Monday, November 23, 2009

Peluang dan Biasiswa..

Pertama sekali saya bersyukur kerana telah diberi peluang melalui biasiswa yang diperolehi untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Memang menjadi impian semenjak sekolah rendah lagi untuk belajar di luar negara dan pada tahun ini tercapai juga akhirnya. Ramai rakan-rakan juga kagum dengan kemampuan saya untuk sampai ke sini. Namun hakikat sebenarnya inilah satu latihan yang perlu saya lalui apabila membuat keputusan untuk menjadi pensyarah dahulu kerana perkara wajib yang perlu dilalui oleh semua pensyarah sekarang adalah perlu mendapatkan ijazah PhD. Maka semua pensyarah yang telah dilantik atau yang bakal dilantik diberi peluang untuk menyambung pengajian di dalam mahupun di dalam negara. Bagi pensyarah yang pernah mendapat ijazah pertama ataupun ijazah sarjana di luar negara maka tidak mengapa jika mereka sambung PhD di dalam negara tetapi kepada yang mendapat ijazah pertama dan sarjana di dalam negara, maka orang-orang seperti ini lebih digalakkan untuk sambung PhD di luar negara pula (seperti saya). Dengan ini diharapkan dapat lebih membina pengalaman dan juga reputasi serta dapat meluaskan juga kerjasama dengan universiti luar dari segi penyelidikan dan juga bidang lain.

Namun terdapat juga individu yang tidak suka orang-orang seperti kami ni ke luar negara (Ini berdasarkan komen daripada satu artikel di dalam surat khabar yang dihantar oleh seorang pengirim). Ada yang memberi komen bahawa ini membuang 'duit rakyat' dan kebanyakan daripada kami ini tidak layak sebenarnya untuk ke luar negara. Katanya ramai yang pulang tetapi gagal dan juga mencadangkan agar yang gagal membayar semula duit biasiswa yang diperolehi. Juga mendedahkan kononnya ramai yang bekerja sambilan semata-mata untuk mengaut gaji yang besar di luar negara dan juga hendak membawa pulang Mercedes. Tolonglah, banyak sangat ke biasiswa yang kami dapat?. Mereka bekerja sambilan untuk keuntungan atau menyara kehidupan dan keluarga?. Nak bawa pulang Mercedes tu ramai sangat ke?. Saya cadangkan agar yang tidak berkenaan tu agar tidak berkata apa-apa. Sepatutnya siasatlah dulu setiap kes sebelum membuat sebarang tuduhan. Gagal kerana apa?. Nak dikira layak tu sehingga bila?. Apakah setelah dilantik sebagai pensyarah pun tidak layak?. Inilah yang dinamakan latihan. PhD merupakan satu latihan bagi pensyarah ini dalam menjalankan penyelidikan, penulisan, penerbitan, komunikasi dan sebagainya sebagai persediaan terbaik apabila pulang nanti. Apa yang penting, jika mereka ini dah berusaha yang terbaik maka itu sudah cukup baik. Berjaya atau tidak itu yang kedua.

Bercerita mengenai biasiswa pula sebenarnya ini sudah kali kedua biasiswa lambat masuk. Biasiswa daripada UTM tiada masalah, cuma yang satu lagi tu hehe. Sebelum ni lambat sebulan, tapi nasib baik dapat pinjam duit daripada Kamaruddin dan Ciput. Kalau tidak susah juga dengan nak bayar sewa lagi, nak makan lagi. 2-3 minggu selepas maklum baru masuk. Kali ni pun lambat lagi. Sepatutnya masuk hujung bulan Oktober, nampaknya lewat sebulan lagi la kot. Tapi kata pihak sana telah diuruskan pembayaran dan akan masuk sedikit masa lagi. Harapnya masuklah sebelum hujung bulan ni ye.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...