Sunday, March 29, 2009

Minggu Pertama di Denmark..

Minggu pertama saya di Denmark, aktiviti saya lebih tertumpu kepada untuk menyelesaikan segala urusan pentadbiran seperti pendaftaran di universiti, pejabat daerah dan pejabat cukai, urusan sewa rumah, membuka akaun bank dan juga membiasakan diri dengan suasana sekeliling dan juga sistem pengangkutan bas dan keretapi di sini. Alhamdulilllah saya mengambil masa yang agak singkat untuk menyesuaikan diri dengan bantuan rakan-rakan yang telah berada di sini terlebih dahulu.

Hari pertama saya di universiti (DTU), saya telah diperkenalkan kepada semua staf dan pelajar PhD di CAPEC yang terdiri daripada pelajar-pelajar daripada pelbagai negara seperti Sweden, Sepanyol, Libya, India, Thailand dan juga Denmark. Antaranya juga merupakan 2 pelajar daripada Malaysia. Di sini bilangan pelajar pasca siswazah terutamanya PhD lebih banyak berbanding pelajar undergraduate. Setelah berkenalan dengan semua, saya diberikan bilik ataupun workspace untuk menjalankan segala aktiviti berkaitan pengajian PhD. Projek yang saya akan jalankan tidak memerlukan kerja makmal hanya memerlukan komputer dan perisian yang berkaitan jadi mungkin selalunya akan berada di bilik sahaja.

Latest CAPEC Newletter have an introduction of me.

Urusan di Pejabat Daerah ataupun Kommune pula bertujuan untuk mendaftarkan diri setelah berada di bumi Denmark untuk mendapatkan nombor CPR (Danish Personal Identification Number) yang membolehkan kami untuk membuka akaun bank dan lain-lain urusan lagi. Setelah itu, maklumat kami akan dimasukkan ke dalam database. Selain itu, saya juga perlu mendaftarkan diri dengan kedutaan Malaysia yang berdekatan iaitu di Stockholm, Sweden melalui e-mail.

Minggu pertama di sini, kami menginap di rumah rakan yang juga merupakan pelajar PhD di DTU. Dalam tempoh itu, kami telah berbincang dengan landlady mengenai apartment yang akan kami sewa dari segi deposit, bayaran sewa dan juga kontrak. Alhamdulillah banyak kemudahan yang terdapat di dalam rumah tersebut dan kedudukannya sungguh strategik berdekatan dengan kedai, pasaraya, bank, panggung wayang (sekali masuk dalam DKK 75) dan juga stesen bas dan keretapi. Kami telah berpindah secara rasmi ke apartment yang baru ini pada hari Ahad. Namun sewa rumah di Denmark sangat mahal jika dibandingkan dengan Malaysia. Saya membayar sebanyak DKK 7500 sebulan termasuk haba dan elektrik. Jika ingin tahu nilainya dalam Ringgit Malaysia (MYR) guna Currency Converter di sebelah. Jangan terkejut !. Di Malaysia rumah macam mana agaknya kalau sewanya sebanyak itu, tentu banglo besar.

Permandangan di depan bangunan apartment di mana kami menginap


Sistem pengangkutan awam di Denmark pula bagi saya sangat baik dan memudahkan. Semua kawasan di sini dibahagikan kepada beberapa zon dan semua tambang adalah bergantung kepada zon-zon yang ingin dilalui. Tiket yang sama boleh digunakan untuk menaiki bas dan juga keretapi, jadi tidak perlu membeli tiket bas dan keretapi secara berasingan asalkan perjalanan yang dilalui di dalam zon yang ditetapkan. Jika perjalanan pergi dan pulang (2 hala) berada di dalam tempoh 1 jam, tiket yang sama masih boleh digunakan!. Bagi orang seperti saya yang menaiki bas setiap hari, saya membeli Monthly Pass yang membolehkan saya menaiki bas bila-bila masa sahaja, asalkan dalam zon dan tempoh yang ditetapkan.

Monthly Pass

2 and 3 Zoner Clip Tickets

Minggu pertama sudah berakhir, secara rasminya kerja-kerja berkaitan PhD perlu dimulakan pada minggu berikutnya.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...