Sunday, December 6, 2009

Menuju Penghujung Tahun..

Untuk entri kali ini, saya nak bercerita tentang beberapa aktiviti yang dilalui di DTU dalam menuju ke penghujung tahun 2009 ni. Ia bermula dengan satu pembentangan yang perlu saya lakukan semasa Seminar CAPEC yang dianjurkan setiap Jumaat jam 9 pagi. Untuk seminar ini, setiap pelajar PhD perlu membuat pembentangan secara bergilir-gilir (satu hari seorang pelajar sahaja) dan giliran saya adalah pada 27 November 2009 yang lepas. Maknanya saya kena buat pembentangan pada pagi raya huhu ! Semasa pembentangan tersebut saya menceritakan tentang latar belakang projek saya dan juga kerja-kerja terkini yang dilakukan. Selepas pembentangan itu saya telah memperolehi beberapa soalan dan juga komen yang berguna untuk memperbaiki lagi kerja dan juga pembentangan.

Paparan di laman web berkenaan seminar (kanan, bawah)

Seminggu selepas itu juga, saya perlu menyampaikan satu lagi pembentangan semasa Perjumpaan Tahunan CAPEC (Edisi Musim Sejuk) yang selalunya diadakan bersempena dengan perayaan Christmas. Perjumpaan ini lebih kepada penutup bagi tahun 2009 yang lebih tertumpu kepada pencapaian CAPEC sepanjang tahun, pengalaman daripada pelajar-pelajar terpilih dan juga luahan-luahan daripada setiap ahli CAPEC (samada fakulti mahupun pelajar). Pelajar-pelajar yang dipilih untuk menceritakan pengalaman mereka terdiri daripada pelajar tahun 1, 2 serta 3 dan saya telah terpilih untuk pelajar kategori tahun pertama. Semasa pembentangan itu saya telah berkongsi tentang mengapa saya memilih untuk belajar di sini, sedikit cerita mengenai Malaysia, pengalaman tinggal di Denmark, pengalaman belajar di CAPEC DTU, pengalaman penyelidikan sebelum datang ke Denmark dan juga harapan. Nampaknya ramai juga yang berminat dengan perkongsian itu. Perkongsian daripada 2 lagi pelajar yang mewakili tahun 2 dan 3 juga sangat menarik dan ternyata masing-masing mempunyai pengalaman yang berbeza dan ada juga yang sama. Terdapat juga luahan-luahan daripada semua yang mana masih terdapat beberapa perkara lagi yang boleh diperbaiki di dalam CAPEC dari segi aktiviti, perhubungan dan lain-lain.

Setelah tamat perjumpaan tersebut, kami menuju pula ke Parken sebuah kompleks persidangan di Copenhagen (yang juga sebuah stadium !) yang mana satu jamuan akhir tahun (atau jamuan Christmas) telah diadakan khas untuk semua ahli CAPEC. Aktiviti malam tu adalah makan dan main game sahaja selain sebagai salah satu aktiviti sosial untuk lebih eratkan lagi perhubungan. Dari segi makanan tu, Din dah pesan supaya memperbanyakkan masakan berasaskan ikan. Maka kenyanglah sikit kami malam tu. Takdela macam jamuan sebelum ni, seafood pun sikit dan kena makan sayur jela. Kononnya vegetarian la kami ni huhu. Biasala di negara orang putih ni, macam-macam perkara kami lalui dan pelajari terutamanya untuk survive sebagai seorang Muslim. Sedar tak sedar dah 8 bulan saya di sini. Cepatnya masa berlalu..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...