidangan di China. Pada waktu itu saya ingin menukar beberapa helai wang kertas Denmark yang terdiri daripada wang kertas lama dan baru. Namun pengurup wang itu bertanya kepada saya mengapa wang kertas itu berbeza rekabentuknya (mungkin kerana musykil). Saya terangkan kepadanya (seperti maklumat di perenggan atas) dan beliau siap menelefon bosnya untuk memastikannya. Nasib baiklah dia terima. Haha.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...